SAHABAT TENTERA FISABILILLAH™

Sunday, June 2, 2013

Hanya Kerana Sedekah Sekupang



 



"Adik payung ni berapa harga?" tanya ku kepada adik penjaga gerai.
"Satu RM14.90 kak," jawabnya.
"Ok lah akak nak beli satu yang ini," sambil tangan ku memegang payung berwarna hijau.
Lalu 2 keping note merah kuhulurkan kepadanya, dan baki RM5.10 dihulurkan kembali kepada ku, namun aku kembalikan 10sen (sekupang dalam bahasa utaranya) kepadanya.
"Ambillah dik akak sedekah sekupang ni."
 Bagiku yang penting aku dapat payung untuk mengambil anakku dari kelas mengaji al-quran. Kebetulan tanpa ku sangka hujan turun mencurah-curah hari itu.

Selepas mengambil anak, aku bercadang untuk ke gerai seberang jalan untuk membeli makanan tengah hari, namun dijadikan cerita gerai makanan tersebut ditutup kepada orang ramai kerana para pekerjanya sibuk menyiapkan tempahan. Sesampai aku di hadapan gerai makanan tersebut, seorang pekerja menyapa ku,
"Kak kita tak buka untuk hari ini, tapi bos saya kata kalau akak nak beli jugak menu yang sama dengan tempahan ada lebihan," salah seorang pekerja di situ bertanya kepadaku.
"Lauk asam pedas ikan parang, sayur kacang goreng dan sambal belacan saja menunya," dia memberitahu.
"Hmm bolehlah dik, bungkus dua," kata ku.

Setelah bungkusan bertukar tangan lalu kutanyakan berapa harganya.
"Kak, bos saya kata tak payah bayar dia sedekahkan makanan ini untuk akak dan anak akak," terpana aku seketika, alhamdullillah rezeki bisik hatiku.
Sepanjang perjalannan balik peristiwa itu bermain-main dibenak fikiran ku. Pelbagai persoalan yang timbul, mungkinkkah kerana sedekah sekupang ku Allah gandakan balasannya dan dibayar tunai. Subhanallah... alhamdullillah... nikmat apa yang hendak didustakan lagi?
Aku teringat pada sabda junjungan yang pernah ku baca di laman rasmi Jabatan Kemajuan Islam dulu. 
Sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda :
"Harta tidak akan berkurang dengan sedekah. Dan seorang hamba yang pemaaf pasti akan Allah tambahkan kewibawaan baginya."
(Hadis Riwayat Muslim)

Sedekah itu umpama pelaburan jangka panjang (long term investment) kerana Allah telah menjanjikan lima kebaikan di dunia dan lima kebaikan di akhirat iaitu; 
5 kebaikan di dunia :
1. Menyucikan harta
2. Menyucikan badan
3. Menolak bala dan penyakit
4. Mengembirakan orang miskin dan mengembirakan orang mukmin
5. Diberi keberkatan keatas hartanya dan diluaskan Allah rezekinya


5 kebaikan di akhirat pula ialah :
1. Dinaungkan Allah orang yang bersedekah di hari Qiamat ketika sangat panas
2. Ringan hisabnya
3. Berat timbangannya (amalan)
4. Mudah melalui titian siratal-mustaqim
5. Bertambah darjatnya di dalam syurga


Apa yang aku pelajari dari peristiwa ini untuk bersedekah tidak memerlukan wang atau harta yang banyak sebagaimana sabda Rasulullah SAW :
"Bersedekahlah kamu sekalian, meskipun dengan hanya sebiji tamar, sesungguhnya sedekah itu dapat memenuhi keperluan orang yang lapar dan menghapuskan kesalahan, sebagaimana air dapat memadamkan api."
(Hadis Riwayat Imam Ahmad)
Paling penting hati kita mestilah melakukan dengan ikhlas kerana Allah.
Peristiwa yang telah aku lalui itu betul-betul membekas dihati kerana sedekah sekupang aku dapat makanan untuk dua orang. Sesungguhnya bersedekah itu indah.. ayuh sahabat sekalian marilah kita membanyakkan sedekah kerana Allah.
- Artikel iluvislam.com

Pilih Jodoh Bertudung Atau Yang Menutup Aurat?

"Aku tak nak kahwin dengan perempuan yang bertudung!"
"Haa? Kenapa?"
"Aku nak kahwin dengan wanita yang tutup aurat."
Alhamdulillah. Tersenyum hati mendengar jawapan yang serius itu. Tentunya jejaka tersebut seorang yang sangat menjaga diri dan kehidupannya. Pasti dia bukan calang-calang lelaki.
Bayangkanlah, pasangan hidup yang dipilih bukan sekadar bertudung tetapi lengkap menutup aurat. 

Dalam erti kata lain, dia sedar bahawa urusan perkahwinan bukanlah perkara yang remeh. Hanya insan yang mentaati Allah dan Rasul-Nya sahaja yang terpaut di hati untuk dijadikan permaisuri dalam istana rumah tangga.

Lihatlah di sekeliling kita. Apa yang berlaku dalam masyarakat Islam hari ini? Berapa ramai wanita yang bertudung? Pasti boleh dibilang dengan jari bukan? Tidak ramai. Yang bertudung pula, tidak semua menutup aurat dengan sempurna.
Buktinya? Kita boleh lihat dengan mata kepala kita sendiri. Mereka bertudung tetapi tidak labuh hingga menutupi dada. Pakaian pula ketat, singkat, tipis, malah ada yang berlengan pendek. Jelasnya, mereka hanya bertudung namun dalam masa yang sama tetap mendedahkan aurat.


Hayati kembali perintah Allah ini;
ا أَيُّهَا النَّبِيُّ قُل لِّأَزْوَاجِكَ وَبَنَاتِكَ وَنِسَاء الْمُؤْمِنِينَ يُدْنِينَ عَلَيْهِنَّ مِن جَلَابِيبِهِنَّ ذَلِكَ أَدْنَى أَن يُعْرَفْنَ فَلَا يُؤْذَيْنَ وَكَانَ اللَّهُ غَفُوراً رَّحِيماً
Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin: "Hendaklah mereka melabuhkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka". Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal,maka mereka tidak akan diganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
[33:59]

Faktor inilah yang menyebabkan lelaki-lelaki yang beriman sangat memilih dalam soal pemilihan calon isteri. Bagi mukmin yang betul-betul hidup kerana Allah, dia pasti akan berfikir lima enam kali sekiranya diminta untuk memilih wanita yang 'bertudung tapi mendedahkan aurat'. Kemungkinan besar, permintaan wanita itu akan ditolak atau tidak dilayan.

Bagaimana pula dengan wanita yang langsung tidak bertudung? Di mana mereka di hati orang mukmin? Adakah mereka akan menjadi pilihan hati lelaki-lelaki yang bertaqwa? Sudah pasti tidak! Sedangkan yang bertudung pun masih diragukan dan ditolak ke tepi, apatah lagi yang langsung tidak bertudung? Pasti akan dibuang sejauh-jauhnya.
"Cerewet sungguh orang-orang mukmin!"
Ya.. memang cerewet! Hehee..

Pernah membeli makanan di kedai kuih? Mana satu yang menjadi pilihan, kuih yang dibungkus penuh, atau kuih yang dibungkus separuh? Atau yang langsung tidak berbungkus? Saya yakin kita akan memilih yang berbungkus penuh kerana keadaannya dijamin lebih baik dan bersih.

Begitulah juga dengan orang-orang mukmin. Mereka memang sangat memilih dalam hal ini. Bukan apa, kehidupan berumah tangga diwujudkan semata-mata untuk beroleh rahmat daripada Allah agar bahagia di dunia dan di akihirat. Andai tersalah pilih atau memilih mengikut nafsu, maka akan hilanglah bahagia dikemudian hari.

Lagipun Rasulullah SAW pernah berpesan kepada kita semua ;
"Wanita dinikahi kerana empat perkara; kerana hartanya, kerana kedudukannya/ keturunannya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya. Maka, pilihlah yang baik agamanya nescaya engkau beruntung."
[Riwayat Bukhari dan Muslim]
Rasulullah SAW ketika ditanya oleh para sahabat mengenai ciri wanita pilihan yang diperlukan oleh suami, Rasulullah SAW menjawab,
" Wanita yang menyenangkannya ketika dilihat. Wanita yang mentaatinya ketika disuruh, wanita yang tidak mengkhianatinya (tidak curang), dan wanita yang tidak mengkhianati hartanya pada perkara yang dibenci."
[Riwayat Abu Daud dan Nasai]
Wanita yang bertudung tetapi masih mendedahkan aurat di khalayak ramai merupakan wanita yang tidak serius menjalankan ketaatan kepada Allah. Wanita sebegini tidak mengamalkan ajaran Islam secara keseluruhan. Lantas bagaimana hendak dipilih menjadi calon isteri?

Cuba fikirkan sejenak..
Sedangkan perintah Allah SWT sanggup diabaikan inikan pula kita sebagai manusia biasa? Sudah pasti dengan mudah akan diingkari bukan? Pada masa itu, jangan hairan sekiranya kebahagiaan itu beransur-ansur hilang. Semuanya atas pilihan kita juga.



"Tapi jodoh sudah ditentukan! Kalau dia ditakdirkan untuk berkahwin dengan orang yang tidak menutup aurat secara sempurna, apa boleh buat.. memilih-milih pun tiada guna."
Ya.. jodoh memang sudah ditentukan oleh Allah. Allah sahajalah yang layak menyatukan hati-hati insan kerana hanya Dia yang mengetahui perihal hati. Kita jangan lupa bahawa jodoh atau ketetapan itu dijalankan dengan penuh keadilan oleh Allah SWT. Allah sesekali tidak akan menzalimi hamba-Nya. Allah tidak akan pernah mengecewakan hamba-Nya.
Lelaki baik yang beriman pasti akan berkahwin dengan perempuan baik yang beriman. Sebaliknya, lelaki yang tidak beriman akan berkahwin dengan perempuan yang tidak beriman juga. Itu janji Allah!
الْخَبِيثَاتُ لِلْخَبِيثِينَ وَالْخَبِيثُونَ لِلْخَبِيثَاتِ وَالطَّيِّبَاتُ لِلطَّيِّبِينَ وَالطَّيِّبُونَ لِلطَّيِّبَاتِ
"Wanita-wanita yang keji adalah untuk lelaki-lelaki yang keji, dan lelaki-lelaki yang keji adalah buat wanita-wanita yang keji (pula), dan wanita-wanita yang baik adalah untuk lelaki-lelaki yang baik dan lelaki-lelaki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula).
[24:26]
Maka, sebagai wanita..
Periksalah diri anda.. Tutuplah aurat dengan sempurna.
Bersungguh-sungguhlah mentaati Allah dan Rasul-Nya.
Usahlah terlalu sibuk memikirkan siapa yang bakal menjadi pasangan hidup kita,
sehingga lupa untuk sibuk memikirkan siapa diri kita di sisi Allah..
Kerana sikap diri kita hari ini menentukan sikap pasangan kita kemudian hari.

- Artikel iluvislam.com

Kebahagiaan Dalam Pencarian

 



"Suhana, kau pernah minat pada seorang lelaki tak?" tanya kawan saya ketika kami sedang duduk berehat.
"Pernah lah," jawab saya. Agak segan kerana soalan sensitif yang dilontar oleh kawan.
"Kalau kau suka, kau akan buat apa?"
"Aku akan berdoa dalam hati, Allah, aku suka akan dia, jika dia adalah jodohku, maka dekatkanlah dia untukku, jika bukan maka berikanlah yang lebih baik dari itu," jawab saya.
"Oh..." terdiam seketika kawan saya itu.

Benar, setiap orang pasti pernah jatuh cinta. Namun bagi yang menjaga iman dan diri, pasti dipendamkan dahulu, cuba berusaha dengan cara yang betul untuk meraih cinta tersebut. Berusaha untuk tidak mencemari diri dari melakukan perkara-perkara yang mampu mencalarkan maruah diri dan sebagainya.
Jangan jadi manusia terhegeh-hegeh dan terlalu menguja.
Wanita fitrahnya adalah seperti daun semalu, yang berduri dan bila disentuh tertutup malu. Seperti bunga mawar yang indah namun penuh berduri tajam. Jangan dihilangkan fitrah itu, kerana cinta anda sanggup mengejar sesuatu yang pasti bukan kepunyaan anda.

Seringkali kerisauan mengenai jodoh menjadi pendorong kepada berlakunya ikatan kemanusiaan jantina yang berbeza yang tiada nilai di sisi agama - bercouple tanpa sah!
Atas alasan takut diri tidak laku, maka jika sesiapa lelaki yang menghulur cinta maka terus diterima tanpa berfikir dengan akal yang waras. Maka ketetapan Allah mengenai jodoh tidak dipeduli kerana kerisauan yang sering menghantui diri.
Sudah dibilang pelihara diri anda, maka peliharalah kerana itu bukan sesuatu yang merugikan. 

Namun, jika diri sudah terperangkap dengan mainan emosi kerisauan ini, segeralah bermuhasabah.
Ya, benar.. saya akui, jodoh tidak akan bergolek, ia perlu dicari. Namun, pencarian anda itu bagaimana caranya? Adakah mengikut syariat atau tidak? Adakah anda yakin pacar anda sekarang pasti meminang anda atau tidak?

Dan akhirnya pasti kalian menjawab, "terserah pada Allah, moga inilah jodohku.."
Nah, akhirnya anda sendiri akur untuk berserah juga akhirnya, tetapi berserah setelah mengikut pencarian yang salah, anda sendiri mampu menafsir apa yang berlaku seterusnya.
Saya tidak menafikan juga bahawa kebahagiaan itu tidak mampu dinilai. Tapi sedarlah wahai sekalian sahabatku, kita sering bermimpi indah selepas perkahwinan, punya anak-anak yang soleh dan sebagainya, tapi hakikatnya kita masih kabur dalam menilai erti perkahwinan itu sendiri.

Seharusnya perkahwinan ini mampu menghasilkan generasi Islam yang lebih mantap, bukan pewaris kepada dosa-dosa yang kalian sudah lakukan sebelumnya.
Tuntasnya, saya mahu mengingat kepada diri serta sahabat sekalian bahawa carilah jodoh anda dengan cara yang paling diredhai oleh Allah.

Berpacaran bukanlah jalan terbaik untuk mengatasi masalah kerisauan anda tentang jodoh. Jika indah akhlak kalian, menjaga peribadi anda, jodoh itu sendiri datang kepada kalian tanpa disedari.
Mahu pasangan yang soleh dan solehah? Andalah yang perlu menjadi soleh atau solehah dulu...
Mintalah kepada-Nya, kerana hanya Dia  yang Maha Mengetahui jodoh terbaik untuk kalian.

Apa yang perlu kalian lakukan sekarang bukanlah menjalin hubungan mesra dengan pacaran tetapi jalinlah hubungan mesra dengan Yang Maha Memiliki!
Jangan sekadar mohon jodoh, namun mohonlah juga keturunan yang baik kerana itu bisa menjadi penyejuk mata dan hatimu.
Ikutlah jalan Islam, pasti bahagia selamanya... insyaAllah! <3

oleh:  Norsuhana Samsudin
- Artikel iluvislam.com

Mengapa Mesti Bersangka Baik?

alt























Tujuh sebab mengapa kita mesti bersangka baik;
Satu. 
 Kita mesti sentiasa bersangka baik kerana mungkin kita mempunyai sijil-sijil kecemerlangan kokurikulum atau akademik, tetapi kita tidak memiliki 'sijil' yang mengatakan bahawa kita antara yang dijanjikan syurga seperti 10 sahabat Nabi.
Dua. 
Kita mesti sentiasa bersangka baik kerana manusia lain juga seperti kita yang mempunyai setiap detik peluang untuk berubah ke arah yang lebih baik. Mungkin semalam dia seorang yang kedekut tetapi tidak mustahil dalam sekelip mata, hari ini dia menjadi seorang yang pemurah dan mungkin tiada yang menyangka bahawa hari esok dialah yang paling ikhlas dalam memberi.
Tiga. 
Kita mesti sentiasa bersangka baik kerana semua kita adalah bersaudara. Andai hati sahaja mudah berprasangka, bagaimana mahu menebar bahagia?
Empat. 
Kita mesti sentiasa bersangka baik kerana percayalah setiap sesuatu yang berlaku pasti ada sebabnya. Usah mudah mengangkat jari telunjuk menghukum namun eratkan jemari membentuk persefahaman dan kesatuan hati.
Lima. 
Kita mesti sentiasa bersangka baik kerana diri sendiri bukan seorang yang maksum dan sepi daripada melakukan dosa. 
Enam. 
Kita mesti sentiasa bersangka baik kerana hanya Allah yang mengetahui segala isi hati orang lain. Adakah kita fikir kita seperti Tuhan yang boleh membaca isi hati orang lain? Na'uzubillah.
Tujuh. 
Kita mesti sentiasa bersangka baik kerana kita hanya seorang hamba yang mesti taat kepada Penciptanya. Husnuszonlah sentiasa selama masih bernyawa!
\
"Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa. Dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang. Dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain..."
(Surah al-Hujurat, ayat 12)

"Kenapa dia tak bertudung? Oh, mungkin kerana dia dibesarkan dalam suasana keluarga yang tidak menitikberatkan agama. Maka aku yang tahulah harus mengajaknya."
"Kenapa dia pulang ke universiti bersama seorang lelaki? Oh, mungkin itu abangnya kerana aku juga tidak mengenali siapa keluarganya. Atau mungkin sesuatu telah berlaku dalam perjalanan sehingga dia terpaksa menumpang lelaki tersebut."
"Kenapa dia ku rasakan makin menjauh tanpa sebarang SMS atau call? Oh, mungkin dia sedang sibuk menguruskan sesuatu. Aku sebagai sahabat mestilah memahaminya."
"Kenapa dia tak membalas senyumanku waktu berselisih ke kelas tadi? Oh, mungkin dia tidak perasan atau ada sesuatu yang membelenggu fikirannya waktu itu. Tidak mengapa, lain kali bisa memberi senyuman lagi."
"Kenapa dia mengumpat sedangkan dialah yang suka memberi tazkirah? Oh, dia juga seperti aku manusia yang sering melakukan kesilapan dan kadang-kadang terlupa. Aku dan dia sebagai sahabatlah yang mesti saling menasihati dan mengingatkan."

Seorang mukmin itu bersangka baik terhadap orang lain. Dihapuskan segala wasangka buruk yang terbit di dalam hati dengan alasan yang mungkin menjadi sebab sesuatu kelakuan dilakukan.
Dan seorang mukmin itu juga mempunyai sifat berhati-hati. Jangan bersangka baik tidak bertempat hingga meninggalkan langkah untuk berjaga-jaga.

Tatkala terbangun pada pukul 3 pagi, terdengar bunyi dari rumah jiran. Kelihatan susuk tubuh seorang lelaki yang bertopeng penuh di muka. Langsung tidak bertempat sangkaan baik mengandaikan bahawa tuan rumah yang bercuti di Pulau Langkawi baru sahaja pulang ke rumah sambil memakai topeng Spiderman sedang mengumpil pintu rumah sendiri.

Andai mulut tidak bisa berhenti daripada mengatakan sesuatu yang tidak berfaedah dan yang mungkin mengundang dosa, maka diam itu lebih baik.

Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa yang beriman kepada 
Allah dan Hari Kemudian, maka hendaklah ia berkata akan yang baik atau hendaklah ia diam. Dan barangsiapa beriman kepada Allah dan Hari Kemudian, maka hendaklah ia memuliakan jirannya. Barangsiapa beriman kepada Allah dan Hari Kemudian, maka hendaklah ia memuliakan tamunya." (Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim)

- Artikel iluvislam.com

Biodata Penulis

Rabiatul Fatimah Azzahra binti Rashid sedang menuntut di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam jurusan Bahasa Arab. Beliau berkongsi karya di http://syauqatulwardah-lavender.blogspot.com/