SAHABAT TENTERA FISABILILLAH™

Wednesday, October 1, 2014

Sahabat Selamanya

s
Di awal detik permulaan
kita tidak saling bersamaan,
di awal detik perkenalan
kita tidak saling menyatukan,
di awal detik pertemuan
kita tidak saling mengenalkan,
namun ,
hari silih berganti..siang berganti malam.
minggu berganti bulan..
putaran waktu terus menghilang..
putaran waktu terus beredar..
maka,
mulalah terselit rasa mahabah
mulalah terpalit rasanya kasih
mulalah terpancar sinaran ukhwah
mulalah mengenal arti apa itu persahabatan
dalam mengharungi liku2 ini..
terkadang terselit rasa pedih
terkadang terselit rasa marah
terkadang terselit rasa gelisah
namun ,
kami tidak mudah melatah
hanya dengan sekecil mehnah..
direntas penuh cekal dan tabah
diharung tanpa lemah dan rebah
ditempis tanpa resah dan gundah
kerna di situ telah lahir satu ikatan ukhwah
yang kian bercambah..
kini,
ku mulai sedari
kita akan berpisah..
perpisahan ini datang tanpa diduga..
perpisahan ini datang menerpa..
titisan mutiara jernih menitis di pipi
sungguh tak tertahan sebak di hati
namun,
itulah lumrah kehidupan
setiap pertemuan ada perpisahan
setiap permulaan ada pengakhiran
namun ku sedari,
di akhir detik ini kita telah saling menguatkan
di akhir detik ini kita telah saling mengasihkan
di akhir detik ini kita telah saling mengingatkan
bahawa,
perpisahan ini bukanlah selamanya
perpisahan ini cuma seketika..cuma sementara
selagi ukhwah ini kuat tersemat di jiwa
selagi itulah kita bersama..
selamanya kita tetap bersama
hingga ke syurga..
terima kasih duhai sahabat,
keranamu lah
ku kenal erti kematangan
keranamu lah
ku tak rapuh dengan godaan
keranamu jualah
ku kenal erti kedewasaan
tatkala ku hampir jatuh
kau pautku dengan mutiara katamu
tatkala ku hampir terlena
kau kejutkanku dari mimpi yang panjang
Duhai Ilahi,
doa dipanjat padaMu yang Kuasa
agar ukhwah ini kekal selamanya
agar ukhwah ini tiada pengakhirannya
agar tiada tara di antara kita
Sahabat selamanya..
amin ya rabbal alamin..

sumber : http://www.iluvislam.com/karya/10204-sahabat-selamanya.html
Penulis
Editor
Abi Aisyah

Generasi Ahmad Ammar

Esok hari akan menduduki kuiz bagi mata pelajaran sorof dua, iaitu mata pelajaran wajib diambil bagi setiap pelajar bahasa arab di UIAM. Namun hati saya tertarik kuat untuk mengenali lebih dekat seorang insan bernama Ammar. Sudah menjadi fenomena semenjak pemergiannya 48 hari yang lalu pada dua November. Saya tidak pernah langsung mengenali sosok tubuh insan bernama Ammar melainkan selepas beliau meninggal dunia. Beliauhidup sesudah matinya.
Hati tekad, mahu juga menghadiri talk malam ini yang dihadiri ayah Ammar dan ibunya meski esok akan menduduki kuiz. Hati ini sungguh rasa rindu pada seorang insan yang tidak pernah disentuh tangannya, tidak pernah bercakap dengannya. Namun, rindu. Entah, Ya Allah, semoga Engkau merahmati insan mulia ini dan orang merinduinya kerana-Mu.
Perkongsian ayah Ammar amat menarik dan menyentuh hati. Bukan kerana faktor emosional semata, namun dilihat pada tekad dan wawasan yang diletakkan ayahnya pada Ahmad Ammar ketika umurnya 15 tahun. Satu wawasan ummatik ditanam padu dalam hati Ammar. “Kamu mesti mempunyai ummatik vision.” Kata ayah Ammar, Encik Muhammad Azzam.
CCAA
[Buku Cerita Cinta Ahmad Ammar sudah berada di pasaran,dapatkannya sekarang!!!]
Seterusnya, visi lain yang ditanam adalah supaya anaknya ini mempunyai saham dalam agenda membangkitkan ummat. Ayahnya percaya bahawa sesiapa menguasai Instanbul akan menguasai dunia! Ummat Islam tidak akan kuat selagi tidak mengusai dunia, atas dasar inilah, dihantar anaknya ini ke Turki bagi mendalami ilmu sejarah Uthmaniah sebagai batu asas dalam diri.
Diceritakan, ayahnya akan membawa Ammar pada setiap kali syarahannya. Pada akhir sesi Ammar akan ditanya tentang apa yang beliau faham dan Ammar mampu menghuraikannya.
Tarbiyah ‘aqliyah yang diberi sangat sistematik dan tersusun sehinggakan mampu melahirkan seorang insan yang berjiwa ummatik. Kata ibunya, semua ini berpunca daripada semenjak pemilihan pasangan lagi. Disyaratkan ayahnya kepada ibunya sebelum berkahwin dengan ayahnya sekarang bahawa perkahwinan itu adalah untuk ummat dan ayahnya (suami) adalah juga untuk ummat.Lantas dengan itu, wawasan tercapai! Sungguh ummat amat rindu dengan pemergian Ammar.
Jika hendak dihuraikan dan bercerita, sangat banyak pengajaran dan jalan cerita yang diceritakan. Terutamanya berkenaan dengan peribadi Ammar dan perwatakannya. Mudah sekali ibunya mengasuh anak ini. Allah telah menyusun cantik.
Pemergian beliau satu dakwah. Pemergian beliau satu kerinduan. Pemergian beliau membina generasi.
Sebelum umur 15 tahun adalah umur bagi meletakkan asas. Seterusnya adalah aplikasinya, itulah yang saya faham apa yang dihuraikan oleh ibu Ammar. Antara diceritakan juga, Ammar telah disunatkan tiga hari selepas dilahirkan. Ya, tiada nas atau dalil meyuruh sedemikian. Namun, mereka suami isteri percaya bahawa Amamr akan cepat matang, dan sungguh! Kadang-kandang ibunya amat risau dengan perkembangan Ammar yang tidak seperti anak-anak lain yang tawa ceria oleh kerana matang sebelum usia. Gelak Ammar menjadi satu bualan, kerana beliau amat pendiam. Ini bukanlah hal negatif, bahkan satu perkara positif.
Dididik dengan membaca sejak kecil, itu antara tarbiyah intelek yang diberi sejak kecil. Meskipun demikian, bukanlah satu kepelikan berkenaan cara didikan ini dan matangnya beliau sebelum usia, Ammar juga minat bermain takraw, juga ada hobinya tersendiri. Aspek ini tiada bezanya dengan remaja lain. Pada saya, yang membezakannya dengan anak muda lain, adalah wawasannya, tindak tanduknya mencapai wawasan dan akhlaknya dalam menggarap impian. Dek kerana dididik membaca berkenaan cendiakawan Islam, dikatakan Ammar meminati sejarah sejak kecil. Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa, kita adalah apa yang kita baca. Ingin sekali saya bertanya apa bahan bacaan Ammar, namun kelihatan waktu yang hampir lewat, tiada orang lain yang ingin bertanya, saya risau tindakan saya bertanya melewatkan lagi pengakhiran program. Tidak mengapa, pasti ada peluang lain. Dunia tanpa sempadan.
Ammar dihantar ke RMC (Royal Malay College) atau Maktab Tentera Diraja (MTD). Disinilah persetujuan bersama ibu dan ayahnya bagi memberi pendidikan disiplin. Worlview ibu dan ayahnya terhadap RMC berbeza dengan segenap masyarakat yang menganggap bahawa RMC adalah tempat membuli. Kita adalah apa yang kita percaya. Kepercayaan dan niat ibu ayah Ammar didorong dengan bantuan Allah, Ammar mampu menghadapi dua tahun di RMC dan mendapat kedua terbaik dalam SPM 2010. Biarpun begitu, itu bukanlah pengakhiran, bahkan sebenarnya itulah satu permulaan. Selepas itu, tawaran demi tawaran ditolak demi menghantar Sang Syahid ini ke bumi Turki, lantas mekar disana jasadnya dan ruh perjuangannya hidup melata dipelosok dunia, nescaya terkabullah impian Ammar untuk merantau dan menyebarkan pelajaran daripada risalah An Nur karangan Ustaz Bediuzzaman Said Nursi. Selamat bertemu bidadari duhai Ammar!
Ramai yang berazam ingin mencontohi Ammar, bertindaklah, berwawasanlah dan bertawakkallah! Sekian.
Ammar tidak terlepas daripada beberapa pendidikan/tarbiyah wajib semenjak daripada kelahirannya sehingga perginya:
1) Tarbiyah rohaniah
2) Tarbiyah jasadiah
3) Tarbiyah ‘aqliah/tsaqofiah
4) Tariyah akhlaqiah
Bukanlah dikau seorang nabi,
Tidak juga seorang Rasul,
Namun langkahmu sedang disusul.
01:07, 19/12/2013

sumber: http://www.iluvislam.com/inspirasi/9800-generasi-ammar.html
Editor
Abi Aisyah

Cinta Ditolak @ Putus Cinta ???



Istilah ini sering kita dengar bukan? Ianya ibarat satu perkara norma dalam kehidupan ini. Setiap individu pasti punya cara tersendiri untuk melalui saat-saat ketika mana cinta ditolak dan juga putus cinta. Adakalanya, kita merasakan terlalu sakit, down, sedih dan banyak lagi perasaan yang negatif ini muncul disanubari. Memang ianya tidak dapat dinafikan. Saya juga seperti anda, pernah melalui saat-saat yang menyakitkan ini. Kadang-kadang, saya merasa seperti “mayat hidup”. Mencari-mencari bilakah waktu kesedihan ini akan sampai ke akhirnya? Adakalanya seperti sudah tiada jalan penyelesaiannya. Ramai individu, rakan-rakan di sekeliling yang memberi nasihat, namun kadang-kadang nasihat mereka mungkin menambahkah kesakitan luka di hati yang mana di ibaratkan mencurahkan lagi cuka di atas tempat yang luka itu. Sakit dan perit itu kian terasa. Betul kan? Ya, saya juga seperti anda. Pernah melalui semua ini. Jika hari ini anda merasakan semua itu, saya di sini ingin mengajak anda bangun bersama saya, berdiri dan melangkah meneruskan kehidupan ini. PUTUS CINTA? CINTA DITOLAK? itu bukan pengakhiran hidup kita. Inilah yang Allah hadiahkan untuk kita iaitu ujian. Mengapa Dia anugerahkan semua ini buat kita? Hanya satu jawapannya.
KERANA DIA SAYANG PADA KITA, DIA INGIN KITA KEMBALI PADA-NYA, MENGADU KEPADA-NYA.
Cinta itu satu fitrah. Tidak ada siapa pun yang dapat menghalang hati kita ini untuk mencintai dan di cintai. Setiap individu pasti inginkan semua ini. Namun, dunia kini, ramai yang mewarnai cinta dengan perkara-perkara ilusi dan fantasi. Kebanyakan daripada kita, apabila bercinta pasti ingin ber dating, bermesej, bergayut sehingga lewat malam di telefon. Dan adakalanya terpaksa berhabis duit untuk mereka yang kita cintai ini. Untuk memberi hadiah kepada orang yang dicintai ini tidak salah, tetapi yang dimaksudkan berhabis duit ini adalah apabila kerap kali keluar dating, SMS dan juga bercakap di telefon sepanjang hari. Bukan kah ini satu pembaziran? Inilah fenomena cinta masa kini.
Saat ini, detik ini, mari kita singkap kembali apa itu cinta pada kita? Apakah maksud ‘cinta’ yang kita terapkan dalam jiwa kita ini? Adakah cinta itu apabila saling ambil berat, berduaan dan bermesra sebelum akad di lafazkan? Saya juga muhasabah diri tentang definisi cinta yang saya bawa sejak dulu. Namun kini saya sedar, sekiranya CINTA, pasti saya ingin orang yang saya cinta itu bersama saya berada di syurga, menuju ke syurga Ilahi. Mustahil jika kita menyatakan kita menyayangi dan mencintai insan tersebut, tetapi pada dasarnya kita membawa dia atau menolak dia ke dalam api di mana api itu terlalu panas berbanding di dunia ini yakni neraka jahanam. Jadi di sinilah, kita harus perbetulkan istilah cinta yang kita bawa kerana cinta itu adalah sesuatu yang cukup suci. Jangan kotorkan cinta itu dengan sesuatu yang tidak baik.
Kemudian, apa perlu buat jika cinta di tolak atau putus cinta? Ambil alkohol? Merokok? Bunuh Diri? Dan ada juga yang sanggup merubah keadaan jantina masing-masing. Untuk apa kita lakukan semua itu? Kita punya agama dan kita hidup bertuhan.
Ya, putus cinta atau cinta ditolak itu sangat perit dan sakit. Saya sendiri merasakan semua itu. Apabila terbangun dari tidur, tidak lain dan tidak bukan hanya satu impian saya agar menjadikan kesakitan itu hanyalah mimpi. Namun, jika berbalik kepada definisi cinta yang baru sahaja kita cipta sebentar tadi, wajarkah seseorang perempuan atau lelaki yang ingin ke syurga itu perlu bersikap lemah? Sedangkan dalam ayat 2 surah al-ankabut,Allah menyatakan;
“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedangkan mereka tidak di uji? “
Jadi daripada apa yang ada dalam ayat itu, jelas lah kita akan di uji. Namun bagaimana untuk kita melalui ujian ini lah yang harus kita fikirkan. Saya juga insan yang lemah. Tetapi saat ini, kita harus sama-sama membina diri kita. Mungkin dengan putus cinta atau cinta ditolak ini, Allah ingin kita mendekatkan diri kepada-Nya dan meningkatkan iman kita. Dulu sebelum terjadi kesedihan ini mungkin kita jarang sekali baca Al-Quran, Solat Sunat Malam dan berjemaah di Surau. Oleh itu, ambil lah peluang ini untuk kita kembali kepada-Nya secara istiqomah. Walaupun tidak mampu melakukan ibadah itu dengan kadar yang lebih, lakukanlah yang termampu dan istiqomah. Kerana Allah swt lebih suka jika kita istiqomoh melakukan ibadah daripada melakukan secara berlebihan tetapi tiada istiqomah. Jadi, ini lah jalan utama untuk kita bina diri kita yang baru.
Seterusnya, carilah bahan bacaan yang dapat membina diri kita. Bukan hanya bahan bacaan mengenai cinta atau tips memperbetulkan hubungan cinta yang telah retak itu. Namun carilah sesuatu bahan yang boleh membuka minda kita tentang kasih sayang Allah kepada kita. Apabila sesuatu bahan bacaan itu membuatkan kita bermotivasi dan bersemangat, maka bacalah ianya berulang kali kerana adakalanya diri kita ini kembali rebah dan bersedih. Justeru, jadikan bahan bacaan itu sebagai satu inspirasi untuk kita bangun dan berjuang untuk kehidupan ini.
Kemudian apabila kita kecewa seperti ini, kita pasti akan merasa untuk menangis, meratapi dan bersedih. Ya, kerana saya juga pernah melalui semua ini. Persilakan untuk anda menangis dan bersedih itu. Tapi, jangan pula berlarutan. Sibukkanlah diri kita dengan sesuatu yang bermanfaat seperti study, beriadah dan buatlah sesuatu yang mampu menenangkan hati. Jangan terus berada dalam lingkungan kesedihan dan kekecewaan. Sedih dan kecewa itu perkara biasa untuk kita sebagai manusia. Namun, apabila saya sedih, saya selalu ingat yang Allah bersama saya. Ya, Dia tidak hanya bersama saya, tapi juga bersama kita semua. Ingat, senjata utama seorang mukmin itu adalah doa. Justeru, perbanyakkan doa.
Dan yang terpenting apabila kita kecewa atau sedih dengan keadaan putus cinta atau cinta di tolak ini, lepaskanlah semuanya. Jangan di fikir lagi tentang semua ini, teruskan kehidupan. Semua ini tak mudah. Kadang kala kita terfikir, siapa lagi yang nak kawin dengan kita? Tapi, kita harus mencuba untuk kuatkan diri. Bagaimana? seperti yang saya katakan tadi, lepaskan semuanya, jangan difikir lagi dan teruskanlah kehidupan kita. Dan pada ketika ini, ada sesuatu yang harus kita pelajari iaitu “KEIKHLASAN”. Ya, ikhlas lah. Apabila kita ikhlas, kita pasti melakukan semua itu hanya untuk mendapatkan keredhaan Allah. Tanamkan ini dalam hati kita, sematkan niat untuk ikhlas ini. Pasti, saya dan anda semua akan merasakan satu ketenangan. Jangan di fikir lagi, siapa yang salah dan siapa yang betul dalam hal ini. Jangan di fikir kenapa dia melakukan semua ini pada kita. Jangan difikir dengan siapa kita nak kawin dan adakah dia akan kembali lagi pada kita? Dia ini jodoh kita ke tak sebenarnya? Satu yang boleh saya katakan tentang setiap persoalan ini iaitu “sejauh mana pun kita fikir tentang semua ini, kita tidak akan menemui jawapannya”. Jika anda bertanya, Mengapa? Jawabnya pemikiran manusia ini terbatas, kita tidak tahu sesuatu yang ghaib melainkan Allah Maha mengetahui. Kemudian, ikhlas lah dan yakinlah setiap apa yang kita lakukan sama ada baik atau buruk, Allah pasti akan membalasnya. Sematkan ini juga di hati kita. Kita tak boleh lemah.
Jagalah hubungan kita dengan Allah, Banyakkan zikir. Singkapkan kembali definisi cinta yang kita terapkan di minda dan jiwa kita. Jika benar mencintai, bukan dengan cara ber dua-duaan. Couple atau coupling bukan syarat untuk mengatakan dia adalah jodoh kita. Ramai yang ber couple tetapi selepas nikah setahun dua, dah bercerai. Adakah itu di namakan jodoh? Wallahua’llam. Ya, putus cinta atau cinta di tolak ini memberi impak yang amat besar untuk saya dan saya tahu, untuk anda juga.Jadisama-samalah kita muhasabah diri. ingat, setiap kesulitan pasti akan di sertakan dengan kemudahan. peganglah pada janji-janji Allah. Dia sentiasa dekat dengan kita. Sebagai penutup kita renungkan maksud ayat di bawah ini;
“Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), SERTA memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.” [Surah At-Talaq ayat 2-3].


sumber: http://www.iluvislam.com/tazkirah/9604-cinta-ditolak-putus-cinta.html
Penulis
Editor
Abi Aisyah

Ujian Hidup – Bagaimana Menghadapinya?



Manusia tidak akan dapat lari daripada ditimpa masalah…
baik orang kaya…mahupun orang miskin…
kerana apa??
kerana masalah itu merupakan ujian bagi manusia…
selagi kita hidup, kita akan sering diuji…
kerana apa??
kerana….hidup itu adalah ujian…
ujian yang datang itu daripada siapa???
setiap apa yang tercipta pasti ada penciptanya…
begitu juga dengan ujian…
ujian hidup datangnya daripada siapa??
siapa lagi kalau bukan pencipta kita…
Allah Tuhan Semesta Alam…
kenapa kita sering diuji???
selagi kita hidup di dunia ini, pasti ujian akan datang menimpa kita…
tapi kenapa???
kenapa Allah menciptakan ujian untuk hambanya??
Allah telah menjawab persoalan itu sebelum kita lahir di muka bumi ini lagi…
Allah telah berfirman dalam Surah Al-Kahfi ayat ketujuh,
Maksudnya : “Sesungguhnya Kami telah menjadikan apa yang ada di bumi sebagai perhiasan baginya, untuk Kami menguji mereka siapakah di antaranya yang terbaik perbuatannya…”
oleh itu, jika kita dapat menghadapi ujian yang Allah berikan kepada kita dengan sabar, kita tergolong dalam golongan orang yang beruntung dan tinggi darjatnya…
setiap orang ada ujiannya yang tersendiri…
setiap orang mempunyai had kemampuan yang berbeza…
oleh itu, ujian yang Allah timpakan kepada mereka juga berbeza…
tidak akan melebihi had kemampuan seseorang itu…
Allah yang ciptakan kita…jadi sudah pasti Allah tahu apa yang terbaik untuk kita…
dan Allah tidakkan akan sesekali meyusahkan hambanya…
bukankah Allah itu Maha Pengasih lagi Maha Penyayang??
Maksudnya : Dan sungguh, kami telah menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, dan kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya…(Surah Al-Qaf, 16)
Bagaimana kita dapat bersabar dengan ujian Allah???
perasaan sedih, takut, dan gelisah pasti akan hadir dalam diri setiap kali ujian datang menghampiri….
persoalannya sekarang bagaimana kita mahu menghapuskan perasaan-perasaan itu daripada terus-menerus menghantui diri, agar kita sentiasa dapat bersabar dan redha dengan segala ujian Illahi…
Allah telah mengajar kita cara-caranya melalui ayat-ayat cintanya…
dalam Surah Al-Ma’arij, ayat 19-35…(sahabat-sahabat boleh cek sendiri dalam tafsir yer…)
melalui ayat ini, Allah telah mengatakan bahawa kita ini memang diciptakan dengan sifat yang suka mengeluh apabila ditimpa kesusahan….dan kita juga bersifat bakhil kedekut apabila diberi kesenangan…namun, ada manusia yang mampu menangani ujian Allah ini…iaitu mereka yang :-
orang yang menjaga solat
orang yang menunaikan hak terhadap harta yang dimilikinya dengan membayar zakat, membayar nafkah, dan memberi sedekah
orang yang mempercayai akan hari pembalasan
orang yang takut terhadap azab Allah
orang yang memelihara kemaluan dan kehoramatan diri mereka daripada bukan muhrim
orang yang memelihara amanah dan janji
orang yang bersikap jujur dan adil apabila menjadi saksi
orang yang memelihara solat
dan mereka itu akan dimuliakan di dalam syurga…
nah…inilah ciri-ciri ahli syurga…
kalau sahabat-sahabat perhatikan…betapa solat itu penting dalam melatih diri kita untuk menjadi orang yang sabar dan bersyukur sehingga Allah menyebutnya sebanyak dua kali bahawa mereka yang menjaga dan memelihara solat akan mendapat kemuliaan di syurga…solat itukan tiang agama…dan solat itu pembenteng diri daripada melakukan perkara-perkara yang mungkar…
sahabat, menjaga solat ini bukan sahaja dari segi cukup rukun dan syarat sahnya sahaja tetapi…juga haruslah ditunaikan pada awal waktu…juga Allah menyuruh kita supaya berkekalan solatnya…bermaksud istiqamah dalam melakukannya…ini bukan sahaja untuk solat wajib…malah solat sunat juga…
selain menunaikan solat, harta yang kita miliki haruslah kita bahagikan kepada hak-haknya…harta itu bukan secara mutlaknya milik kita…ada hak orang lain terhadap harta itu…terutamanya dari segi pembayaran zakat dan nafkah…dan jangan lupa buat mereka yang memerlukan dan buat mereka yang berjuang di jalan Allah…berkorban harta ini juga merupakan satu jihad…Allah berfirman dalam surah Al-Saff, ayat 10 dan 11 yang bermaksud :-
Maksudnya : “wahai orang beriman! mahukah kamu Aku tunjukkan suatu perdagangan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih? (yaitu) kamu beriman kepada Allah dan Rasulnya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. itulah yang lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahuinya…”
kita juga haruslah mempercayai akan adanya hari kiamat dan juga hari pembalasan…bila?? bagaimana?? itu semua rahsia Allah…
Maksudnya : “Manusia bertanyakan kepadamu (Muhammad) tentang hari kiamat. katakanlah, “Ilmu tentang hari kiamat itu hanya di sisi Allah. “Dan tahukah engkau, boleh jadi hari kiamat itu sudah dekat waktunya.”(surah Al-Ahzab, ayat 63)
kita juga haruslah takut terhadap azab pedih yang dijanjikan Allah bagi mereka yang ingkar kepada-NYA…
Maksudnya : “Dan orang-orang yang berusaha untuk (menentang) ayat-ayat Kami dengan anggapan mereka dapat melemahkan (menggagalkan azab Kami), mereka itu akan memperoleh azab yang sangat pedih.” (surah Saba’, ayat 5)
kita wajiblah memelihara kemaluan dan kehormatan diri kecuali kepada muhrim kita…
bagaimana caranya??
dengan menutup aurat kita…
Maksudnya : “Maka syaitan membisikkan fikiran jahat kepada keduanya untuk menampakkan kepada keduanya yang tertutup dari mereka iaitu auratnya…”Al-A’raf, ayat 20)
Allah berfiman dalam surah Al-Ahzab, ayat 59 yang bermaksud :-
“wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu dan perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
dan bukan sahaja pakaian kita, malah perbuatan dan perkataan kita harus dijaga..haa…jangan lupa pandangan kita…bukankah dari mata jatuh ke hati?? oleh itu, jangan lupa menundukkan pandangan kita…ingat tau, menundukkan pandangan mata…bukan menundukkan kepala…
ahli syurga juga merupakan mereka yang memelihara dan menjaga amanah dan janji mereka…
tahukah kamu bahawa Allah sangat membenci mereka yang mengatakan apa yang tidak mereka lakukan??
ini bukan kata saya, tapi kata Allah…Allah telah berfirman dalm surah As-Saff, ayat 2 dan 3 yang bermaksud
“wahai orang-orang yang beriman! mengapa kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan..(Itu) sangatlah dibenci di sisi Allah jika kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan…”
oleh itu sahabat, kalau kita berjanji atau memegang sesuatu amanah, harus kita tunaikan dan menjalankannya dengan bertanggungjawab…baik dengan manusia mahupun kepada Allah…jangan jadi orang munafik yang tak menepati janji…
dan…kita haruslah bersikap jujur dan adil jika kita menjadi saksi…walaupun orang yang bersalah itu keluarga kita, kita harus bercakap jujur terhadap apa yang kita saksikan…dan adil…walaupun mereka itu orang ang kita sayang…
sahabat…menjadi saksi yang jujur dan adil ini bukan sahaja sifat ahli syurga…malah ia merupakan sifat ‘ibaadurrahman…Allah mengatakan ini dalam Surah Al-Furqan, ayat 72…
oleh itu sahabat…ingin saya tekankan di sini bahawa, ujian yang Allah timpakan kepada kita bukan untuk membebankan kita atau menyusahkan kita tetapi…ujian itu merupakan kayu ukur bagi seseorang, dimanakah tahap atau darjat mereka di sisi Allah…
dan…kita diuji agar kita bersabar dan bersyukur…
sama-samalah kita menjadi hamba-NYA yang bersabar dengan ujian-NYA dan bersyukur dengan nikmat-NYA….agar kita dimuliakan di jannah-NYA…aamiin…
waallahua’lam…yang baik itu datang daripada Allah…yang buruk itu kelemahan diri yang bergelar manusia…hakikatnya semua datang daripada Allah…moga kita menjadi muslim yang sebenar-benar muslim…

sumber: http://www.iluvislam.com/inspirasi/9910-ujian-hidup-bagaimana-menghadapinya.html
Penulis
Editor
Abi Aisyah

Untukmu Bidadari Syurga

Hamba Allah,
No 124,
Taman seri kenangan,
22000 Jerteh,
Terengganu Darul Iman. 23 Julai 1993
Kehadapan awak-Bidadari Dari Syurga.
Saudari,
Saya berharap dengan hasil penulisan saya ini diberkati dan dipelihara oleh Allah S.W.T. Tujuan saya menulis surat ini kerana saya tidak tahu bagaimana lagi untuk menyampaikan isi hati ini terhadap awak.
Sedia maklum, awak bukan seperti wanita yang pernah saya temui. Awak ada hak mutlak keperibadian yang tinggi yang susah untuk di ganggu gugat oleh para lelaki di luar sana. Sebab itu saya seolah-olah tidak berani untuk mendekati awak. Saya tahu juga, awak bukan perempuan yang senang untuk diajak ber”couple“. Saya tahu juga, kasih sayang awak hanya untuk Allah S.W.T dan kedua ibu bapa awak.
Saya lelaki kerdil, awak. Saya jauh beza jika dibandingkan dengan ilmu, amalan awak dan tahap keimanan awak terhadapNya. Saya malu untuk mengatakan apa yang terbuku kerna ia ibarat ada satu tembok penghalang yang memisahkan kita. Saya hargai tembok itu yang juga memisahkan kita untuk melakukan perkara-perkara yang tiada faedah, dan akhirnya kita berdua terleka dengan godaan syaitan dan pujuk rayu nafsu. Saya tahu semua itu. Dan saya tahu awak lebih tahu akan semua itu. Saya tahu juga yang awak berusaha untuk melarikan diri dari semua itu –takut ada yang murka dengan perbuatan awak termasuk diri saya sendiri. Iaitu Allah S.W.T.
alt
Saya dari dulu sebelum mengenali awak lagi, saya sudah percaya akan bercinta selepas nikah itu adalah yang paling bahagia. Saya tak mahu kasih sayang saya ini, perhatian saya ini diberikan kepada orang yang tidak layak disisi agama dengan cara ber”couple” tapi akhirnya tiada apa-apa ikatan. Saya ada asas-asas agama tapi saya perlu masa lagi untuk perbaiki mana-mana kelemahan saya.
Saya tahu apa yang awak pegang selama ini. Awak pegang bahawa, ” Wanita solehah itu aurat dijaga, pergaulan dipagari, sifat malu pengikat diri, seindah hiasan di dunia ini. Keayuan wanita solehah itu tidak terletak pada kecantikan wajahnya. Kemanisan wanita solehah itu tidak terletak pada kemanjaanya. Daya penarik wanita solehah itu bukan pada kemanisan bicaranya yang mengoncang iman para muslimin dan bukan pula terletak pada kebijaksanaannya bermain lidah, memujuk rayu dan bukan dan tidak sama sekali.
Tapi ada satu perkara yang pasti, saya belum cukup bersedia untuk semua ini kerana saya takut saya tidak mampu memberikan bimbingan dan layanan yang baik untuk seorang yang saya boleh katakan hampir sempurna di mata saya. walaupun awak tak pernah senyum pada saya, saya pasti awak baik orangnya. Awak garang orang nya. Awak sombong bertempat. Awak garang bertempat.
Saya harap awak sudi tunggu saya. InsyaAllah, saya akan pastikan semua perkara stabil dari segi zahirnya dan batin. Saya nak awak hidup sempurna di samping saya. Saya nak jadikan awak orang yang paling bahgia berada dengan saya.
Seperti awak, saya juga tidak mahu untuk bercinta sebelum nikah. Kita bercinta selepas nikah. Saat segalanya telah sedia, izinkan saya untuk meneruskan langkah untuk bertemu wali awak.  Namun, jika awak belum bersedia, saya akan tunggu awak.
Surat ini ikhlas saya tulis untuk wanita yang pertama ada dalam hati saya.

Yang benar,
Hamba Allah
Setia menanti awak.

Moral : Jika ingin bernikah, mulakanlah langkah, Gunakanlah jalan tengah… Jika sempurna persediaan diri, bertemulah pada wali, Itu lebih mulia dan terindah. Sesungguhnya islam itu indah, maka jadikanlah islam itu sebagai cara hidup kita. Semoga dipermudahkan segalanya. InsyaAllah~

sumber : http://www.iluvislam.com/tazkirah/remaja-a-cinta/6692-untukmu-bidadari-syurga.html
Penulis
Editor
Aina Amidin

Berusaha Menjadi Solehah




Engkau wanita syurga bidadari dunia
Kehormatan kau jaga dengan penuh cinta
Engkau wanita syurga
bak permata berharga
berbinar indah dalam kesucian jiwa 

                                                                                                                               …………………………………………………


Awatif..Akulah tu.Nama yang diberikan itu sesungguhnya indah bagi diriku.
Aku ingin menjadi seperti Khadijah..seprti Rabiatul Adawiyah..Nama-nama itu sangat hebat dalam sejarah srikandi Islam.
Ikhtilat?Apa itu ikhtilat?Perlukah ikhtilat?..
Hemm.Ikhtilat sesama ajnabi sangat penting.Batas pergaulan antara lelaki dan perempuan sanagt perlu dititikberatkan.
Dalam usiaku baru 19 tahun, baru memasuki dunia kampus di salah satu Pusat pengajian di kota metropolitan itu , aku sememamangnya ingin mencintai dan dicintai.Aku amat menjaga ikhtilat sesama ajnabi..Namun syaitan ada di mana2..ishh..nyah kau dari hidup aku..!ganggu aja..pergi kau wahai syaitan..!!jgn sesekali kau robek hatiku..!!
Namun , hidup tak selalunya indah.Aku lemah dengan panahan mesra si Adam yang asyik mengganggu aku.Namun alhamdulillah..aku ada pembimbing paling mustajab..Finalah..!! Dialah teman..dialah segalanya..dia ada di saat aku susah senang..dia penguat aku!!Alhamdulillah..sebenarnya Allah yang tolong aku..cuma Finalah sebagai perantaraNya..subhanaAllah..sungguh cantik aturanMu….!
“Fina,tolong aku,kau tahu bukan aku tidak suka bercinta sebelum kahwin? Kau juga tahu prinsip aku.”kata aku kepada sahabat karibku itu.Hanya dia seorang yang tahu masalah aku itu.
“ Watif , kalau dia nak ‘cop’ kau apa salahnya.Yang penting masing-masing menjaga ikhtilat.Tapi bagi aku, kau utamakan dulu pelajaran kau..nanti berkhayal tak tentu pasal..kau sendiri yang rugi kan?..sejauh manapun kita ingin menjaga suatu perhubungan itu..selagi tu syaitan makin mengganggu..tah2..syaitan yg first class yg akan mengganggu kau..huhu..tapi macam aku cakaplah..tidak salah kalu dia nk takdim kau..Tp ingt pesan aku…mujahadah binafsi.kena kuat..lelaki ini manis bila berbicara…tu paling kena ingat tau..!!” Jawab Fina.
Aku buntu mencari jawapan mengenai lamaran Azmir terhadap diriku.Sememangnya memuliakan wali itu paling aku inginkan..ahh..buntunya..
Astagfirullah..Awatif..kenapa benda kecik pun kau nak tension2..relaks..yang penting kau tegas dengan prinsip dan pendirian kau…Umur 19 tahun?Perlukah kau fikirkan semua tu?..getus Awatif dalam dirinya..
Hem biarlah..relaks..bagi aku masih awal..keutamaan aku belajar dan keluarga..
Jodoh itu akan hadir jika kita sudah bersedia..
Dan sekarang aku belum bersedia…
————————————————————————–
UNTUK MENGGAPAI WANITA SYURGA ITU SULIT SEKALI.WALAU DI AWAL MENJAGA TETAPI TERKADANG TUNDUK JUGA PADA HASUTAN NAFSU DAN SYAITAN..MUJAHADAH NAFSI PERLU KUAT..KEAZAMAN PERLUKAN TINDAKAN MENGHASILKAN KEJAYAAN.
IKHTILAT
Bermaksud pergaulan.Pergaulan membawa maksud percampuran sesama manusia sama ada lelaki atau wanita.
Susahkah ingin menjaga iKhtilat?Sememangnya ia memerlukan mujahadah yang sangat kuat.
Bisa sahaja jikalau berurusan dengan lelaki..namun jagalah batas2 pergaulan..mungkin susah..tapi bermujahadahlah….
Tiada ada masalah kalau seorang wanita itu telah ‘dicop’ oleh mana-mana lelaki.Namun ingat..Syaitan itu ada di mana-mana.Dia akan sentiasa mengaburi mata kita.Jagalah perhubungan yang dibina mengikut syarak.Couple Islamik tidak pernah wujud dalam Islam.Matlamat takkan menghalalkan cara.Couple islamik hanyalah selepas melafazkan sakinah yang mulia iaitu ijab dan kabul.
Saya ingin berkongsi secara ringkas satu kisah benar.Seorang perempuan ini telah ‘dicop’ oleh seorang lelaki , dan tempoh perkenalan mereka selama 7 tahun.Dalam tempoh itu si lelaki meminta untuk berhubung dengan perempuan itu 4 bulan sekali.Tetapi perempuan itu tidak bersetuju dan menjawab.Kalau kamu tidak mendengar berita saya meninggal dunia , maknanya saya masih sihat..SubhanaAllah.Lihatlah betapa si perempuan ini amat menjaga perhubungan ini.Dalam tempoh 7 tahun hanya 3 kali mereka berhubung.Itulah natijahnya jika Allah sebagai penyantar utama dalam perhubungan itu..
Dan paling terkesan apabila si perempuan ini berkata..Kalau sekarang kita sering menghubungi sesama kita,Apakah nasib bakal generasi akan datang.??Kalau sekarang kita sering bermesej , bergayut siang malam.Anak-anak kita juga akan melakukan hal yang sama,Bahkn lebih teruk lagi dari itu.
………………………………………………………………..
Wanita solehah itu bukanlah terletak pada pakaiannya
Wanita solehah itu bukanlah terletak pada status ustazahnya
Wanita solehah itu bukanlah terletak pada kelembutannya
Namun..pada dia ada segalanya…
penyejuk mata hati ayah dan bonda..
Berusaha untuk menjadi solehah..
wanita solehah itu tatkala tidak memandang dan dipandang…
perbaiki diri..perbaiki peribadi..Insyaallah Allah akan kurniakan Imam yang mampu membimbing kita menggapai wanita syurga bidadari dunia..
………………………………………………………………..
Mudah utk jatuh cinta,
tidak salah,
kerana itu merupakan fitrah,
namun cara untuk mengendalikn rasa cinta itu yg susah.
ada yg mampu,
ada juga yg tersungkur..
tidak salah jikalau ada yg ‘cop’ atau ‘takdim’ seseorg wanita itu,
namun jagalah batas ikhtilat..
ingtlah,
jika hri ni kita mesej dgn ajnabi tnpa tjuan kpntingan,
jika hri ini kita berdating tnpa rasa malu dan segan,
jika hri ini kita berpegangn tgn tnpa takut pd tuhan,
jika hari ini kita bergayut siang malam tanpa rasa kegusaran,
Bagaimana nasib generasi di hari depan?
Bagaimana nasib Islam di hari depan?
Mungkin kita bisa bersuka ria..bergelak ketawa..bersenda gurau di saat ini
Namun jgn kita tangisi , jgn kita sesali , jgn kita ratapi ,
Jika generasi muka yg lahir menjadi hamba kepada duniawi,
Menjadi hamba kepada musuh yang hakiki,
nauzubillahminzalik.
ayuh,sama2lah perbaiki diri,Insyaallah,
Allah xkn memandg enteng stiap usaha hmbanya.

