SAHABAT TENTERA FISABILILLAH™

Wednesday, October 1, 2014

Bukan Kerana Dunia


Matanya memandang ke langit. Hujan masih tali-bertemali turun dari langit yang sudah tiada awan menghiasinya. Senyum, sambil matanya dipejam. Subhanallah, sejuknya. Angin sejuk, bau hujan dan bunyi titis air yang turun ke bumi membuatkan dia rasa suatu perasaan yang sungguh dekat pada Yang Maha Mencipta. Tenang. Ya, dia rasa tenang. Tenang kerana ingatan dan hatinya kembali ada pada Allah.
Surah Ar-Ra’d ayat 28,
“ (iaitu)orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenang tenteram.”
‘Tenang,bila hati ada pada Allah,’ Iman tersenyum lagi.
Sudah lama dia tak merasa hujan bumi Terengganu ini. Hampir tiga bulan dia tidak pulang, Jihad mencari ilmu di tanah asing.
Perasaan gementar tu memang ada bila tercampak kat Kuala Lumpur seorang diri dulu. Lepas SPM, kawan-kawannya berterabur merata di bumi Allah ini. Dan dia seorang saja yang mendapat tawaran ke Universiti Malaya di Pusat Asasi Sains di bawah tajaan JPA.
Ketika dia belajar, dia ada dapat tawaran medik ke Rusia tapi dia yang menolak, sebab cita-cita asal dia memang nak jadi jurutera dalam bidang kimia. Semoga Allah mengabulkan cita-citanya. Dia dah melangkah dua langkah dalam mengejar cita-citanya itu. Sekarang dia tengah bercuti tiga bulan,buka semester baru nanti, dia akan masuk ke tahun akhir dalam Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia.
Memang universiti tempat dia belajar itu tak ada perkataan ‘ISLAM’ pada namanya. Tapi Subhanallah,rahmat Allah ada di mana-mana, seluas langit dan bumi. Dia tak sangka, dia bertemu dengan cinta di sini. Cinta Allah yang tak pernah meninggalkan dia sendiri. Dulu, hatinya tenang tapi tak setenang kini. Sebab kat sini dia belajar menjadi dewasa. Mengenali cita-cita sebenar seorang mujahid sejati. Syahid di jalan Allah swt.
*******
“Dan barangsiapa yang berhijrah di jalan Allah, nescaya mereka akan mendapatkan di bumi ini tempat hijrah yang luas dan (rezeki) yang banyak. Barangsiapa keluar dari rumahnya dengan maksud berhijrah kerana Allah dan RasulNya, kemudian kematian menimpanya (sebelum sampai ke tempat yang dituju), maka sungguh,pahalanya telah ditetapkan di sisi Allah. Dan Allah Maha Pengampun,Maha Penyayang.”
Ayat ke 100 daripada Surah An-Nisa’ itu selalu menjadi penawar hatinya bila kadang-kadang dia terasa lelah dengan perjuangan di rantau orang padahal dia ni belajar dalam negara,belum duduk luar negara lagi.
Hidup sebagai seorang Islam yang masuk keseluruhannya ke dalam Islam itu sememangnya manis. Kalau kita rasa lemah,kita ada ayat-ayat cinta daripada Dia untuk memujuk. Kalau kita rasa gembira pun,kita tetap ada. Dia tempat kita sandarkan rasa syukur yang tak terhingga. Alhamdulillah. Iman bersyukur dengan hidup yang dia ada.
Kalau dulu di sekolah menengah, dia rasa dia dah cukup baik. Dia percaya dia baik sebab semua orang kata dia baik. Berasal dari keluarga yang berlatar belakangkan agama yang boleh dikatakan utuh, buat dia menjadi rujukan kalau ada antara kawan-kawannya ada masalah di sekolah dulu. Astaghfirullah. Insaf bila teringatkan diri yang pernah bangga dengan diri sendiri, padahal ilmu agama yang dia ada tak sehebat sahabat-sahabat dia di sini.
Dan bumi Kuala Lumpur menyaksikan air mata seorang Muhammad Iman tumpah; bukan lagi kerana dunia tapi kerana merasa kecil dan lemahnya dia seorang hamba. Tegar saja dulu berasa dirinya hebat sedangkan ilmu agamanya sikit sangat-sangat.
Ya. Dia pernah pudar kerana dunia. Dia pernah tenggelam dalam cinta dunia. Dia malu dengan Allah. Dia pernah suka melebih-lebih pada seorang bukan muhrimnya. Dia tahu seorang muslim itu mesti menundukkan pandangan seperti dalam firmanNya dalam Surah An-Nur ayat ke 30,
“katakanlah kepada lelaki yang beriman,agar mereka menjaga pandangannya, dan memelihara kehormatannya,yang demikian itu lebih suci bagi mereka. Sungguh Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat.”
Tapi rupa-rupanya iman seorang yang bernama Iman ini masih lemah diuji perhiasan dunia. Dia tahu apa yang dia buat itu salah, tapi waktu itu perasaan berdebar dalam hatinya tiap kali bertentang mata dengan Hanim terasa indah, mengaburkan dia tentang indahnya lagi mentaati perintah Allah dalam Surah An-Nur itu. Astaghfirullah. Hanim itu kawan satu sekolahnya, tapi dia tak pernah pun berbual; hanya memandang dari jauh.
Tapi diamnya dia bukan diam yang tiada gunanya. Diamnya dia selama ini daripada berbicara soal hati bukan diam yang sia-sia. Lima tahun. Hampir lima tahun dia simpan hatinya kejap-kejap dari diketuk mana-mana wanita. Mama asyik tanya betul ke dia tak ada kawan dengan siapa-siapa? Mama risau dekat dia macamlah dia anak perempuan,takut lambat jodoh. Iman tersenyum. Mama,mama. Kalaulah mencari calon isteri itu semudah memetik suis lampu, dah lama angah buat,ma. Tapi mamanya memang selalu pandai mematahkan hujahnya.
Hampir lima tahun dia tak bertemu gadis itu. Tapi namanya tetap ada dalam fikiran,dalam hati. Hanim Najwa.Lima tahun ini bukan lima tahun yang sia-sia baginya. Dia sudah berusaha sungguh-sungguh agar hatinya tidak tunduk dengan dunia.
Tak apa Iman, kalau betul jodohnya dengan Hanim, pasti Allah datangkan kembali Hanim pada dia. Kalau tak ada, insyaAllah pasti ada yang lebih baik menanti untuk menjadi suri hatinya nanti. Iman tak mahu risau lagi, sebab dia yakin Allah telah sediakan yang terbaik untuknya. Apa yang dia ingin lakukan, berjuang sungguh-sungguh di jalan Allah sebab dia sayangkan warisan tinggalan Rasulullah SAW ini. Syahid di jalanNya. Amin.
Bibirnya melafaz tasbih cinta.
Subhanallah. Alhamdulillah. Laa ilahaillah. Allahuakbar.

sumber: http://www.iluvislam.com/tazkirah/remaja-a-cinta/9962-bukan-kerana-dunia.html
Penulis
Editor
Naquiah Noor

No comments: