SAHABAT TENTERA FISABILILLAH™

Wednesday, November 6, 2013

INILAH MAKNA BAHAGIA



Bahagia itu fitrah tabie manusia. Semua orang ingin bahagia. Jika ada manusia yang berkata, alangkah bahagianya kalau aku tidak bahagia, dia layak dihantar ke Hospital Bahagia. Kenapa? Sudah tentu orang itu tidak siuman lagi. Manusia yang siuman sentiasa ingin dan mencari bahagia. Bahkan, apa sahaja yang diusahakan dan dilakukan oleh manusia adalah untuk mencapai bahagia.

• Bahagia itu relatif?
Malangnya, keinginan manusia untuk bahagia sering tidak kesampaian. Ini disebabkan ramai manusia tidak tahu apa makna bahagia sebenarnya dan mereka juga tidak tahu bagaimanakah caranya untuk mendapatkannya. Jika kita mencari sesuatu yang tidak diketahui dan dikenali, sudah pasti kita tidak akan menemuinya. Oleh itu, usaha mencari kebahagiaan itu mestilah bermula dengan mencari apa erti kebahagiaan itu terlebih dahulu.

Apakah erti bahagia? Ada yang beranggapan erti bahagia itu relatif. Ia berubah-ubah dan berbeza antara seorang individu dengan yang lain. Bagi yang sakit, sihat itu dirasakan bahagia. Tetapi apabila sudah sihat, kebahagiaan itu bukan pada kesihatan lagi. Sudah beralih kepada perkara yang lain lagi. Bagi golongan ini kebahagiaan itu adalah satu “moving target” yang tidak spesifik ertinya.

Ada pula golongan pesimis. Mereka beranggapan bahawa tidak ada bahagia di dunia ini. Hidup adalah untuk menderita. Manusia dilahirkan bersama tangisan, hidup bersama tangisan dan akan dihantar ke kubur dengan tangisan. Bahagia adalah satu utopia, ilusi atau angan-angan. Ia tidak ujud dalam realiti dan kenyataan.

• Sumber dalaman atau luaran?
Sebelum mendapat jawapan tentang erti kebahagiaan yang sebenar, mesti dipastikan sumber kebahagiaan itu. Ia datang dari mana? Apakah bahagia itu datang dari luar ke dalam (outside-in) atau dari dalam ke luar (inside-out)?

Ramai yang merasakan bahawa bahagia itu bersumber dari faktor luaran. Ia bersumber daripada harta, kuasa, rupa, nama dan kelulusan yang dimiliki oleh seseorang. Golongan ini merasakan jika berjaya menjadi hartawan, negarawan, bangsawan, rupawan, kenamaan dan cendekiawan maka secara automatik bahagialah mereka.

Atas keyakinan itu ramai yang berhempas pulas dan sanggup melakukan apa sahaja untuk memiliki harta, kuasa dan lain-lain lagi. Kita tidak bahaskan mereka yang miskin, hodoh, tidak popular dan bodoh, lalu gagal merasakan bahagia tetapi mari kita tinjau apakah hidup para hartawan, rupawan, bangsawan, kenamaan dan cendekiawan itu bahagia?


• Realiti hidup jutawan, rupawan dan selebriti.
Realitinya, sudah menjadi “rules of life” (sunatullah), manusia tidak mendapat semua yang diingininya. Tidak ada seorang manusia pun yang dapat mengelakkan diri daripada sesuatu yang tidak disenanginya. Hidup adalah satu ujian yang menimpa semua manusia, tidak kira kedudukan, harta dan pangkatnya. Firman Allah:
“Dijadikan mati dan hidup adalah untuk menguji manusia siapakah yang terbaik amalannya.” Al Mulk.

Si kaya mungkin memiliki harta yang berjuta, tetapi mana mungkin dia mengelakkan diri daripada sakit, tua dan mati? Inilah yang berlaku kepada Cristina Onasis pewaris kekayaan ayahnya Aristotle Onasis, yang mati pada usia yang masih muda walaupun memiliki harta yang berbilion dollar. Mereka yang rupawan, tidak boleh mengelakkan diri daripada cercaan. Madonna, Paris Hilton (sekadar menyebut berapa nama) pernah dikutuk akibat kelakuan buruk masing-masing. Lady Diana yang memiliki semua pakej kelebihan wanita idaman akhirnya mati dalam keadaan yang tragis dan menyedihkan sekali.

John Lenon tidak dapat mengelakkan diri daripada dibunuh walaupun dirinya dipuja oleh jutaan peminat. Elizabeth Taylor pula sedang membilang usia yang kian meragut kecantikan dan potongan badannya. Itu belum dikira lagi nasib malang yang menimpa negarawan dan bangsawan tersohor seperti Al Malik Farouk (Masir), Shah Iran (Iran), Ferdinand Marcos (Filipina), Louis XVI (Perancis), Tsar (Rusia) dan lain-lain lagi. Tegasnya, kesakitan, cercaan, dijatuhkan dan lain-lain ujian hidup telah menumpaskan ramai hartawan, rupawan, negarawan dan cendekiawan dalam perlumbaan mencari kebahagiaan.


• Bukti hilangnya bahagia.
Apa buktinya, mereka hilang bahagia? Tidak payah kita berhujah menggunakan Al Quran dan Al Hadis, melalui paparan media massa sahaja sudah cukup menjadi bukti betapa tidak bahagianya mereka yang memiliki segala-galanya itu. Aneh, apabila selebriti dari Hollywood, yakni mereka yang memiliki rupa yang cantik, harta yang berbilion dolar, nama yang tersohor tetapi dilanda pelbagai masalah kronik. Senarai nama yang berkenaan cukup panjang …

Mereka yang terlibat dengan arak, rumah tangga cerai berai, dadah, jenayah, sakit jiwa dan bunuh diri ini sudah tentu tidak bahagia. Jika mereka bahagia dengan nama, harta dan rupa yang dimiliki tentulah mereka tidak akan terlibat dengan semua kekacauan jiwa dan kecelaruan peribadi itu. Tentu ada sesuatu yang “hilang” di tengah lambakan harta, rupa yang cantik dan nama yang popular itu.

• Ujian hidup punca hilang bahagia?
Mari kita lihat persoalan ini lebih dekat. Apakah benar ujian hidup menghilangkan rasa bahagia dalam kehidupan ini? Apakah sakit, usia tua, cercaan manusia, kemiskinan, kegagalan, kekalahan dan lain-lain ujian hidup menjadi sebab hilangnya bahagia? Jawabnya, tidak!

Jika kita beranggapan bahawa ujian hidup itu penyebab hilangnya bahagia maka kita sudah termasuk dalam golongan pesimis yang beranggapan tidak ada kebahagiaan di dunia. Mengapa begitu? Kerana hakikatnya hidup adalah untuk diuji. Itu adalah peraturan hidup yang tidak boleh dielakkan. Sekiranya benar itu penyebab hilangnya bahagia, maka tidak ada seorang pun manusia yang akan bahagia kerana semua manusia pasti diuji.

Atas dasar itu, ujian hidup bukan penyebab hilangnya bahagia. Sebagai perumpamaannya, jika air limau nipis diletakkan di atas tangan yang biasa, maka kita tidak akan berasa apa-apa. Sebaliknya, jika air limau itu dititiskan di atas tangan yang luka maka pedihnya akan terasa. Jadi apakah yang menyebabkan rasa pedih itu? Air limau itu kah atau tangan yang luka itu? Tentu jawapannya, luka di tangan itu.

• Metafora air limau dan luka di tangan
Air limau itu adalah umpama ujian hidup, manakala tangan yang luka itu ialah hati yang sakit. Hati yang sakit ialah hati yang dipenuhi oleh sifat-sifat mazmumah seperti takbur, hasad dengki, marah, kecewa, putus asa, dendam, takut, cinta dunia, gila puji, tamak dan lain-lain lagi. Ujian hidup yang menimpa diri hakikatnya menimbulkan sahaja sifat mazmumah yang sedia bersarang di dalam hati. Bila diuji dengan cercaan manusia, timbullah rasa kecewa, marah atau dendam. Bila diuji dengan harta, muncullah sifat tamak, gila puji dan takbur.

Justeru, miskin, cercaan manusia dan lain-lain itu bukanlah penyebab hilang bahagia tetapi rasa kecewa, marah dan tidak sabar itulah yang menyebabkannya. Pendek kata, ujian hidup hakikatnya hanya menyerlahkan sahaja realiti hati yang sudah tidak bahagia lama sebelum ia menimpa seseorang.


Dengan segala hujah di atas terbuktilah bahawa pendapat yang mengatakan bahagia itu datang dari luar ke dalam adalah tertolak sama sekali. Ini kerana faktor “kesihatan” hati jelas lebih dominan dalam menentukan bahagia atau tidaknya seseorang berbanding segala faktor luaran. Ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa kebahagiaan itu datang dari dalam ke luar – soal hati.

• Inilah erti bahagia
Secara mudah kebahagiaan itu ialah memiliki hati yang tenang dalam menghadapi apa jua ujian dalam kehidupan. Inilah erti bahagia yang sebenar selaras petunjuk Allah di dalam Al Quran. Firman Allah:
“Ketahuilah dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang.” Al Ra’du 28.

Rasulullah S.A.W. juga telah bersabda:
” Bahawasanya di dalam tubuh badan manusia ada seketul daging. Apabila ia baik, baik pulalah seluruh badan, tetapi apabila ia rosak maka rosak pulalah seluruh badan. Ingatlah ia adalah hati. ” (riwayat Bukhari Muslim)

Rasulullah S.A.W bersabda lagi:
” Bukanlah kekayaan itu dengan banyaknya harta benda tetapi kekayaan itu sebenarnya ialah kaya hati “
Kaya hati bermaksud hati yang tenang, lapang dan merasa cukup dengan apa yang dimiliki – bersyukur dengan apa yang ada, sabar dengan apa yang tiada.

Oleh itu hati perlu dibersihkan serta dipulihara dan dipelihara “kesihatannya” agar lahir sifat-sifat mazmumah seperti amanah, sabar, syukur, qanaah, reda, pemaaf dan sebagainya. Kemuncak kebahagiaan ialah apabila hati seseorang mampu mendorong pemiliknya melakukan kebaikan dan menghindari kejahatan dan larangan yang ditentukan oleh Islam dengan mudah dan secara “auto pilot”.


KAEDAH MENCARI BAHAGIA MENURUT AL QURAN DAN AS SUNAH:


1. Beriman dan beramal salih.
“Siapa yang beramal salih baik laki-laki ataupun perempuan dalam keadaan ia beriman, maka Kami akan memberikan kepadanya kehidupan yang baik dan Kami akan membalas mereka dengan pahala yang lebih baik daripada apa yang mereka amalkan.” (An-Nahl: 97)
Ibnu ‘Abbas RA meriwayatkan bahawa sekelompok ulama mentafsirkan bahawa kehidupan yang baik (dalam ayat ini) ialah rezeki yang halal dan baik (halalan tayyiban). Sayidina Ali pula mentafsirkannya dengan sifat qana’ah (merasa cukup). Ali bin Abi Thalhah dari Ibnu ‘Abbas, meriwayatkan bahawa kehidupan yang baik itu adalah kebahagiaan.

2. Banyak mengingat Allah .
Dengan berzikir kita akan mendapat kelapangan dan ketenangan sekali gus bebas daripada rasa gelisah dan gundah gulana. Firman Allah:
“Ketahuilah dengan mengingat (berzikir) kepada Allah akan tenang hati itu.” (Ar-Ra’d: 28)

3. Bersandar kepada Allah.
Dengan cara ini seorang hamba akan memiliki kekuatan jiwa dan tidak mudah putus asa dan kecewa. Allah berfirman:
“Siapa yang bertawakal kepada Allah maka Allah akan mencukupinya.” (Ath-Thalaq: 3)


4. Sentiasa mencari peluang berbuat baik.
Berbuat baik kepada makhluk dalam bentuk ucapan mahupun perbuatan dengan ikhlas dan mengharapkan pahala daripada Allah akan memberi ketenangan hati.
Firman-Nya:
“Tidak ada kebaikan dalam kebanyakan bisikan-bisikan mereka kecuali bisikan-bisikan dari orang yang menyuruh ( manusia) untuk bersedekah atau berbuat kebaikan dan ketaatan atau memperbaiki hubungan di antara manusia. Barang siapa melakukan hal itu karena mengharapkan keredaan Allah, nescaya kelak Kami akan berikan padanya pahala yang besar.” (An-Nisa: 114)

5. Tidak panjang angan-angan tentang masa depan dan tidak meratapi masa silam.
Fikir tetapi jangan khuatir. Jangan banyak berangan-angan terhadap masa depan yang belum pasti. Ini akan menimbulkan rasa gelisah oleh kesukaran yang belum tentu datang. Juga tidak terus meratapi kegagalan dan kepahitan masa lalu karena apa yang telah berlalu tidak mungkin dapat dikembalikan semula. Rasulullah SAW bersabda: “Bersemangatlah untuk memperoleh apa yang bermanfaat bagi mu dan minta tolonglah kepada Allah dan janganlah lemah. Bila menimpa mu sesuatu (dari perkara yang tidak disukai) janganlah engkau berkata: “Seandainya aku melakukan ini nescaya akan begini dan begitu,” akan tetapi katakanlah: “Allah telah menetapkan dan apa yang Dia inginkan Dia akan lakukan,” karena sesungguhnya kalimat ‘seandainya’ itu membuka amalan syaitan.” (HR. Muslim)

6. Melihat “kelebihan” bukan kekurangan diri.
Lihatlah orang yang di bawah dari segi kehidupan dunia, misalnya dalam kurniaan rezeki karena dengan begitu kita tidak akan meremehkan nikmat Allah yang diberikan Allah kepada kita. Rasulullah SAW bersabda:
“Lihatlah orang yang di bawah kamu dan jangan melihat orang yang di atas kamu karena dengan (melihat ke bawah) lebih pantas untuk kamu tidak meremehkan nikmat Allah yang dilimpahkan-Nya kepada kamu.” (HR. Al-Bukhari dan Muslim)

7. Jangan mengharapkan ucapan terima kasih manusia.
Ketika melakukan sesuatu kebaikan, jangan mengharapkan ucapan terima kasih ataupun balasan manusia. Berharaplah hanya kepada Allah. Kata bijak pandai, jangan mengharapkan ucapan terima kasih kerana umumnya manusia tidak pandai berterima kasih. Malah ada di antara hukama berkata, “sekiranya kita mengharapkan ucapan terima kasih daripada manusia nescaya kita akan menjadi orang yang sakit jiwa!”. Firman Allah:
“Kami memberi makan kepada kalian hanyalah karena mengharap wajah Allah, kami tidak menginginkan dari kalian balasan dan tidak pula ucapan terima kasih.” (Al Insan: 9)

ZIKRULLAH YANG MEMBAWA BAHAGIA

Ketenangan itu dicapai melalui zikrullah. Zikrullah akan memberi ketenangan buat hati. Ketenangan hati itulah kebahagiaan sebenar. Tetapi kenapa ada orang yang berzikir tetapi hati tidak ataupun belum tenang? (Untuk mendapat jawapannya, tolong rujuk kembali entri dalam blog ini dalam tajuk: Mencari Ketenangan Hati)

Hati adalah sumber dari segala-galanya dalam hidup kita, agar kehidupan kita baik dan benar, maka kita perlu menjaga kebersihan hati kita. Jangan sampai hati kita kotori dengan hal-hal yang dapat merosak kehidupan kita apalagi sampai merosak kebahagiaan hidup kita di dunia ini dan di akhirat nanti.


Ingatlah, untuk menjaga kebersihan hati, (selalin berzikir) kita perlu menjaga penglihatan, pendengaran, fikiran, ucapan kita dari hal-hal yang dilarang oleh Allah SWT. Dengan menjaga hal-hal tersebut kita dapat menjaga kebersihan hati kita. Dengan hati yang bersih kita gapai kebahagiaan dunia dan akhirat. Jadi berhati-hatilah menjaga hati kerana ia adalah punca ketenangan dan kebahagiaan diri!

Kita harus melatih hati kita supaya sentiasa berniat baik dan inginkan sesuatu yang baik. Sentiasa riang, gembira dan tenang dengan setiap pekerjaan yang dilakukan. Sentiasa melakukan kerja amal, tolong menolong, bergotong royong, sentiasa bercakap benar, sopan dan hidup dengan berkasih sayang antara satu dengan lain.

Marilah kita bersihkan hati kita dari segala kotorannya dengan memperbanyak mendekatkan diri kepada Allah SWT dan memperbanyak doa agar Allah SWT mengurniakan kita hati yang bersih dan selalu dekat dengan-Nya. Itulah beberapa hal yang mungkin dapat kita jadikan landasan untuk mencari kebahagiaan hidup di dunia ini dan juga sebagai bekal untuk menghadapi kehidupan akhirat nanti.

Sebenarnya kebahagiaan hidup yang hakiki dan ketenangan hanya didapatkan dalam agama Islam yang mulia ini. Sehingga yang dapat hidup bahagia dalam erti yang sebenarnya hanyalah orang-orang yang berpegang teguh dengan agama.


Sumber: Ust Pahrol Juoi
http://genta-rasa.com/inilah-makna-bahagia/

KISAH BENAR BUAT IKTIBAR



1. WALAU SESUDAH KEMATIANNYA…

Kami berbual tidak panjang. Hanya seketika dia menghabiskan catatan dalam buku harian kerjanya, mungkin. Dan saya menunggu giliran untuk masuk melawat ahli keluarga yang sakit.

“Alhamdulillah, sekarang majoriti jururawat beragama Islam menutup aurat,” kata saya kepada seorang jururawat senior yang duduk berdepan dengan tempat saya menunggu.

“Satu perjalanan panjang. Proses yang berliku-liku, akhirnya Allah izinkan jua kami menutup aurat,” balasnya dengan senyuman.

“Tentu ada kenangan yang manis, “ jolok saya untuk menghidupkan perbualan.

“Memang ada…. sampai sekarang masih menjadi ingatan, aspirasi dan pembakar semangat saya. Maklumlah, ujian pasti datang bertali arus. Tetapi saya dapat kekuatan setiap kali mengenangkan peristiwa itu.”

Dia pun mula bercerita. Cerita lama. Telah berlaku lebih kurang 30 tahun yang lalu.

“Ketika itu saya masih bertugas di sebuah hospital besar di sebuah bandar. Masa tu saya sendiri masih ‘free hair’. Pada waktu itu menutup aurat pada wanita yang berkarier masih menjadi larangan. Masyarakat masih memandang serong hukum menutup aurat….” Dia mula bercerita.

“Satu hari seorang wanita awal akhir 20’an, seingat saya, dimasukkan ke dalam wad yang saya menjadi antara petugasnya yang menjaganya. Sakitnya agak kronik. Wanita ini sangat baik, tutur katanya lembut dan berakhlak. Dia paling menjaga waktu solat dan sentiasa dalam keadaan menutup aurat. Maklumlah ada juga petugas dan doktor lelaki yang bertugas di dalam wad tersebut…”

Saya menanti di mana ‘istimewanya’ kisah wanita menutup aurat itu.

“Acap kali dia pengsan. Sebaik tersedar, pertanyaan pertamanya ialah, apakah sudah masuk waktu solat? Kemudian dengan cepat dia akan membetulkan kain tudung yang menutup auratnya. Dia sangat cakna dan prihatin betul dengan solat dan auratnya.”

“Lama dia di dalam wad. Perihal sikapnya yang sangat menjaga waktu solat dan penutupan aurat itu sudah menjadi ‘trade mark’nya dan telah dimaklumi oleh petugas hospital dan pesakit di wad berkenaan. Bukan sahaja yang muslim, malah doktor dan petugas bukan Islam pun menghormati prinsip wanita tersebut. Mereka akan berhati-hati apabila berdepan dengannya. “

“Bagaimana dengan sikapnya yang lain?” tanya saya.

“Sikapnya yang lain?”

“Maksud saya dengan keperibadiannya selain solat dan menutup aurat?”

“Dia baik dan hormat dengan semua orang, tidak kira Islam atau bukan Islam. Walaupun menutup aurat, penampilannya sangat dijaga. Sangat menjaga kebersihan dan masa. Tapi itulah… sakit barahnya sudah sangat parah. Tahap kritikal. Kira-kira 2 bulan kemudian dia meninggal dunia. Hari kematiannya itu yang paling mengesankan…”

Saya diam. Saya melihat suaranya mula tersekat-sekat. Air matanya mula mengalir…

“Tak sangka lepas solat Subuh pagi itu dia meninggal dunia. Ketika meninggal dunia kain tudung yang menutup wajahnya terbuka sedikit kerana mukanya sudah jatuh di sebelah. Beberapa helai rambutnya terjuntai keluar. Bayangkan… seorang doktor bukan Islam segera berkata pada saya dan rakan jururawat yang lain, cepat-cepat tutup semula, rambutnya sudah terkeluar! ….

Saya terkejut. MasyaAllah.

“Tuan bayangkan, orang bukan Islam pun sangat menghormati prinsipnya. Seperti mana dia menjaga auratnya semasa hidup begitulah Allah jaga auratnya setelah meninggal dunia sehingga orang bukan Islam Allah gerakkan hatinya membantu menutup auratnya.”

“Sejak itu?”

“Sejak itu saya dan beberapa orang kawan lagi tekad menutup aurat. Mula-mula tu dengan berskaf sahaja. Lama-kelamaan meningkat sedikit demi sedikit sampailah semacam ni. Kami sangat tersentuh dengan sikapnya.”

Saya senyum. Begitulah hebatnya berdakwah melalui akhlak dan sikap. Tidak payah banyak cakap. Tidak tunggu sihat, orang beriman ketika sakit pun masih mampu berdakwah. Dakwah itu umpama akar, yang lembut dan keras dapat ditembusinya. Dakwah itu umpama air, tidak dapat disekat… akan tekad mencari arah untuk terus mengalir.


2. MUSLIHAT DENGAN SELAWAT

Tiba-tiba bum, kereta saya dilanggar dari belakang. Saya terpaksa berhenti di persimpangan sebuah bulatan. Seorang lelaki Melayu keluar dari sebuah kereta mewah. Saya kira dia hanya seorang pemandu… ada tuannya yang duduk di sebelah kiri bahagian belakang. Juga seorang Melayu.

“Assalamualaikum. Allah humma salli ala Muhammad…” ujar pemandu itu berkali-kali sambil menghulurkan tangan buat bersalam.

Saya menjawab salam dan kemudian terus berjabat tangan.

“Selesai cara mudah sahaja. Kita orang Islam.”

“Ya. Ya, “jawab saya sambil memerhati kerosakan kereta. Kereta mewah yang dipandunya tidak rosak apa-apa tetapi kereta saya memang teruk. Congak saya jika dihantar ke kedai anggapannya tidak kurang rm 500.

“Ya kita buat cara mudah. Kita saling bermaafan sahajalah. Lupa-lupakan sahaja. Lagipun saya tidak sengaja.”

“Tapi tuan melanggar dari belakang. Ini satu kecuaian. Lagipun saya perlu kos untuk membaiki kereta saya ni.”

“Alllhahumma salli ala Muhammad… kita bermaafanlah.”

“Ya. Tetapi kita mesti bertanggung jawab…”

Dia pergi menemui tuannya yang tidak pun keluar dari kereta sejak tadi. Asyik membaca akhbar. Ya, dia orang besar.

“Beginilah encik, ambil kad ini dan talifon kita berurusan kemudian. Kami yang salah, insyaAllah kita ‘settle’ nannti. Jangan lupa call nombor ini ya,” sambil memberi kertas yang ada catatan no talefon.

Oleh sebab percaya dan tidak mahu menyusahkan kereta-kereta yang sudah berbaris di belakang saya menerima kertas itu dan berlalu segera.

Satu hari, dua hari, tiga hari dan sehingga seminggu… saya menalipon nombor yang diberikan. Namun tidak ada jawapan. Cuma sekali ada bunyi diangkat dan saya disergah oleh suara kasar dengan bahasa asing. Tidak ada selawat lagi!


3. HARGA SEBUAH KEJUJURAN

“Betul ke ni?” tanya saya.

“Betul ayah. Dia berjanji menunggu di kedai inilah,” jawab anak saya.

“Kalau betul memang nyonya tu hebat. Berlanggar dua hari lalu, hari ini janji nak bertemu baiki kereta kita yang rosak, “ kata saya.

Dua hari yang lalu kereta anak saya dilanggar oleh kereta yang dipandu oleh seorang nyonya tua. Nyanya itu yang salah, buat ‘reverse’ ke belakang tanpa toleh. Begitu menurut anak saya. Akibatnya, dua buah lampu depan kereta anak saya pecah. Nyonya itu berjanji untuk menggantinya di sebuah kedai yang ditentukannya sendiri. Dia sudah biasa di kedai itu. Anak saya baru sahaja mendapat lesen, sangat naif dengan insiden seperti itu. Main percaya sahaja.

Harapan saya 50-50.

“Kalau nyonya Cina tu tak sampai lagi cuba call,” cadang saya kepada anak.

Sedang anak mendail tiba-tiba, seorang nyonya tua berwajah bersih datang dari arah belakang lantas berkata, “Selamat pagi. Maaf, saya lambat sikit. Jalan ada jam sikit. Oh, ni bapak you ka? Semalam saya kata you jangan takut nanti saya terangkan sama bapak you saya yang salah.”

Saya tertawa. Terhibur dengan keramahannya. Kami segera berurusan. Lampu diganti dan kemik kereta di bahagian hadapan pun dibaiki. Semua perbelanjaannya ditanggung oleh nyonya Cina itu. Ternyata dia menepati janji. Bayangkan, bukan mudah tanpa ada apa-apa ‘gerentor’, hanya berbekalkan kepercayaan… dia benar-benar menepati janji. Terus terang dalam hati saya terdetik, alangkah baiknya jika dia seorang Islam. Dalam diam saya berdoa, semoga dia menerima hidayah!

P/s Pada pandangan saya yang kerdil ini, bukan isu perkauman… tetapi isu kejujuran yang telah diragukan! Wallahua’lam.

Sumber: Ustaz Pahrol Juoi
http://genta-rasa.com/2013/05/07/cerita-benar-buat-iktibar/

YANG ‘KADANG-KADANG’ DAN ‘JARANG-JARANG’



1. Sekalipun selepas kematiannya…

“Saya tidak akan maafkannya,” tegasnya berkali-kali.

Saya tunduk simpati.

“Saya tidak akan maafkannya.”

Dia semacam tidak puas dengan penegasannya. Mengulangnya lagi.

“Apa untungnya puan tidak memaafkan?”

“Perbuatan dia menduakan saya sangat menyakitkan hati. Tidak sangka ada wanita lain di hatinya selain saya.”

“Puan… bukankah suami puan sudah meninggal dunia. Apa salahnya puan maafkan dia. Tidak ada apa-apa yang nak dicemburukan lagi. Terimalah hakikat dan susun semula kehidupan baru dengan anak-anak. Itu yang lebih utama. Semuanya sudah berlalu, hadapi yang sekarang.”

“Sayidatina Aisyah lagikan cemburu kepada Sayidatina Khadijah yang telah meninggal dunia, apatah lagi saya, seorang wanita biasa,” tekan wanita itu tanpa peduli kata-kata saya.

“Subhanallah, Sayidatina Aisyah cemburukan kebaikan Siti Khadijah yang selalu disebut-sebut oleh Rasulullah walaupun setelah kematiannya. Cemburu kepada kebaikan madu yang masih disebut suami walau setelah kematiannya berbeza dengan sikap tidak memaafkan suami yang telah mati kerana berpoligami secara sembunyi-sembunyi,” nasihat saya.

“Apa kurangnya saya? Bayangkan pada hari kematiannya baru saya dapat tahu dia telah menikah lagi. Sudah lama pula tu. Sudah 5 tahun. Bayangkan ustaz, depan saya nampak baik, solat, tutur kata lemah lembut, bertanggung jawab, semua makan-minum, rumah dan nafkah kami sekeluarga dijaganya… tetapi tak sangka sezalim itu dia pada saya…”

“Suami yang berpoligami tidak zalim, tidak jahat. Jika semuanya terjaga baguslah tu. Suami yang tidak berpoligami pun ramai yang tidak macam tu. Isteri yang cuma satu itu pun tidak dilayan dengan baik, makan-minum terbarai!”

“Ustaz, salah kah saya?”

“Cemburu tidak salah. Itu fitrah di kalangan dua insan yang saling sayang menyayangi. Tetapi membenci, marah dan tidak memaafkan itu yang salah. Apatah lagi kepada suami sendiri, dan dia telah meninggal dunia. Adabnya, kita sebut yang baik-baik sahaja pada orang yang telah meninggal dunia.”

“Saya rasa tertipu…”

“Dia cuma tidak memberitahu,” ujar saya membetulkan.

“Mengapa?”

“Saya tidak dapat menjawabnya. Hanya Allah yang tahu. Bagaimana sikap dan kelakuan Allahyarham semasa hidupnya.”

“Alhamdulillah, semua baik. Dia suami yang baik. Saya sangat menyayanginya. Ustaz, orang yang paling kita sayanglah yang paling mampu menyakitkan kita. Dia yang paling saya sayang, dia yang menyakitkan. Cuma satu… poligami ini. Itulah yang meragut segala-galanya.”

“Puan, sayangilah dia setelah matinya seperti puan menyayangi dia semasa hidupnya. Jika begitulah akhlak dan keperibadiannya seperti yang puan ceritakan, saya pasti, insyaAllah dia punya sebab serta alasan yang syari’e untuk berpoligami…”

“Terfikir begitu juga ustaz. Saya dapat tahu madu saya tu err, err… seorang janda anak tiga. Dengan suami saya dapat anak seorang lagi.”

Saya sedih, gembira, senyum dan suram berselang-seli. Perasaan bercampur-campur. Saya kenal dari jauh Allahyarham. Memang dia seorang yang baik akhlak dan ibadahnya. Mungkin dia juga ‘terperangkap’ antara keinginan yang kuat hendak membantu dengan menjaga kasih sayang terhadap isteri.

“Kenapa suami saya tidak berani berterus-terang?”

Saya diam…. diam yang panjang. Di dalam hati saya meneka-neka akan jawapannya. Kalau beginilah reaksi isterinya setelah dia mati, bayangkan betapa ‘hebatnya’ reaksi itu semasa dia hidup. Saya simpan jawapan itu. Saya juga seorang lelaki yang terus cuba memahami hati seorang wanita.

“Apa yang patut saya buat ustaz?”

“Puan sayang suami puan?” jawab saya dengan satu pertanyaan.

“Saya menyayanginya dengan seluruh jiwa saya ustaz…”

“Buktikan sayang itu dengan memaafkan. Sekiranya puan masih sukar memaafkan ertinya puan bukan menyayanginya tetapi menyayangi diri sendiri. Maafkanlah dia kerana Allah, jika benar puan cinta dia kerana Allah.”

Kali ini dia terdiam. Ada rintik-rintik air mata yang mengalir di pipinya. Itulah hati seorang isteri. Benci, marah, kecewanya… semuanya berbaur dan bergaul kerana terlalu cinta.

“InsyaAllah saya cuba ustaz. Selain itu?”

“Cuba berfikir bagaimana agaknya Allahyarham suami puan berfikir jika dia masih hidup. Apa yang akan dilakukannya?”

“Tentu dia akan melaksanakan tanggung jawabnya. Dia suami yang sangat bertanggung jawab.”

“Puan, cinta itu tanggungjawab. Tanggung jawablah yang menjaga cinta, apabila cinta diuji. Cinta dan tanggung jawab tidak akan terpisah oleh kematian salah seorang daripada dua orang yang bercinta. Puan tentu arif apa tanggung jawab suami puan bukan?”

Dia mengangguk perlahan. Saya tidak dapat menahan air mata…. Hakikatnya saya pun akan ditinggalkan isteri atau dia yang dahulu akan meninggalkan saya. Ya Allah, semoga semua cinta dan kasih sayang ini kerana Allah. Maha suci Allah, cinta orang beriman tidak akan dapat digugat oleh apa pun sekalipun poligami!

2. Mengapa yang muda?

“Saya tidak faham kenapa suami saya pilih yang muda? Ini semua kahwin kerana nafsu. Cakap sahaja kerana pembelaan, sunah lah. Semua alasan…” kata wanita itu di hujung talian.

Sudah hampir sejam saya memberi laluan untuk dia bercakap. Saya masih banyak mendengar. Seperti yang selalu saya katakan, dalam banyak keadaan manusia bukan mencari penyelesaian tetapi hanya memerlukan didengar.

“Ustaz, semuanya kerana nafsu!”

“Benar. Orang yang tidak ada nafsu haram berkahwin,” kata saya perlahan.

“Jadi bolehlah ikut nafsu?”

“Ikut nafsu tak boleh, uruskan nafsu. Perkahwinan termasuk yang berpoligami adalah cara menguruskan nafsu.”

“Kahwin yang muda-muda ustaz…”

“Seseorang mendapat balasan atau ganjaran berdasarkan niatnya. Jika niatnya baik, tidak kira anak dara atau janda, semuanya dapat pahala. Tetapi jika niat tidak baik, berpoligami dengan siapa pun tidak berpahala.”

“Betul ke ustaz?”

“Itulah yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. wanita yang dinikahinya ada yang anak dara, ada yang janda, ada yang langsing dan ada yang berbadan besar…”

“Kenapa?”

“Pelbagai tujuan Rasulullah SAW. Ada yang bertujuan pembelaan. Ada yang merapatkan hubungan. Ada yang untuk meraikan pemberian atau hadiah. Ada pula yang bertujuan untuk menjadi simpanan ilmu. Lihat perkahwinan Rasulullah dengan Saudah. Lihat pula perkahwinan dengan Aisyah mahupun dengan Mariah Qibtiyah. Semua ada maksud dan tujuan berbeza… tetapi niatnya cuma satu, untuk mendaulatkan Islam.”

“Apakah benar suami-suami yang ada ini nak mencontohi nabi dalam berpoligami?”

“Sukar mengetahui niat dan hati seseorang. Cuma boleh lihat luarannya sahaja. Kalau dia komited dengan Islam, kemudian setelah poligami dia berlaku adil dan perjuangan Islamnya kita meningkat… insyaAllah moga-moga itu mencontohi nabi,” jelas saya.

“Saya geram mereka yang pilih muda-muda…”

“Saya kenal ramai mereka yang memilih janda dan wanita lanjut usia, “ balas saya.

“Saya dengar banyak cerita lelaki poligami tidak bertanggung jawab.”

“Saya juga banyak mendengar suami yang tidak berpoligami tidak bertanggungjawab.”

“Apa yang ustaz cuba sampaikan ni? Ustaz minta semua wanita terima poligami? Ustaz minta semua lelaki berpoligami?”

“Tidak begitu. Bagi saya poligami persoalan kedua atau ketiga, persoalan pertama ialah mendidik lelaki agar bertaqwa dan adil, wanita yang sabar dan redha… serta masyarakat prihatin yang penyayang!”

“Eh, ke situ pula?”

“Kerana di situlah pangkal segala kebaikan. Didikan. Bila tidak terdidik, semua jadi masalah. Yang poligami ada masalah, yang monogami pun sama. Suami yang tidak bertanggung jawab, tetap tidak bertanggung walaupun isterinya seorang. Isteri yang derhaka tetap derhaka walaupun tidak dimadukan. Masyarakat yang tidak terdidik, akan memandang serong semua syariat Islam bukan hanya poligami.”

“Saya benci orang mengambil kesempatan dengan mengamalkan syariat dan sunah konon…”

“Jangan bimbang. Syariat Allah, Allah akan jaga daripada dinodai. Lelaki yang mengambil kesempatan akan terdera dengan sikapnya yang mengeksploitasi poligami. Perempuan yang tidak simpati kepada wanita lain yang ingin juga mendapat seorang suami dalam hidupnya juga akan diuji dengan masalah walaupun cuba lari daripada ujian poligami.”

“Ustaz tak memahami rasa hati seorang wanita…”

“Benar. Tetapi saya yakin wanita beriman tidak akan tercalar keimanan dan kesabarannya menghadapi seorang suami, sama yang berpoligami atau tidak berpoligami.”

“Semua dikaitkan iman…Kalau semua kuat iman ok lah. Sedangkan kita masih di peringkat mujahadah.”

“Bilangan lelaki dan wanita dekat-dekat sama sahaja. Malah ada statistik, lelaki lebih ramai daripada wanita. Poligami tak perlu!”

“ Ada kebenarannya. Tetapi ada statistik berapa ramai lelaki yang beriman yang benar-benar bertanggung jawab? Bagaimana pula jika dibandingkan dengan wanita yang benar-benar beriman yang mampu menjadi isteri yang baik?”

“Ustaz pro poligami sebab ustaz lelaki.”

“Ini bukan soal pro atau kontra. Bila sesuatu ada dalam syariat, pasti ada manfaatnya. Bagi saya poligami hanya soal ‘jarang-jarang’, dan ‘kadang-kadang’. Ia seumpama pintu kecemasan sahaja pada sebuah bas. Ramai orang yang masuk dan keluar ikut pintu biasa sahaja. Tetapi jangan nafikan kepentingan pintu kecemasan… ada masanya ia sangat perlu pada waktu khusus dan keadaan yang tertentu. Jadi, tidak bijak membuang pintu kecemasan itu!”

“Pilih yang cantik sahaja…”

“Baiklah, jika suami awak pilih janda atau wanita yang lanjut usia yang punya wajah biasa-biasa sahaja, awak setuju bermadu?”

Diam diam. Diam wanita yang berkahwin bukan tanda setuju!

Ah, poligami… sering tersepit dan terfitnah antara lelaki yang suka mengeksploitasi dan zalim dengan dan wanita yang tidak rela berkongsi dan punya kepentingan diri.

Sumber: Ustaz Pahrol Juoi

http://genta-rasa.com/2013/08/19/yang-kadang-kadang-dan-jarang-jarang/

MAAFKAN AKU WAHAI SUAMI…


Dua bilah kayu disatukan dengan paku. Dua ketul bata disatukan dengan simen. Dua hati di satukan dengan apa? Jawabnya, dengan iman. Dua hati yang beriman akan mudah disatukan. Jika dua hati mengingati yang SATU, pasti mudah keduanya bersatu. Begitulah dua hati suami dan isteri, akan mudah bersatu bila iman di dalam diri masing-masing sentiasa disuburkan.

Bukan tidak pernah terguris. Bukan tidak pernah bertelagah. Tetapi jika di hati sama-sama masih ada ALLAH, perdamaian akan mudah menjelma semula. Yang bersalah mudah meminta maaf. Yang benar mudah memberi maaf. Tidak ada dendam memanjang. Masam cuma sebentar. Pahit hanya sedikit. Itulah yang ditunjuk oleh teladan rumah tangga Rasulullah s.a.w. Ada ribut… tetapi sekadar di dalam cawan. Ada gelombang… tetapi cepat-cepat menjadi tenang.

Jika ditanyakan kepada dua hati yang bercinta, siapakah yang lebih cinta pasangannya? Maka jawabnya, siapa yang lebih cintakan Allah, dialah yang lebih cintakan pasangannya. Justeru, janganlah hendaknya hanya berfikir bagaimana hendak mengekalkan cinta antara kita berdua, tetapi berusahalah terlebih dahulu agar mencintai kepada yang Esa. Jika kita bersama cintakan yang Maha Kekal, pasti cinta kita akan berkekalan.

Jika paku boleh berkarat, simen boleh retak, maka begitulah iman, boleh menaik dan menurun. Iman itu ada “virusnya”. Virus iman ialah ego (takbur). Jangan ada takbur, cinta pasti hancur. Orang takbur merasa dirinya lebih mulia, pasangannya lebih hina. Jika demikian, manakah ada cinta? Cinta itu ibarat dua tangan yang saling bersentuhan. Tidak ada tangan yang lebih bersih. Dengan bersentuhan, keduanya saling membersihkan. Tetapi ‘tangan’ yang ego, tidak mahu bersentuhan… Konon takut dikotorkan oleh tangan yang lain!

Bila berbeza pandangan, pandangannya sahaja yang benar. Kau isteri, aku suami. Aku ketua, kau pengikut. Aku putuskan, kau ikut saja. Jangan cuba menentang. Menentang ertinya dayus. Maka terkapa-kapalah sang isteri tanpa boleh bersuara lagi. Sedikit cakap, sudah dibentak. Senyap-senyap, isteri menyimpan dendam. Suami ‘disabotaj’nya dalam diam. Tegur suami, dijawabnya acuh tak acuh. Senyumnya jadi tawar dan hambar. Perlahan-lahan, jarak hati semakin jauh. Cinta semakin rapuh.

Ada pula isteri yang ego. Heroin sudah mengaku hero. Suami dicaturnya satu-satu. Tidak jarang meninggikan suara. Silap suami yang sedikit didera dengan rajuknya yang panjang. Anak-anak dibiarkan. Dapur berselerak. Pinggan mangkuk tidak dibasuh. Kain baju sengaja disepah-sepahkan. Rasakan akibat menentang aku. Mengaku salah tidak sekali. Minta maaf? Pantang sekali!

Ego sisuami selalunya terserlah. Boleh dilihat daripada jegilan mata dan suara yang meninggi. Mungkin pintu dihempaskan dengan kuat atau hon kereta ditekan bertalu-talu. Atau boleh jadi diherdik siisteri di hadapan anak-anak atau isteri diperleceh di hadapan saudara mara atau tetamu yang datang. Bila ramai yang datang bertandang itulah masa sisuami yang ego ini menunjukkan kuasa dan belangnya.

Ego siisteri terpendam. Mungkin kerana tidak ada dominasi kuasa atau keberanian, siisteri menunjukkan egonya dengan bermacam-macam-macam ragam. Daripada sengaja melaga-lagakan pinggan yang dibasuh… sehinggalah memalingkan badan dan muka ketika di tempat tidur.

Alhasil, cuaca rumah tangga menjadi muram. Rumah hanya jadi ‘house’ tidak jadi ‘home’ lagi. Tidak ada keceriaan, kehidupan dan kemanisannya lagi. Semuanya bungkam. Ya, rumah (house) dibina dengan batu, kayu dan konkrit, manakala rumah tangga (home) dibina dengan kasih sayang, cinta dan sikap saling menghormati. Tidak ada rindu yang menanti suami ketika pulang dari bekerja. Tidak ada kasih yang hendak dicurahkan oleh suami kepada isteri yang menanti di rumah. Anak-anak jadi kehairanan? Apa sudah jadi pada kedua ibu-bapa ku?

Bila ada ego di hati, cinta akan menjauh pergi. Retak akan menjadi belah. Kekadang hati keduanya merintih, mengapa jadi begini? Bukankah antara aku dan dia ada cinta? Mengapa terasa semakin jarak? Apakah yang perlu aku dan dia lakukan untuk menyemarakkan semula rasa cinta. Lalu akal berfikir, berputar-putar mencari idea. Oh, mari ulangi musim bulan madu yang lalu. Kita susuri pulau, tasik, laut atau lokasi pertemuan kita nan dulu.

Malang, cuma sebentar. Gurau, senda cuma seketika. Tidak mampu lagi memutar jarum kenangan lama dengan hati yang telah berbeza. Tidak ada lagi tarikan fizikal yang ketara. Cumbu berbaur ghairah seakan telah terlupa. Bulan madu yang cuba diperbaharui tidak menjadi… kedua hati bercakar lagi. Mereka cuba memperbaharui lokasi, tanpa memperbaharui hati. Selagi ada ego, ke mana pun tidak akan menjadi. Jika ada ego, yang wangi jadi busuk, yang manis jadi tawar, yang indah jadi hambar.

Ada juga pasangan yang hendak ‘membeli’ cinta. Ingin dibangkitkan kembali rasa cinta dengan mata benda. Nah, ini kalung emas ribuan ringgit sebagai tanda cinta ku masih pada mu, kata suami. Dan ini pula cincin berlian untuk memperbaharui kemesraan kita, balas siisteri. Masing-masing bertukar hadiah. Semoga dengan barang-barang berharga itu akan kembalilah cinta. Namun sayang sekali, sinar emas, cahaya berlian, tidak juga menggamit datangnya cinta. Cinta diundang oleh nur yang ada di hati. Nur itu tidak akan ada selagi ego masih ada di jiwa.

Susurilah cinta yang hilang di jalan iman. Buanglah kerikil ego yang menghalang. Ego hanya membina tembok pemisah di antara dua hati walaupun fizikal masih hidup sebumbung. Mungkin di khalayak ramai, masih tersenyum dan mampu ‘menyamar’ sebagai pasangan yang ideal tetapi hati masing-masing TST (tahu sama tahu) yang kemesraan sudah tiada lagi.

Pasangan yang begitu, boleh menipu orang lain. Namun, mampukah mereka menipu diri sendiri? Yang retak akhirnya terbelah. Penceraian berlaku. Mereka berpisah. Masyarakat yang melihat dari jauh pelik, mengapa begitu mesra tiba-tiba berpisah? Tidak ada kilat, tidak ada guruh, tiba-tiba ribut melanda. Oh, mereka tertipu. Perpaduan yang mereka lihat selama ini hanyalah lakonan. Allah membongkar rahsia ini menerusi firman-Nya:
“Kamu lihat sahaja mereka bersatu tetapi hati mereka berpecah.”

Carilah di mana Allah di dalam rumah tangga mu. Apakah Allah masih dibesarkan dalam solat yang kau dirikan bersama ahli keluarga mu? Apakah sudah lama rumah mu menjadi pusara akibat kegersangan zikir dan bacaan Al Quran? Apakah sudah luput majlis tazkirah dan tarbiah yang menjadi tonggak dalam rumah tangga? Di mana pesan-pesan iman dan wasiat taqwa yang menjadi penawar ujian kebosanan, kejemuan dan keletihan menongkah arus ujian?
Penyakit ego menimpa apabila hati sudah tidak terasa lagi kebesaran Allah. Orang yang ego hanya melihat kebesaran dirinya lalu memandang hina pasangannya. Hati yang ego itu mesti dibasuh kembali dengan rasa bertauhid menerusi ibadah-ibadah khusus – solat, membaca Al Quran, berzikir, bersedekah – dan paling penting majlis ilmu jangan diabaikan.

Firman Allah:
“Dan berilah peringatan. Sesungguhnya peringatan itu memberi manfaat kepada orang mukmin.”
Sedangkan orang mukmin pun perlu diperingatkan, apatah lagi kita yang belum mukmin? Iman itu seperti mana yang dimaksudkan hadis, boleh menambah dan mengurang. Untuk memastikan ia sentiasa bertahan malah bertambah, hati perlu berterusan bermujahadah. Lawan hawa nafsu yang mengajak kepada ketakburan dengan mengingatkan bahawa Allah benci kepada orang yang takbur walaupun sasaran takbur itu suami atau isteri sendiri.

Bila terasa bersalah, jangan malu mengaku salah. Segeranya mengakuinya dan hulurkan kata meminta maaf. Ular yang menyusur akar tidak akan hilang bisanya. Begitulah suami yang meminta maaf kepada isterinya. Dia tidak akan hilang kewibawaannya bahkan bertambah tinggi. Bukankah orang yang merendahkan diri akan ditinggikan Allah derjat dan martabatnya? Justeru, lunturkan ego diri dengan membiasakan diri meminta maaf. Tidak kira ketika kita rasa kita benar, lebih-lebih lagi apabila terasa kita yang bersalah.

Namun, lelaki yang tewas ialah lelaki yang sukar mengaku salah. Dia sentiasa tidak ingin mengalah. Pada ketika itu dia telah memiliki salah satu dari tiga ciri takbur yakni menolak kebenaran. Akuilah kebenaran walaupun kebenaran itu berada di pihak isteri. Tunduk kepada kebenaran ertinya tunduk kepada Allah. Jangan bimbang takut-takut dikatakan orang takutkan isteri. Kita takutkan Allah. Allah benci orang yang takbur.

Begitu juga isteri. Jika sudah terbukti salah, akui sahajalah. Dalam pertelagahan antara suami dan isteri, apakah penting siapa yang menang, siapa yang kalah? Kita berada di dalam gelanggang rumah tangga bukan berada di ruang mahkamah. Kesalahan suami adalah kesalahan kita juga dan begitulah sebaliknya. Rumah tangga wadah untuk berkongsi segala. Perkahwinan satu perkongsian, bukan satu persaingan. Kalau kita menang pun apa gunanya? Padahal, kita akan terus hidup bersama, tidur sebantal, berteduh di bawah bumbung yang sama.

Mujahadahlah sekuat-kuatnya menentang ego. Bisikan selalu di hati, Allah cintakan orang yang merendah diri. Allah benci orang yang tinggi diri. Pandanglah pasangan kita sebagai sahabat yang paling rapat. Kita dan dia hakikatnya satu. Ya, hati kita masih dua, tetapi dengan iman ia menjadi satu. Bukan satu dari segi bilangannya, tetapi satu dari segi rasa. Sebab itu sering diungkapkan, antara makhluk dengan makhluk mesti ada Khalik yang menyatukan. Ingat, hanya dengan iman, takbur akan luntur, cinta akan subur!

MAAFKANKU WAHAI SUAMIKadang-kadang aku rasa akulah
Isteri yang terlalu banyak menerima
Sedangkan engkau tak pernah meminta

Kadang-kadang aku rasa
Akulah isteri yang baru terjaga
Sedangkan engkau tak pernah terlena

Kadang-kadang ku bersuara tanpa berfikir
semua perkataan ku menjadi salah
Datanglah ke sini dan pegang tangan ku
Sementara ku cerita kehidupan isteri
Harap dimengerti

Kadang-kadang ku sakiti hati mu
Bila ku tolak sentuhan mu
Bukan bermaksud aku kurang menyayangi mu…
Namun cabaran terlalu

Kadang-kadang aku berubah pada pandangan mu
Tapi sayang, itu tidak benar
Tiada apa yang paling ku hargai
Daripada kehidupan manis bersama mu

Kadang-kadang ku fikir sejuta tahun
Adalah terlalu singkat
Hanya ku beritahu mu betapa sayangnya aku
Betapa syukurnya aku…
kau pelindung ku

Kadang-kadang berjauhan dengan mu
Akulah isteri yang terlalu tinggi bercita-cita…
Mencipta kerukunan keluarga
Namun aku tetap aku yang ini…
Maafkan aku wahai suami!

Sumber: Ustaz Pahrol Juoi
http://genta-rasa.com/2010/06/16/maafkan-aku-wahai-suami/

MAAFKAN AKU WAHAI ISTERI…


Maafkan ku wahai isteri kerana tidak memaafkan mu! Sesungguhnya ketika ini hati ku tidak menentu. Resah dan gelisah. Puas ku cari puncanya, rupanya segala-galanya kerana tidak memaafkan mu. Tidak memaafkan itu sesungguhnya satu dosa. Dosa itu pasti meresahkan.

Benarlah seperti apa yang pernah ditegaskan oleh Rasulullah SAW: “Dan dari Wabishah bin Ma’bad RA, ia berkata : “Aku telah datang kepada Rasulullah SAW, lalu beliau bersabda : ‘Apakah engkau datang untuk bertanya tentang kebajikan?’ Aku menjawab : ‘Benar’.

Baginda bersabda : ‘Mintalah fatwa dari hati mu. Kebajikan itu adalah apa-apa yang menenteramkan jiwa dan menenangkan hati dan dosa itu adalah apa-apa yang meragukan jiwa dan meresahkan hati, walaupun orang-orang memberikan fatwa kepada mu dan mereka membenarkannya”. (HR. Ahmad)

Ketahuilah aduhai isteri, sebaik sahaja surat ini di sisi, kau telah ku maafkan. Maafkan aku kerana tidak memaafkan mu. Sesungguhnya, aku acap kali dikuasai ego, sehingga terasa aku lebih ‘besar’, lebih penting dan lebih berkuasa… sehingga dengan itu aku tidak mampu memaafkan. Sedangkan aku hakikatnya hanyalah seorang hamba… yang kerdil, lemah dan berdosa. Siapalah diri ku sehingga tidak mampu memaafkan, sedangkan Allah, Tuhan yang Maha Besar itu pun sentiasa memaafkan.

Dalam sebuah hadis sahih, Rasulullah s.a.w. bersabda, ”Allah Yang Maha Tinggi berfirman: “Wahai anak Adam, sesungguhnya jika kamu berdoa kepada Ku dan mengharapkan- Ku maka Aku akan mengampuni mu atas semua dosa yang kamu lakukan, dan Aku tidak peduli. Wahai anak Adam, andai kata dosa-dosa mu itu sampai ke puncak langit kemudian kamu meminta ampunan kepada Ku nescaya Aku ampuni dan Aku tidak peduli. Wahai anak Adam, seandainya kamu datang kepada Ku dengan dosa yang besarnya seisi bumi seluruhnya, kemudian datang menemui Ku dan tidak menyekutukan Aku dengan yang lain nescaya Aku akan datang kepada mu dengan ampunan yang besarnya seisi bumi seluruhnya.”

Sungguh, setelah aku teliti dengan hati-hati segala kesalahan mu isteri… semuanya berpunca daripada kesalahan ku jua. Aku yang masih gagal mendidik mu. Aku yang masih kurang sabar dalam menghadapi kerenah mu. Aku yang masih tidak lunak dalam bertindak dan berkata. Hingga dengan itu, kesalahan mu cuba ku tangani dengan satu kesalahan juga. Malah ada kala dengan satu kesalahan yang lebih besar lagi.

Sepatutnya, aku tidak terkesan dengan wajah mu yang mencuka dan layanan mu yang selamba. Tapi entah kenapa, pada hari itu aku menjadi sangat perasa. Mungkin kerana ujian dan cabaran yang begitu berat ketika pulang dari bermusafir. Keletihan, cabaran dan masalah ada kalanya menggugat juga ketenangan kita. Lalu aku rasakan segala-galanya itu hanya aku yang mengalami tanpa ku sedari kau juga sedang diuji. Apa kurangnya ujian dalam rumah dibandingkan ujian di luar rumah. Mungkin tidak dari segi fizikal, namun mental dan emosi mu tentu sahaja teruji.

Belum, belum… aku belum mampu menjadi suami seperti Sayidina Umar RA, yang mampu menghadapi kerenah isteri dengan senyuman. Yang mampu berdiam diri menghadapi leteran isteri. Bukan kerana takut isteri. Bukankah Sayidina Umar adalah insan penuh keberanian sehingga digeruni oleh para syaitan? Namun, begitulah tarbiah Umar kepada isterinya. Leteran dihadapi dengan kesamaran. Api kemarahan akan padam apabila disiram dengan salju kemaafan. Akan kurenungi kembali nasihat Sayidina Umar kepada seorang suami yang sering menghadapi kerenah isterinya dengan meluahkan suara hatinya sendiri ketika berdepan dengan situasi yang sama: “Hai saudara ku, aku terima keadaan itu kerana jasa-jasa isteri ku pada ku; dia seorang tukang masak makanan ku dan pencuci pakaian ku, dan yang menyusu anak ku, padahal semua itu bukan kewajipannya. Selain dari itu, dia dapat menahan hati ku dari perbuatan haram. Maka kerana semua itulah aku terima saja kecerewetannya.”

Ya, itulah peribadi Sayidina Umar yang sesungguhnya telah dididik oleh Rasulullah SAW. Pernah suatu masa Sayidina Umar masuk menemui Nabi Muhammad yang ketika itu Nabi sedang berbaring. Nabi telah menyendiri di biliknya dan sebelum itu telah tersebar khabar angin bahawa baginda telah menceraikan isteri-isterinya. Sayidina Umar : Ya Rasulullah, adakah kamu telah ceraikan isteri-isteri kamu?

Sayidina Nabi mengangkat kepalanya dan berkata : Tidak

Sayidina Umar : “Allahu akbar Allahu akbar. Tuan boleh lihat sendiri betapa wanita-wanita kita tidak sesekali berani mengungkit dan membalas apa kita cakap. Sekarang mereka mula telah terkesan dengan perempuan kaum ansar yang suka mengungkit dan membalas cakap suami mereka.”

Suatu hari saya marah isteri saya dan dia berkata : “Apa yang peliknya jika saya mengungkit dan membalas cakap awak sedangkan isteri-isteri Nabi pun melakukannya terhadap Nabi.

Sayidina Umar : Agak malanglah sesiapa di kalangan mereka itu yang melakukan sedemikian. Adakah kamu boleh tenang dengan kemurkaan Allah kerana membuat kemarahan Baginda. Habislah kalau begitu.

Nabi Muhammad tersenyum mendengar kata-kata sayidina Umar.

Sayidina Umar : “Ya Rasulullah, suatu ketika saya jumpa Hafsah dan berkata kepadanya : Janganlah kamu terpedaya dengan perasaan kamu apabila melihat mereka lebih comel dan disukai oleh Nabi.”

Nabi tersenyum sekali lagi. Sayidina Umar : “Adakah Tuan sudah merasa lega dan terhibur?”

Nabi berkata : “Ya.”

Semakin ku renung semakin terasa bersalah. Sungguh aku telah bersalah ketika ku tolak rayuan mu untuk dimaafkan tempoh hari. Aku terlupa akan firman Allah ini: “Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepada mu) dengan cara yang lebih baik. Apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadap mu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib.” Al- Fushshilat : 34

Teringat aku ‘mauizah’ yang pernah ku terima dalam usrah suatu ketika dulu:“Jika tidak ada orang yang melakukan kesalahan kepada kita, mana mungkin kita mendapat pahala sabar? Jika tidak ada orang yang bersalah dengan kita, kita akan rugi… kerana tidak berpeluang mendapat pahala memaafkan. Sedangkan sabar dan memaafkan itu sangat besar pahala serta nilainya di sisi Allah.”

Begitu pesan para murabbi yang telah sama-sama kita dengar berulang kali. Ya, aku suami yang pelupa. Lupa akan pahala sabar. Alpa akan kelebihan memaafkan. Sedangkan telah lama Allah mengingatkan melalui firmanNya:”Orang yang sabar akan mendapat pahala tanpa hisab.” Allah jua telah mengingatkan:”. “Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah Yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas.” (QS. Az-Zumar: 10)

Sebagai suami aku seharusnya berjiwa murabbi. Seorang murabbi seharus nya lebih banyak memuji daripada mengeji, memujuk daripada mengutuk, mengajak berbanding membentak, melapangkan daripada menyusahkan… sayangnya, aku tidak sebegitu. Kekadang aku terlalu cepat menghukum. Sedangkan telah berkali-kali diperingatkan oleh orang yang bijaksana, “sesiapa yang cepat menghukum tidak akan sempat memberi kasih sayang!”

Lalu, di akhir lembaran ini sekali lagi… ku ulangi ayat pertama dalam surat ini, “maafkan ku wahai isteri kerana tidak memaafkan mu!”

Sumber: Ustaz Pahrol Juoi

http://genta-rasa.com/2013/04/08/maafkan-aku-wahai-isteri/

BERCERITA TENTANG JODOH…



Jodoh seperti rezeki, ia telah ditentukan. Namun, kita tidak tahu apa yang telah ditentukan oleh Allah. Dengan berpegang pada hakikat itu kita diperintahkan-Nya agar berusaha.

Carilah jodoh yang baik, carilah rezeki yang baik dengan jalan yang baik juga. Siapa jodoh kita? Berapa banyak rezeki kita? Dan bila? Itu bukan kerja kita. Itu ketentuan Allah. Milik kita hanya usaha.

Jadi, berusahalah dengan baik, Allah pasti tidak akan mengecewakan kita. Wajib menerima takdir tidak menolak kewajiban untuk mentadbir.

“Dulu saya tidak pernah melihat wajah bakal isteri saya,” kata seorang abang yang sangat saya hormati.

“Pelik tu bang. Bagaimana jodoh abang diaturkan?”

“Ikut pilihan guru agama yang mengajar saya,” jawabnya pendek.

“Mengapa tidak mahu melihat wajahnya? Kan itu dibenarkan oleh syariat? Barangkali sebab waktu itu tidak ada ruangan sosial seperti Facebook dan Twitter?” gurau saya.

“Memang belum ada. Tetapi ada cara lain. Gambar dan cara-cara yang lain ada, tetapi sebenarnya ada sebab lain…”



Dalam diam, saya rasa hairan. Wajahnya saya tenung. Dia orang yang sangat saya hormati. Sahsiah dan kepimpinannya sangat menawan hati. Tentu ada sebab yang solid untuk dia bersikap demikian.

“Sebelum aktif sebagai aktivis Islam seperti sekarang, saya pernah menjalin hubungan cinta. Dia teman lama sejak di sekolah rendah lagi,” jelasnya dengan tenang.

“Habis mengapa putus?”

“Kami putus kerana dia ada jalan tersendiri. Saya ajak bersama saya dalam perjuangan Islam ini tetapi dia selesa dengan gayanya. Lepas, bebas. Jadi kami berpisah setelah 10 tahun bercinta.”

Wah, ini kisah cinta yang dramatik! Saya tidak sangka sama sekali dia yang selama ini kelihatan begitu iltizam, tegas dan berwibawa pernah melalui tragedi cinta.


Isteri Amanah


“Itu kisah sebelumnya. Tetapi bagaimana dengan kisah pertemuan dengan isteri abang sekarang?” kata saya beralih kepada maksud asal pertanyaan.

“Setelah putus, abang terus pinta guru agama carikan jodoh. Ingin fokus kepada gerakan dan amal Islami tanpa diganggu gugat lagi oleh emosi cinta.”

“Tetapi mengapa abang tidak mahu melihat bakal isteri pilihan guru? Tidak dibenarkan?”

“Itu keputusan personal saya. Guru memberi kebebasan. Mahu melihat dulu, silakan. Tidak mahu, tidak mengapa.”

“Dan abang memilih untuk tidak melihat. Kenapa?”

“Eh, kamu masih tegar dengan soalan asal? Begini, bekas kekasih abang dulu sangat cantik. Abang takut perasaan abang diganggu oleh godaan perbandingan. Takut-takut, bakal isteri tidak secantik kekasih lama. Jadi abang tekad, nikah terus tanpa melihat wajahnya.”

Saya terkesima sebentar dan dengan pantas saya bertanya kembali, “Tetapi abang akan terpaksa juga membuat perbandingan setelah bernikah bukan? Setelah nikah, abang akan melihat wajahnya. Dan ketika itu mahu tak mahu godaan perbandingan akan datang juga.”

Sekali lagi dia senyum. Matanya bersinar-sinar dengan keyakinan. Jauh di lubuk hati, saya mengakui, dia memang bercakap dari hatinya.

“Amat jauh bezanya antara membandingkan wanita lain dengan bakal wanita yang akan kita nikahi dengan wanita yang telah kita nikahi…”

Pendek dia menjawabnya, namun terus menusuk ke hati saya. Tanpa saya pinta dia menyambung, “Apabila seorang wanita telah kita nikahi dengan sah, dialah wanita yang diamanahkan oleh Allah untuk kita bimbing dan pimpin menuju syurga. Nasib kita dunia dan akhirat sangat berkait rapat dengannya. Dia adalah jodoh yang ditakdirkan buat kita. Dialah wanita yang pasrah dan menyerah kepada kita atas nama Allah. Pada waktu itu, bagaimanapun keadaan wajahnya, siapa pun dia, sudah menjadi soal kedua.”


Cantik Itu Relatif dan Subjektif

“Abang tidak takut, kalau tiba-tiba wajah atau keadaannya tidak serasi dengan cita rasa abang? Maksudnya, er… er… kita masih manusia bukan?” saya menduga hatinya.

Dia ketawa tiba-tiba.

“Ya, kita masih manusia. Tetapi kita bukan sekadar manusia. Kita hamba Allah dan khalifah. Isteri ialah teman kita untuk memikul amanah dua misi berat itu. Untuk melaksanakannya, kita bukan hanya perlukan kecantikan seorang wanita, tetapi ilmunya, akhlaknya, sifat pengorbanannya dan kesetiaannya.”

“Jadi, untuk itu kecantikan tidak penting?”

“Semua yang datang daripada Allah ada kebaikannya. Namun ingat, Allah lebih tahu apa yang baik untuk kita berbanding kita sendiri. Sesiapa yang tekad menjadi hamba Allah dan khalifah, pasti tidak akan dikecewakan-Nya. Orang yang baik berhak mendapat yang baik, bukan begitu?”

“Bukan yang cantik?” jolok saya lagi.

“Cantik itu relatif dan sangat subjektif. Beauty is in the eye of the beholder, bukankah begitu? Cita rasa manusia tentang kecantikan tidak sama. Malah ia juga berubah-ubah mengikut masa, usia dan keadaan. Tetapi yang baik itu mutlak dan lebih kekal sifatnya,” balasnya dengan yakin.

“Maksud abang?”

Dia diam. Termenung sebentar. Mungkin mencari-cari bahasa kata untuk menterjermahkan bahasa rasa.

“Kecantikan seorang wanita tidak sama tafsirannya. Orang budiman dan beriman, menilai kecantikan kepada budi dan akhlak. Pemuja hedonisme dan materialisme hanya fokus kepada kecantikan wajah dan daya tarikan seksual.”

Ketika saya ingin menyampuk, dia menambah lagi, “Cantik juga relatif mengikut keadaan. Jelitawan sekalipun akan nampak hodoh dan membosankan apabila asyik marah-marah dan merampus. Sebaliknya, wanita yang sederhana sahaja wajahnya akan nampak manis apabila sentiasa tersenyum, sedia membantu dan memahami hati suami.”

“Oh, betul juga tu!” kata saya. Teringat betapa ada seorang kenalan yang sering mengeluh tentang isterinya, “Sedap di mata tetapi sakit di hati…”


Wasilah Memilih Jodoh


“Bagaimana sebaik selepas berkahwin? Tak terkilan?” ujar saya dengan soalan nakal.

“Memang dari segi kecantikan, isteri abang sekarang biasa-biasa sahaja.”

“Maksudnya yang dulu lebih cantik?”

“Kamu ni, fikirannya masih berkisar dan berlegar-legar di situ juga. Ingat, yang biasa-biasa akan jadi luar biasa cantik apabila makin lama kita bersama dengannya. Itulah pengalaman abang. Hari ke hari, kecantikan isteri semakin terserlah. Entahlah, apa yang Allah ubah. Wajah itu atau hati ini?”

Wah, dia seakan berfalsafah! Kata-katanya punya maksud yang tersirat.

“Apa kaitannya dengan hati?” layan lagi. Ingin saya terus mencungkil mutiara hikmah daripadanya.

“Kalau hati kita indah, kita akan sentiasa melihat keindahan. Sebaliknya kalau hati rosak, keindahan tidak akan ketara, sekalipun sudah tampak di depan mata. Atau kita mungkin akan mudah bosan dengan apa yang ada lalu mula mencari lagi. Percayalah, orang yang rosak hatinya akan menjadi pemburu kecantikan yang fatamorgana!”

‘Ah, tentu dia bahagia kini!’ bisik hati saya sendiri.

“Apa panduan abang jika semua ini ingin saya tuliskan?”

“Pilihlah jodoh dengan dua cara. Pertama, jadilah orang yang baik. Insya-Allah, kita akan mendapat jodoh yang baik. Kedua, ikutlah pilihan orang yang baik. Orang yang baik akan memilih yang baik untuk jadi pasangan hidup kita.”


Jadi Orang Baik dan Pilihan Orang Baik


“Tapi bang, ramai yang menolak kaedah kedua. Kata mereka, mana mungkin kita menyerahkan hak kita memilih jodoh sendiri kepada ibu bapa, guru atau individu-individu lain sekalipun mereka orang yang baik-baik.”

“Tak mengapa. Kalau begitu, cuna cara pertama, jadilah orang yang baik.”

“Itu susah bang. Bukan mudah hendak menjadi orang yang baik. Ia satu proses yang panjang dan sukar menentukan apakah kita sudah jadi orang yang baik atau belum.”

Abang tersenyum lantas berkata, “Kamu menyoal bagi pihak orang lain bukan?”

Saya diam. Dalam senyap saya akui, inilah soalan yang sering diajukan oleh para remaja di luar sana.

“Kedua-dua cara itu boleh dijalankan serentak. Maksudnya, jika kita berusaha menjadi orang yang baik, insya-Allah, Allah akan kurniakan kita jodoh yang baik melalui pilihan orang baik. Ataupun kita berusaha menjadi orang yang baik sambil mencari orang yang baik sebagai jodoh, dan nanti pilihan kita itu direstui oleh orang yang baik!”

Wah, kedengaran berbelit-belit ayatnya, namun jika diamati ada kebenarannya.

“Tetapi ada juga mereka yang menolak pilihan orang yang baik bukan?”

“Kerana mereka bukan orang baik,” jawabnya pendek.

“Bukan, bukan begitu. Bolehkah terjadi orang baik menolak pilihan orang yang baik?”

“Ya, tidak mengapa. Tetapi mereka tetap menolaknya dengan cara yang baik. Itulah yang terjadi kepada seorang wanita yang bertanyakan haknya untuk menerima atau menolak jodoh yang dipilih oleh ibu bapanya kepada Rasulullah s.a.w.”

“Apa hikmah di sebalik kisah itu bang?”

“Kita boleh melihat persoalan ini dari dua dimensi. Pertama, mungkin ada anak-anak yang tidak baik menolak pilihan ibu bapa yang baik. Hikmahnya, Allah tidak mengizinkan orang yang baik menjadi pasangan orang yang tidak baik. Bukankah Allah telah berjanji, lelaki yang baik hanya untuk wanita yang baik dan begitulah sebaliknya?”

Saya terdiam. Benar-benar tenggelam dalam fikiran yang mendalam dengan luahan hikmah itu.


Jodoh Urusan Allah


“Dan mungkin juga anak itu orang baik tetapi ibu bapanya yang tidak baik itu memilih calon yang tidak baik sebagai pasangannya. Maka pada waktu itu syariat membenarkan si anak menolak pilihan ibu bapanya. Ya, itulah kaedah Allah untuk menyelamatkan orang baik daripada mendapat pasangan hidup yang jahat.”

“Bagaimana pula jika anak itu baik, dan ibu bapanya pun baik serta calon pilihan ibu bapanya juga baik, tetapi urusan pernikahan masih terbengkalai. Apa maknanya?” tanya saya inginkan penjelasan muktamad.

“Itulah takdir! Mungkin Allah menentukan ‘orang baik’ lain sebagai jodohnya. Sementara orang baik yang dicadangkan itu telah Allah tentukan dengan orang baik yang lain pula!”

Tiba-tiba saya teringat bagaimana Hafsah yang dicadangkan untuk menjadi calon isteri Sayidina Abu Bakar oleh ayahnya Sayidina Umar tetapi ditolak. Akhir Hafsah bernikah dengan Rasulullah s.a.w. Kebaikan sentiasa berlegar-legar dalam kalangan orang yang baik!

“Jodoh itu urusan Allah. Sudah dicatat sejak azali lagi. Tetapi prinsipnya tetap satu dan satu itulah yang wajib kita fahami. Orang yang baik berhak mendapat jodoh yang baik. Cuma sekali-sekala sahaja Allah menguji orang yang baik mendapat pasangan hidup yang jahat seperti Nabi Lut mendapat isteri yang jahat dan Asiyah yang bersuamikan Firaun laknatullah.”

“Apa hikmahnya kes yang berlaku sekali-sekala seperti itu?”

“Eh, abang bukan pakar hikmah! Tetapi mungkin Allah hendak meninggikan lagi darjah dan darjat orang baik ke tahap yang lebih tinggi.”

“Hikmah untuk kita?”

“Jika takdirnya pahit untuk kita, terimalah sebagai ubat. Katalah, kita sudah berusaha menjadi orang yang baik dan kita telah pun bernikah dengan pilihan orang yang baik, tetapi jika takdirnya pasangan kita bermasalah… bersabarlah. Katakan pada diri bahawa itulah jalan yang ditentukan oleh Allah untuk kita mendapat syurga. Maka rebutlah pahala sabar dan redha seperti Nabi Lut dan Nabi Ayyub atau kesabaran seorang isteri bernama Siti Asiah.”

Tok, tok, tok. Tiba-tiba pintu bilik tulis saya diketuk. Wajah watak “abang bayangan” saya pergi tiba-tiba. Tersedar saya daripada lamunan yang panjang. Wajah isteri terserlah di sebalik pintu. Sebalik melihatnya terdetak dalam hati sendiri, apakah aku telah menjadi insan yang baik untuk memperbaikinya?

Ah, hati dilanda bimbang mengingatkan makna satu ungkapan yang pernah saya tulis dahulu: “Yang penting bukan siapa isterimu semasa kau nikahinya, tetapi siapa dia setelah menikah denganmu. JAdi, janji Allah tentang lelaki yang baik untuk wanita yang baik bukan hanya berlaku pada awal pernikahan, tetapi di pertengahannya, penghujungnya malah sepanjang jalan menuju syurga!”

P/S

Nota hati: Pulang dari Kelantan hujung minggu lalu dengan badan yang sarat dengan keletihan. Namun hati dan fikiran sarat dengan iktibar dan pengajaran.

Berlegar di sekitar kuliah Hari Jumaat di bandar KB, mendengar. merasa dan melihat. Yang indah, bukan tanahnya, tetapi manusia yang menegakkan hukum Allah di atasnya.

Mungkin sesuatu yang kelihatan sederhana pada pandangan mata, tetapi sangat cantik bila dipandang dengan mata hati. Begitulah rasa hati… semoga kita semua kembali kepada Ilahi, kerana di sana ada keindahan yang hakiki dan abadi.

Berfikir tentang jodoh anak-anak, adalah satu cabaran yang dipenuhi pelbagai misteri. Ia sukar ditebak dan diduga. Namun, pesan saya cuma satu… untuk anak sendiri dan anak-anak di luar sana, ikutlah syariat, pasti selamat. Islam itu sejahtera. Tidak ada kebahagiaan tanpanya.

Ya, kesalahan dan kesilapan boleh berlaku - ada ampun, maaf dan taubat di situ. Namun mukmin sebenar tidak akan jatuh dalam lubang yang sama dua kali. Cukup hanya sekali… pertama, kerana kejahilan. Maka belajarlah. Kalau kedua, itu kerana kedegilan. Hubaya-hubaya, kekadang harga yang ditagih untuk ‘membetulkannya’ terlalu pedih dan menyakitkan.

Belajarlah melakukan yang benar dan betul buat pertama kali. Itu yang terbaik. Tetapi jika tidak, cubalah membetulkannya buat kali kedua, ketiga dan seterusnya. Jangan jemu untuk cuba melakukan yang terbaik, kerana kata bijak pandai: Kebaikan itu perlu dimulakan berkali-kali!


SUMBER : Ustaz Pahrol Juoi
http://genta-rasa.com/2011/02/09/bercerita-tentang-jodoh/

Berapa gaji anda? Cukup ke????


Oleh Izmil Amri

SOAL GAJI adalah sensitif bagi sesetengah orang. Saya kenal seorang teman yang suka bertanya ‘berapa gaji kau?’ kepada orang yang baru ia kenali. Kami semua rasa nak tumbuk beliau kadang-kadang. Namun meski sensitif, kita semua suka bertanya soalan ini. Kita sentiasa mahu tahu bagaimana orang lain mandiri dalam keadaan ekonomi sedia ada.
Tahun sudah saya ada menulis mengenai kisah kawan kepada bapa saudara saya yang sering bertanya berapa gajinya si Perdana Menteri. Tulisan itu boleh dibaca . Tahun ini saya mahu tanya secara terus terang, berapa gaji anda? Cukup tak?
Soalan ini wajar ditanya kerana ada orang yang gajinya sebulan tak habis makan tujuh keturunan. Ini akan saya cerita panjang sekejap lagi.

Jadi adakah anda merasakan bahawa gaji yang anda terima sekarang mencukupi? Cuba renungkan seketika, sambil mengambil kira perbelanjaan harian, bulanan, perkara rencam dan perbelanjaan tak semena-mena seperti pistol mainan yang anak anda meraung-raung minta di kedai semalam.

Beberapa hari lalu ada tersebar keratan akhbar surat seorang pelajar sekolah rendah yang mengadu keluarganya kian tidak mampu menanggung belanja hariannya yang terpaksa membawa hampir sepuluh ringgit sehari untuk makan pada waktu rehat dan sebelum kelas tambahan tengah hari.

Saya masih ingat pada zaman saya sekolah rendah dulu, duit belanja waktu rehat hanya sekeping syiling satu ringgit. 20 sen untuk segelas air soya, 30 sen untuk jajan dan 50 sen untuk mee goreng. Kadang-kadang tak selera makan mee goreng, simpan masuk tabung. Sekeping syiling satu ringgit inilah yang masuk ke poket baju sekolah saya dulu.
Ternyata satu ringgit hari ini kalau dibawa ke sekolah hanya boleh beli air. Mujur tak kena GST.

Umat yang dizalimi

Dalam keadaan subsidi gula ditarik balik beberapa ketika sebelum rakyat Malaysia meraikan Deepavali; kita pastinya akan rasa bahawa pemerintah daripada kalangan Barisan Nasional (BN) ini adalah golongan manusia tidak berhati perut. Subsidi gula yang dinikmati semua, termasuk golongan miskin dan berpendapatan rendah ditarik balik, tetapi subsidi bahan api untuk pengeluar tenaga kaya raya tidak pula diusik.

Maka mudahnya di Malaysia ini, yang kaya selalunya akan bertambah kaya; terutama sekali apabila berkawan dengan pemerintah. Lalu yang miskin pula terus papa kedana.
Khutbah Jumaat pun sudah justeru jadi ruang propaganda pemerintah untuk mengabsahkan kerjanya mencukai rakyat jelata; termasuk yang miskin tak punya duit tabung ini. Mujur duit tabung masjid tak dikenakan GST.
Teks khutbah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menggesa umat Islam supaya menyokong tindakan kerajaan mencukai semua lapisan masyarakat, dengan alasan bahawa pemerintah sedang berusaha memperteguh ekonomi ummah serta ‘membela dan mengangkat martabat ummah’.

Martabat ummah, tidak akan terangkat selagi mana pemerintahnya gigih merompak komisyen dan melakukan rasuah sekerap ia bernafas. Martabat ummah juga tidak mungkin akan meninggi selagi pemerintah membazirkan duit rakyat jelata yang diamanahkan kepadanya. Martabat ummah juga tidak akan ke mana-mana selagi ummah ditipu saban hari melalui akhbar kawalan kerajaan dan mimbar masjid kerajaan.
Martabat ummah yang kini tertekan dengan kocek yang sentiasa kering dan dompet yang sentiasa nipis ini tidak akan terlihat selagi mana ia kekal miskin dan dirompak apa sahaja kekayaannya itu melalui percukaian dengan kadar tinggi pada saat gaji sebulannya juga belum tentu cukup untuk beri makan anak isteri.
Yang membela polisi zalim kerajaan ini daripada mimbar masjid harus malu dengan diri sendiri.

Yang kaya bertambah kaya

Berbalik kepada soalan saya mengenai gaji anda semua. Seperti yang kata tadi, saya pertanyakan hal ini kepada tuan puan sekalian kerana ada antara kita ini yang gajinya satu bulan sudah boleh beli kereta, tunai.
Minggu sudah Ahli Parlimen Serdang, Dr Ong Kian Ming mendedahkan di Dewan Rakyat betapa mewahnya pendapatan bulanan bos agensi kerajaan, yang ada daripadanya bukan sahaja menerima bayaran daripada kerajaan malah mendapat bayaran lain.
Antara lain, berdasarkan jawapan Parlimen yang diberi kepada beliau, kita diberitahu bahawa Pengarah Pengurusan Unit Penyampaian dan Pengurusan Prestasi (PEMANDU) dibayar RM49,000 sebulan. Gaji tahunan, elaun dan bonus Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Agensi Inovasi Malaysia pula adalah sebanyak RM830,500. Sebulan gajinya kira-kira RM69,000.
Kerja satu bulan sudah boleh beli Proton Preve, cash!
Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) pula dibayar gaji tahunan sebanyak RM480,000, sebulan gajinya RM40,000. Separuh gajinya sama dengan lebih kurang satu pinjaman penuh PTPTN untuk sarjana muda bidang sains sosial.

Ketua Pegawai Eksekutif TalentCorp pula menerima gaji bulanan sebanyak RM30,000 dan elaun bulanan kereta sebanyak RM5,000. Saya pula ada perjanjian sewa beli dengan bank untuk kereta murah yang saya harus bayar RM500 setiap bulan.
Bukan itu sahaja, Mohamad Emir Mavani Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif Felda Global Ventures adalah Pengarah di kedua-dua FGV dan PEMANDU yang berada di bawah Jabatan Perdana Menteri. Beliau juga disenaraikan sebagai CEO Malaysian Petroleum Resource Corporation (juga di bawah Jabatan Perdana Menteri).

Fuhhhhhhhhhhh..!!!
Dan kita disuruh ubah cara hidup. Daripada makan mee segera berkuah, sekarang pepaklah begitu sahaja, jimat air panas. Syukurlah Malaysia masih aman.

SUMBER DARI : RAKYAT MARHAEN blog