YA ALLAH KUATKAN KAMI UNTUK MELAWAN NAFSU DUNIAWI..
YA ALLAH TABAHKAN KAMI MENEPUH JALAN ONAK PENUH DURI..
SESUNGGUHNYA KAMI LEMAH TANPAMU DI SISI..
BANTULAH KAMI..
BIMBINGLAH KAMI ..
PIMPINLAH KAMI..
AGAR BISA MELALUI JALAN INI..
JALAN YANG DIBERKATI,
JALAN REDAMU YA ILAHI..
AMIN YA RABBAL ALAMIN..
‘ORANG YANG TAK BERCOUPLE SEBENARNYA BUKANLAH TAK LAKU,TETAPI CINTANYA HANYA UNTUK LIMITED EDITION UNTUK YANG HALAL SAHAJA’- UAI

sumber:  http://www.iluvislam.com/tazkirah/10212-berusaha-menjadi-solehah.html
Penulis
Editor
Abi Aisyah

Bukan Kerana Dunia


Matanya memandang ke langit. Hujan masih tali-bertemali turun dari langit yang sudah tiada awan menghiasinya. Senyum, sambil matanya dipejam. Subhanallah, sejuknya. Angin sejuk, bau hujan dan bunyi titis air yang turun ke bumi membuatkan dia rasa suatu perasaan yang sungguh dekat pada Yang Maha Mencipta. Tenang. Ya, dia rasa tenang. Tenang kerana ingatan dan hatinya kembali ada pada Allah.
Surah Ar-Ra’d ayat 28,
“ (iaitu)orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenang tenteram.”
‘Tenang,bila hati ada pada Allah,’ Iman tersenyum lagi.
Sudah lama dia tak merasa hujan bumi Terengganu ini. Hampir tiga bulan dia tidak pulang, Jihad mencari ilmu di tanah asing.
Perasaan gementar tu memang ada bila tercampak kat Kuala Lumpur seorang diri dulu. Lepas SPM, kawan-kawannya berterabur merata di bumi Allah ini. Dan dia seorang saja yang mendapat tawaran ke Universiti Malaya di Pusat Asasi Sains di bawah tajaan JPA.
Ketika dia belajar, dia ada dapat tawaran medik ke Rusia tapi dia yang menolak, sebab cita-cita asal dia memang nak jadi jurutera dalam bidang kimia. Semoga Allah mengabulkan cita-citanya. Dia dah melangkah dua langkah dalam mengejar cita-citanya itu. Sekarang dia tengah bercuti tiga bulan,buka semester baru nanti, dia akan masuk ke tahun akhir dalam Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia.
Memang universiti tempat dia belajar itu tak ada perkataan ‘ISLAM’ pada namanya. Tapi Subhanallah,rahmat Allah ada di mana-mana, seluas langit dan bumi. Dia tak sangka, dia bertemu dengan cinta di sini. Cinta Allah yang tak pernah meninggalkan dia sendiri. Dulu, hatinya tenang tapi tak setenang kini. Sebab kat sini dia belajar menjadi dewasa. Mengenali cita-cita sebenar seorang mujahid sejati. Syahid di jalan Allah swt.
*******
“Dan barangsiapa yang berhijrah di jalan Allah, nescaya mereka akan mendapatkan di bumi ini tempat hijrah yang luas dan (rezeki) yang banyak. Barangsiapa keluar dari rumahnya dengan maksud berhijrah kerana Allah dan RasulNya, kemudian kematian menimpanya (sebelum sampai ke tempat yang dituju), maka sungguh,pahalanya telah ditetapkan di sisi Allah. Dan Allah Maha Pengampun,Maha Penyayang.”
Ayat ke 100 daripada Surah An-Nisa’ itu selalu menjadi penawar hatinya bila kadang-kadang dia terasa lelah dengan perjuangan di rantau orang padahal dia ni belajar dalam negara,belum duduk luar negara lagi.
Hidup sebagai seorang Islam yang masuk keseluruhannya ke dalam Islam itu sememangnya manis. Kalau kita rasa lemah,kita ada ayat-ayat cinta daripada Dia untuk memujuk. Kalau kita rasa gembira pun,kita tetap ada. Dia tempat kita sandarkan rasa syukur yang tak terhingga. Alhamdulillah. Iman bersyukur dengan hidup yang dia ada.
Kalau dulu di sekolah menengah, dia rasa dia dah cukup baik. Dia percaya dia baik sebab semua orang kata dia baik. Berasal dari keluarga yang berlatar belakangkan agama yang boleh dikatakan utuh, buat dia menjadi rujukan kalau ada antara kawan-kawannya ada masalah di sekolah dulu. Astaghfirullah. Insaf bila teringatkan diri yang pernah bangga dengan diri sendiri, padahal ilmu agama yang dia ada tak sehebat sahabat-sahabat dia di sini.
Dan bumi Kuala Lumpur menyaksikan air mata seorang Muhammad Iman tumpah; bukan lagi kerana dunia tapi kerana merasa kecil dan lemahnya dia seorang hamba. Tegar saja dulu berasa dirinya hebat sedangkan ilmu agamanya sikit sangat-sangat.
Ya. Dia pernah pudar kerana dunia. Dia pernah tenggelam dalam cinta dunia. Dia malu dengan Allah. Dia pernah suka melebih-lebih pada seorang bukan muhrimnya. Dia tahu seorang muslim itu mesti menundukkan pandangan seperti dalam firmanNya dalam Surah An-Nur ayat ke 30,
“katakanlah kepada lelaki yang beriman,agar mereka menjaga pandangannya, dan memelihara kehormatannya,yang demikian itu lebih suci bagi mereka. Sungguh Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat.”
Tapi rupa-rupanya iman seorang yang bernama Iman ini masih lemah diuji perhiasan dunia. Dia tahu apa yang dia buat itu salah, tapi waktu itu perasaan berdebar dalam hatinya tiap kali bertentang mata dengan Hanim terasa indah, mengaburkan dia tentang indahnya lagi mentaati perintah Allah dalam Surah An-Nur itu. Astaghfirullah. Hanim itu kawan satu sekolahnya, tapi dia tak pernah pun berbual; hanya memandang dari jauh.
Tapi diamnya dia bukan diam yang tiada gunanya. Diamnya dia selama ini daripada berbicara soal hati bukan diam yang sia-sia. Lima tahun. Hampir lima tahun dia simpan hatinya kejap-kejap dari diketuk mana-mana wanita. Mama asyik tanya betul ke dia tak ada kawan dengan siapa-siapa? Mama risau dekat dia macamlah dia anak perempuan,takut lambat jodoh. Iman tersenyum. Mama,mama. Kalaulah mencari calon isteri itu semudah memetik suis lampu, dah lama angah buat,ma. Tapi mamanya memang selalu pandai mematahkan hujahnya.
Hampir lima tahun dia tak bertemu gadis itu. Tapi namanya tetap ada dalam fikiran,dalam hati. Hanim Najwa.Lima tahun ini bukan lima tahun yang sia-sia baginya. Dia sudah berusaha sungguh-sungguh agar hatinya tidak tunduk dengan dunia.
Tak apa Iman, kalau betul jodohnya dengan Hanim, pasti Allah datangkan kembali Hanim pada dia. Kalau tak ada, insyaAllah pasti ada yang lebih baik menanti untuk menjadi suri hatinya nanti. Iman tak mahu risau lagi, sebab dia yakin Allah telah sediakan yang terbaik untuknya. Apa yang dia ingin lakukan, berjuang sungguh-sungguh di jalan Allah sebab dia sayangkan warisan tinggalan Rasulullah SAW ini. Syahid di jalanNya. Amin.
Bibirnya melafaz tasbih cinta.
Subhanallah. Alhamdulillah. Laa ilahaillah. Allahuakbar.

sumber: http://www.iluvislam.com/tazkirah/remaja-a-cinta/9962-bukan-kerana-dunia.html
Penulis
Editor
Naquiah Noor

Friday, September 12, 2014

Layakkah Kita



Aku tonton sekali lagi cerekarama Runtuhnya Sebuah Dosa, kali ini dengan rakan-rakan aku setelah tamat usrah. Ada satu adegan di mana Rashidi, lakonan Remy Ishak sedang bersembang dengan adiknya. Adiknya bertanya pendapat daripada abangnya berkenaan kawannya yang mahu belajar agama daripadanya. Abangnya berpesan supaya mengajarlah kawannya itu apa yang hanya diketahui, tidak perlu tahu tentang semua perkara.
Kita mungkin sudah biasa dengan ayat itu. Ketika mana ada yang merisik kita untuk menjadi ‘kakak usrah’, antara dilema yang dihadapi ialah, “layakkah aku?”. Itu persoalan yang biasa terlintas. Mahu tunggu layak? Apa definisi layak? Sudah khatam ayat al-Quran? Pakai tudung labuh? Hafal semua hadis yang popular? Mengerjakan solat-solat sunat? Tidak pernah terlepas membaca surah al-Kahf setiap malam Jumaat atau surah al-Mulk setiap kali sebelum tidur?
Ya Allah!
Kalau itulah definisi layak, agaknya tiada langsung yang memegang tugas dai’e sekarang. Bukan mahu menyatakan bahawa dai’e sekarang tiada langsung yang mempunyai semua kriteria itu, namun bilangannya tentulah tidak seramai yang ada hanya sebilangan kriteria tersebut. Apa yang mahu disampaikan di sini ialah, kita tidak mungkin akan menjadi yang sempurna, atau bebas dosa. Jauh sekali menunggu diri ini ‘dianugerahkan’ pangkat ma’sum, barulah mahu menjadi seorang dai’e.
Kita biasanya lebih terkesan dengan seseorang yang latar belakangnya banyak persamaan dengan kita. Bukanlah mengatakan bahawa apabila mendengar sirah nabi dan para sahabat langsung tidak memberi kesan dan motivasi untuk kita berubah dan bersama-sama untuk membantu agama Allah.
“Mereka ma’sum, kita ini siapalah sangat. Banyak dosa.” Itu yang sering bermain dalam benak fikiran. Memang benar Rasulullah itu ma’sum. Cuma, apa yang cuba saya sampaikan ialah yang kita lebih senang melihat, dan mencontohi seseorang yang lebih sama dengan kita; dari segi jantina, usia, status ekonomi, pendidikan dan lain-lain. Hal ini kerana melihat sesorang yang lebih banyak persamaan membuatkan kita percaya yang apa yang mampu dicapai olehnya juga mampu dicapai oleh kita. Senang cerita, saya sendiri lebih senang menjadikan kakak-kakak usrah sebagai role model untuk berubah. Kerana mereka sendiri lebih banyak persamaan dengan saya. Mereka juga pernah berada dalam kehidupan yang penuh jahiliyyah, dan masih struggle untuk menjadikan diri mereka semakin hari semakin baik. Mereka juga sama-sama berusaha untuk membentuk diri mereka menjadi insan yang hidupnya berlandaskan al-Quran dan sunnah. Kerana itu, tidak melampau jika saya katakan yang kakak-kakak usrah ini, walaupun mereka bukan ma’sum dan bebas dosa, masih layak untuk menjadi role model.
Jadi masih tidak layakkah kita?
Sambil kita berpesan kepada orang, kita sebenarnya berpesan untuk diri sendiri. Walaupun kita tidak khatam kitab-kitab agama yang dikarang oleh para ulama terkemuka, ia tidak bererti kita langsung tiada apa untuk disampaikan. Terkesan saya mendengar Irma Hasmi ketika berucap dalam Konvensyen Bidadari Dunia. Katanya yang lebih kurang begini, “Saya kongsi pengalaman, juga boleh dijadikan ilmu.” Saya setuju dengannya. Pengalaman hidup setiap daripada kita yang dicerita semula mampu untuk membuatkan yang mendengar rasa tersentuh dan mula berfikir, dengan izinNya. Kita tidak akan pernah jangka siapa yang akan bercerita kisah yang lebih kurang sama sahaja dengan kisah orang lain, yang selama ini kita dengar dan melupakannya, tiba-tiba mampu membuatkan kita terfikir panjang dan mula bermuhasabah diri. Saya pasti, jika kita menghadiri mana-mana majlis ilmu, speakers yang berucap akan bercerita kisah yang lebih kurang sama sahaja. Namun, dengan kuasaNya, kita tiba-tiba tersentuh dek kerana kisah itu diceritakan oleh seseorang yang dia sendiri tidak jangka mampu membuatkan seseorang berubah, dengan izinNya.
Saya mahu persoalkan sekali lagi. Layakkah kita? Tidak mahukah kita mengambil peluang untuk membuat kebaikan, untuk menyampaikan barang satu ayat pun kepada yang lain? Tidak mahukah kita menjadi penyebab atau pencetus kepada seseorang untuk berubah, dengan izinNya? Kita tidak akan pernah jangka, dalam banyak-banyak ayat yang kita sebut, dalam banyak-banyak perbuatan yang kita lakukan, dalam banyak-banyak perkataan yang kita tuliskan, walaupun hanyalah ulangan ayat, perbuatan dan perkataan yang sama dan berulang-kali daripada orang lain, dapat menjentik hati dan keinginan seseorang untuk berubah menjadi yang lebih baik. Sayangnya jika yang datang daripada kita semuanya hanya yang sia-sia. Artikel yang saya tulis, dan anda baca ini juga artikel yang menyentuh isu yang sudah banyak kali ditulis. Dan kenapa saya tetap mahu menulis tentang ini?
Wallahualam.

sumber : http://www.iluvislam.com/tazkirah/10262-layakkah-kita.html
Penulis
Editor
Abi Aisyah

Cinta Tidak Kenal Siapa…



“Mahukah engkau menjadi isteriku?” Soal Azman.
Azrina yang mendengar lontaran soalan itu terkejut sebentar. Dia tidak menyangka soalan itu akan muncul dalam ruang nafas waktunya.
Azman mula berkenalan dengan Azrina ketika dia belajar dan bekerja di salah sebuah bengkel di Negeri Sembilan sejak beberapa tahun yang lepas. Azman begitu serius dan bertekad untuk menikahi Azrina agar menjadi isteri yang sah sebagai pendamping hidupnya selepas ini.
Akhirnya, Azrina telah membuat keputusan dan bersetuju untuk menjadi isteri kepada Azman. Mereka tahu bahawa keputusan ini agak sukar kerana risau akan menjadi perhatian umum masyarakat kelak.
Tetapi, kerana inginkan hubungan yang halal dan cinta yang diredhai Allah SWT mereka nekad dan bersepakat untuk melalui kesusahan yang bakal dihadapi bersama-sama.
Tidak perlu didengar kata-kata serong orang.
Tidak perlu terasa ejekan menyindir.
Tidak perlu ditangisi senyuman sinis.
Kerana setiap kesusahan pasti ada kesenangannya nanti.
Setelah beberapa bulan, maka, berlangsunglah majlis perkahwinan di antara Azman dan Azrina. Majlis yang diadakan tersebut cukup sederhana. Semuanya berjalan dengan lancar sekali.
Kebetulan, seorang wartawan tempatan turut berada di majlis mereka memandang majlis perkahwinan tersebut serentak dengan jamuan hari raya Aidilfitri anjuran sebuah persatuan bengkel tempat Azman bekerja.
Pada mulanya, wartawan tersebut hanya hadir atas jemputan pihak persatuan untuk mendapatkan maklumat dan liputan semasa majlis tersebut agar dapat dimuatkan dalam ruangan akhbar tempatan pada keesokan harinya. Tetapi, entah mengapa dia juga amat tertarik dengan majlis perkahwinan Azman dan Azrina.
Ada sesuatu yang istimewa.
Usai majlis perkahwinan dan jamuan hari raya Aidilfitri, wartawan tersebut terus berjumpa dan sempat bertanyakan soalan kepada Azman.
“Tahniah atas perkahwinan anda berdua,” wartawan tersebut memulakan bicara.
“Tetapi, sudahkah encik berfikir masak-masak sebelum mengambil keputusan untuk melangsungkan perkahwinan ini ? Tidak risau ke dengan pandangan masyarakat sekeliling nanti ?” wartawan tersebut meneruskan bicaranya lagi.
Wartawan tersebut terkesan dihatinya apabila Azman menjawab soalan yang ditanyakan olehnya.
Siapa sangka soalan itu dijawab oleh Azman dengan senyumannya yang melebar.
Menampakkan keikhlasannya menjawab.
“Kami hanya cacat anggota, tetapi hati kami tidak cacat. Sama seperti insan normal yang lain, kami mahu disayangi dan dicintai. Sebab itu saya nekad mendirikan rumahtangga walaupun sedar keadaan diri tidak sempurna,” kata Azman yang kini berusia 32 tahun.
“Saya memberanikan diri melamar Rina (Azrina). Dia terkejut dan tidak menyangka hubungan kami berakhir ke alam perkahwinan memandangkan keadaan fizikal yang dikhuatiri akan menyukarkan hidup untuk menjalani kehidupan sebagai suami isteri,” sambung Azman.
Rupa-rupanya, Azman lumpuh dan terpaksa menggunakan kerusi roda selepas demam panas ketika berumur setahun. Perkenalannya dengan Azrina yang juga cacat anggota kaki empat tahun dulu menyemai bunga kecintaan sehingga bergelar suami isteri yang sah kini.
Cinta ini tidak mengenal siapa dan bagaimana keadaan orang itu. Apabila datangnya kesungguhan, maka, bersiap sedialah untuk mendambakan cinta yang ikhlas dan mengharungi segala onak dan duri bersama-sama. Sabar menempuh jalan dalam mengharungi ujian Tuhan.
Hanya doa itu yang menjadi penguatnya. Seringkali dilafazkannya. Doa dari al-Quran :
“Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata : “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”
(Surah al-Furqan ayat 74)
Artikel iluvislam.com

sumber : http://www.iluvislam.com/tazkirah/remaja-a-cinta/6491-cinta-tidak-kenal-siapa.html

Biodata Penulis

Ishack Abbas merupakan bekas graduan Politeknik Kuching Sarawak dalam bidang kejuruteraan elektronik.  Berkongsi karya dihttp://senysanasiny.blogspot.com/
Penulis
Editor
Abi Aisyah