SAHABAT TENTERA FISABILILLAH™

Friday, September 12, 2014

Layakkah Kita



Aku tonton sekali lagi cerekarama Runtuhnya Sebuah Dosa, kali ini dengan rakan-rakan aku setelah tamat usrah. Ada satu adegan di mana Rashidi, lakonan Remy Ishak sedang bersembang dengan adiknya. Adiknya bertanya pendapat daripada abangnya berkenaan kawannya yang mahu belajar agama daripadanya. Abangnya berpesan supaya mengajarlah kawannya itu apa yang hanya diketahui, tidak perlu tahu tentang semua perkara.
Kita mungkin sudah biasa dengan ayat itu. Ketika mana ada yang merisik kita untuk menjadi ‘kakak usrah’, antara dilema yang dihadapi ialah, “layakkah aku?”. Itu persoalan yang biasa terlintas. Mahu tunggu layak? Apa definisi layak? Sudah khatam ayat al-Quran? Pakai tudung labuh? Hafal semua hadis yang popular? Mengerjakan solat-solat sunat? Tidak pernah terlepas membaca surah al-Kahf setiap malam Jumaat atau surah al-Mulk setiap kali sebelum tidur?
Ya Allah!
Kalau itulah definisi layak, agaknya tiada langsung yang memegang tugas dai’e sekarang. Bukan mahu menyatakan bahawa dai’e sekarang tiada langsung yang mempunyai semua kriteria itu, namun bilangannya tentulah tidak seramai yang ada hanya sebilangan kriteria tersebut. Apa yang mahu disampaikan di sini ialah, kita tidak mungkin akan menjadi yang sempurna, atau bebas dosa. Jauh sekali menunggu diri ini ‘dianugerahkan’ pangkat ma’sum, barulah mahu menjadi seorang dai’e.
Kita biasanya lebih terkesan dengan seseorang yang latar belakangnya banyak persamaan dengan kita. Bukanlah mengatakan bahawa apabila mendengar sirah nabi dan para sahabat langsung tidak memberi kesan dan motivasi untuk kita berubah dan bersama-sama untuk membantu agama Allah.
“Mereka ma’sum, kita ini siapalah sangat. Banyak dosa.” Itu yang sering bermain dalam benak fikiran. Memang benar Rasulullah itu ma’sum. Cuma, apa yang cuba saya sampaikan ialah yang kita lebih senang melihat, dan mencontohi seseorang yang lebih sama dengan kita; dari segi jantina, usia, status ekonomi, pendidikan dan lain-lain. Hal ini kerana melihat sesorang yang lebih banyak persamaan membuatkan kita percaya yang apa yang mampu dicapai olehnya juga mampu dicapai oleh kita. Senang cerita, saya sendiri lebih senang menjadikan kakak-kakak usrah sebagai role model untuk berubah. Kerana mereka sendiri lebih banyak persamaan dengan saya. Mereka juga pernah berada dalam kehidupan yang penuh jahiliyyah, dan masih struggle untuk menjadikan diri mereka semakin hari semakin baik. Mereka juga sama-sama berusaha untuk membentuk diri mereka menjadi insan yang hidupnya berlandaskan al-Quran dan sunnah. Kerana itu, tidak melampau jika saya katakan yang kakak-kakak usrah ini, walaupun mereka bukan ma’sum dan bebas dosa, masih layak untuk menjadi role model.
Jadi masih tidak layakkah kita?
Sambil kita berpesan kepada orang, kita sebenarnya berpesan untuk diri sendiri. Walaupun kita tidak khatam kitab-kitab agama yang dikarang oleh para ulama terkemuka, ia tidak bererti kita langsung tiada apa untuk disampaikan. Terkesan saya mendengar Irma Hasmi ketika berucap dalam Konvensyen Bidadari Dunia. Katanya yang lebih kurang begini, “Saya kongsi pengalaman, juga boleh dijadikan ilmu.” Saya setuju dengannya. Pengalaman hidup setiap daripada kita yang dicerita semula mampu untuk membuatkan yang mendengar rasa tersentuh dan mula berfikir, dengan izinNya. Kita tidak akan pernah jangka siapa yang akan bercerita kisah yang lebih kurang sama sahaja dengan kisah orang lain, yang selama ini kita dengar dan melupakannya, tiba-tiba mampu membuatkan kita terfikir panjang dan mula bermuhasabah diri. Saya pasti, jika kita menghadiri mana-mana majlis ilmu, speakers yang berucap akan bercerita kisah yang lebih kurang sama sahaja. Namun, dengan kuasaNya, kita tiba-tiba tersentuh dek kerana kisah itu diceritakan oleh seseorang yang dia sendiri tidak jangka mampu membuatkan seseorang berubah, dengan izinNya.
Saya mahu persoalkan sekali lagi. Layakkah kita? Tidak mahukah kita mengambil peluang untuk membuat kebaikan, untuk menyampaikan barang satu ayat pun kepada yang lain? Tidak mahukah kita menjadi penyebab atau pencetus kepada seseorang untuk berubah, dengan izinNya? Kita tidak akan pernah jangka, dalam banyak-banyak ayat yang kita sebut, dalam banyak-banyak perbuatan yang kita lakukan, dalam banyak-banyak perkataan yang kita tuliskan, walaupun hanyalah ulangan ayat, perbuatan dan perkataan yang sama dan berulang-kali daripada orang lain, dapat menjentik hati dan keinginan seseorang untuk berubah menjadi yang lebih baik. Sayangnya jika yang datang daripada kita semuanya hanya yang sia-sia. Artikel yang saya tulis, dan anda baca ini juga artikel yang menyentuh isu yang sudah banyak kali ditulis. Dan kenapa saya tetap mahu menulis tentang ini?
Wallahualam.

sumber : http://www.iluvislam.com/tazkirah/10262-layakkah-kita.html
Penulis
Editor
Abi Aisyah

No comments: