SAHABAT TENTERA FISABILILLAH™

Saturday, November 26, 2011

♥ (¯`*•.¸*♥ Nafas Cinta Insyirah ♥*¸.•*´¯) ♥

♥ (¯`*•.¸*♥ Nafas Cinta Insyirah ♥*¸.•*´¯) ♥

by Muhammad Syafiq Mohammad on Friday, 12 August 2011 at 02:23

Nafas Cinta Insyirah
RAB, 03 NOV 2010 20:41 |




Pandangannya sedikit pun tidak beralih pada hamparan laut di hadapan. Matanya terus memandang dengan jiwa yang kosong. Kedengaran desiran ombak kecil yang menghempaskan diri ke pantai sambil bertemankan keriuhan suara tetamu-tetamu sang laut. Bibirnya menguntum senyuman kecil tatkala terpandang anak lelaki kecil yang sibuk mengutip anak-anak siput di sekitar pantai.

Berdiri di sebelahnya seorang lelaki yang mengekori setiap langkah anak kecil di hadapannya. Mungkinkah ayahnya? Tapi masakan terlalu muda? Mungkin juga abang kepada anak comel itu? Mungkin...
Ah, tidak semena-mena tangisan membasahi wajah Cahaya. Lantas pandangan dijatuhkan pada perutnya yang ditutupi baju labuh, kian membesar setiap waktu. Tidak berayah, tiada siapa, kecuali Cahaya yang putus asa. Airmatanya mengalir deras, jantungnya berdegup kencang. Kakinya lantas mengorak langkah dan terus mara setapak demi setapak.
"Adi, you dah janji nak kahwin dengan I ? Takkan you nak biar I macam ni?"
"Hey perempuan.. aku nak letak muka aku kat mana kalau aku kahwin dengan kau? Entah-entah dia bukan anak aku.. entah jantan mana punya pasal aku pula jadi mangsa."


"Sumpah Adi, I tak pernah buat kat orang lain. Apa ni? Mana janji-janji you selama ni? Gara-gara you, I pregnant sampai dibuang keluarga. Gara-gara I cintakan you lah I jadi macam ni."
"Oh... kau ingat bila keluarga kau dah buang kau, kau boleh suka-suka tinggal dengan aku?Sorry... aku pun tak nak nasib sama dengan kau.. aku masih muda lah Cahaya. Takkan aku nak jaga anak pulak?"
"So, you memang tak cintakan I lah? Selama ni you just main-mainkan I?"
"Bukannya masalah aku... kau yang terlalu percaya sangat. Dasar perempuan murah."
"Apa you kata? Eh,Adi...sedarlah diri sikit, kalau you kata I perempuan murahan, you pun lelaki murahan, takde beza."
"Baguslah kalau kau dah kata macam tu.. sebab lelaki yang kau kata murahan ni langsung takde hati kat perempuan murahan macam kau. Sekarang baik kau pergi mampus dengan anak sialan kau tu."

"You yang bawa sial kat I. Kurang ajar punya jantan. You dah musnahkan hidup I. Bodoh!"
Kereta dipacu laju dan meninggalkan Cahaya yang terkulai dengan seribu tangisan. Peristiwa yang baru beberapa jam berlalu, masih terasa bahangnya dalam jiwa. Gejolak dalam hatinya tiada siapa yang peduli. Papa?Mama?Ah...semuanya meninggalkannya terkapai-kapai lemas dalam luka yang ditanggungnya. Penyesalan yang kini memakan dirinya. Kini, hanya ditemani denyutan bayi yang tidak diminta hadirnya.

Langkahnya terus mara melangkah setapak ke hadapan, ditemani bayi hasil daripada taburan janji cinta palsu lelaki hipokrit. Mara setapak lagi dan kini air mula membasahi separuh betisnya. Tangisan dan sedu terus mengiringi aturan langkahnya . Semakin lama jasadnya dibasahi air mata dan menenggelami lebih separuh tubuhnya. Nyawanya kini bagai tiada nilai. Kini yang ada di sudut jiwa dan fikiran hanyalah mahu menemui kematian. Biar laut menjadi saksi kedukaan sang pencinta yang berdosa. Biarlah laut melemaskan jasadnya sebagaimana cinta melemaskan seluruh jiwanya. Cahaya memejamkan mata.


'Tiada gunanya hidup lagi anakku, saat dunia membenci kehadiranmu. Maafkan ibu.'
Cahaya menarik nafas sedalam-dalamnya dan berharap nafas itulah yang menjadi titik noktah dalam hidupnya. Biarlah aku pergi...

Pergi dari kelukaan...
Pergi dari semuanya...
Tiba-tiba tubuhnya disentap dari belakang dan ditarik keluar dari isi lautan, tidak semena-mena dia terbaring di tepi pantai. Cahaya bernafas tercungap-cungap. Sementara lelaki yang basah kuyup dihadapannya memandangnya dengan pandangan tajam. Titisan air dari rambutnya masih menitis dan jasadnya benar-benar bermandikan air laut petang itu. Kenapa saat-saat dia mahu membunuh diri pun masih ada halangan yang menerpa?

"Awak, banyak lagi cara lain nak selesaikan masalah, tapi bukan dengan cara ni. Awak patut fikir kesihatan bayi dalam kandungan awak tu. Jangan kerana kebodohan awak, anak yang tak bersalah pun menanggung sama."
Suara yang dilontarkan dari bibir pemuda itu menambahkan lagi hirisan luka dalam jiwanya. Jeritannya yang berbaur kemarahan tetapi masih berlapiskan kesedaran.

"Senanglah awak cakap, bukan awak yang menanggungnya. Saya yang rasa, saya yang merasai kesakitan ni, saya dah tak ada sesiapa lagi, jadi apa bezanya kalau mati sekalipun?" Bentakku melontarkan rasa yang terpendam di hati. Perkataan 'mati' itu sengaja ditekankan sebutannya.
"Ya...saya faham. Saya tak rasa semua kesakitan awak, tapi saya dapat rasakan kesedihan anak yang awak kandung tu. Allah dah berikan dia nadi dan kasih sayang dari awak, tapi ibunya sendiri yang ingin membunuhnya. Anak mana yang mampu terima semua tu? Awak silap kalau awak rasa mati lebih baik."
"Huh...awak ingat saya kisah semua tu? Pergi jahanamlah ceramah awak tu."
"Saudari, saya tiada niat sedikit pun nak menzalimi saudari, niat saya cuma nak membantu. Seandainya awak menolak niat baik saya, sekurang-kurangnya benarkan anak dalam kandungan tu menerimanya. Itu saja saya mahukan daripada awak."

"Kenapa awak ambil peduli dengan anak dalam kandungan ni? Awak bukan ayahnya. Ayahnya sendiri tidak mengaku, apa lagi orang luar yang baru saya kenali? Lagipun, untuk pengetahuan awak...bayi dalam kandungan ni anak yang akan lahir tanpa perkahwinan yang sah. Orang kata anak haram. Melahirkan anak ni samalah menambahkan lagi kedukaan kepada anak ni."
"Anak dalam kandungan tu tak bersalah. Anak tu tetap lahir dalam keadaan suci. Bertaubatlah saudari, Allah masih memberi kasih sayangnya dengan memberikan awak nyawa untuk terus hidup dan nafas untuk terus kekal dalam dunia yang sementara ni. Saya peduli anak tu sebab..."
Katanya terhenti di situ. Cahaya mengangkat kening meminta kata-kata lelaki itu diteruskan. Dia mula meragui keikhlasan lelaki dihadapannya. Malangnya, ketika itu muncul kelibat budak lelaki comel tadi menerpa ke arah lelaki itu dan memegang erat tangannya. Mata budak itu merenung Cahaya. Renungan yang menghantar rasa sebak di ruang hati Cahaya.
"Abang tak nak ajak kakak ni balik sama ke? Kesian dia bang...jom la kita balik, nanti umi marah pula."
Gesa budak itu sambil terus menarik tangan Cahaya. Saat itu Cahaya hanya mampu menurut, terdiam dan terpana dengan tindakan anak kecil itu. Budak lelaki itu terus tersenyum sambil kedua-dua belah tangannya berpaut pada genggaman tangan Cahaya dan lelaki tadi. Cahaya terkedu namun membiarkan sahaja langkahnya menuruti mereka.

*****

Niatnya untuk menyatakan kemaafan pada lelaki itu terpadam lagi. Kelibat lelaki itu tidak kelihatan di rumah. Kemana agaknya Adam dan Aiman pergi saat-saat malam begini? Cahaya resah. Dirinya tidak dapat duduk betah. Sekejap menghadap ke kiri, sekejap menghadap ke kanan. Sekejap bangun menuju ke pintu dan sekejap lagi dia duduk kembali ke katil. Tanpa disedarinya tingkah lakunya diperhatikan umi.
"Kenapa nak? Tak selesa ke?" Umi yang bertelekung duduk di sisi Cahaya.
"Tak de la makcik. Bukan macam tu.." Bagaimana harus ku luahkan pada Umi tentang niatku?"
"Umi lihat dari tadi Cahaya mundar mandir dalam bilik. Anak sakit?"
"Tak, makcik."
"Panggil saja umi, kan lebih senang. Ya tak ya, anak ni namanya siapa?"
"Cahaya."
"Nur ke Nurul?"
"Tak...Cahaya Danisha."
"Subhanallah, cantik nama tu. Cahaya.."
Cahaya tersenyum hambar, seakan nama itu amat bertentangan dengan dirinya yang baginya sudah kehilangan cahaya. Cahaya hidup, cahaya cinta. Kedua-duanya telah hilang cahayanya.
"Eh, kalau Cahaya nak solat, telekung ada atas meja tu. Umi dah suruh Aiman letak kat situ tadi."
"Solat? Solat apa?"
"Solat maghrib? Solat lima waktu?" Soalannya tadi dijawab dengan soalan dari umi.
'Ah, yang aku tahu cuma solat lima waktu, tapi maghrib tu solat ke berapa, niat solat, malah wudhu' pun Cahaya tidak tahu.' Cahaya tunduk dan berasa dirinya dihempap soalan yang mengunci lidahnya. Keluarganya selama ini tidak menitikberatkan soal agama. Bagi mereka syahadah itu sudah cukup membuktikan mereka Islam. Cahaya dihantar ke sekolah aliran Cina. Sekolahnya tidak mewajibkan para pelajar mendekati ilmu agama secara praktikal. Cukuplah dengan menghafal teori dan dia kerap kali terkeliru dengannya. Memang sepatutnya agama itu bukannya pelajaran teori. Tetapi pelajaran yang  harus hadir bersama akal dan hati. Perlu dihayati dan diamalkan.
"Umi...Cahaya tak pernah solat. Bukankah solat itu dilakukan bagi yang bersedia sahaja?"
"Masya Allah...bila agaknya Cahaya rasa bersedia untuk solat?"
"Entah...Cahaya tidak pandai solat umi. Selama ni Cahaya tidak pernah diajak ataupun disuruh solat. Tapi Cahaya tahu Cahaya orang Islam. Cahaya tahu ucap syahadah."
"Islam bukan hanya pada mengucap syahadah, tapi mengamalkan maksud disebalik syahadah tu. Tapi Umi tak salahkan kamu...sekarang ni Cahaya belajar dengan umi, ya? Kita belajar perlahan-lahan."
Cahaya menganguk dan tidak semena-mena tangisan keluar dari matanya. Umi didakapnya sebak. Di mana lagi harus aku cari insan yang tidak mempertikaikan kejahilan dalam dirinya dan terus memandangnya sebagai hamba Allah yang benar-benar memerlukan hidayah. Ya Allah...sesungguhnya semua ini mempunyai hikmah.

*****

Usai solat maghrib berjemaah berimamkan Adam, Cahaya mengambil masa untuk membaca Tafsir Al-Quran milik Adam di atas meja bilik itu. Dia masuk ke dalam bilik dan mula membaca Tafsir Al-Quran tersebut.
Bacaan surah Al-Insyirah dibacanya walaupun masih tersekat-sekat. Diulangi dan dibacanya lagi secara perlahan-lahan. Sehingga ayat 5 dan 6.
"Kerana sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan, sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan."
Bacaan cahaya terhenti sebentar. Mengamati makna bacaan surah Insyirah. Hatinya tiba-tiba sahaja diruntun kesedihan yang teramat. Lantas diulang ayat 5 dan ayat 6 itu diiringi tangisan kecil. Setelah itu, disudahkan bacaan dengan bacaan Al-fatihah dan selawat nabi yang diajarkan umi kepadanya. Perlahan-lahan kitab kecil itu ditutup, diangkat dan dicium ke dahi. Telekungnya bertemankan air mata pada malam itu. Ayat itu benar-benar meresap ke dalam jiwanya. Membelai hatinya yang gelisah. Lantas dia keluar dari bilik menuju ke ruang tamu.

Adam dilihat termenung memandang skrin komputer riba di hadapan sambil Aiman khusyuk membuat kerja sekolahnya. Cahaya perlahan melangkah membawa kandungan yang telah berusia empat bulan. Dia duduk di kerusi hujung. Jauh sedepa dari Adam.
"Eh, Cahaya? Tak tidur lagi ke?"
"Tak mengantuk lagi." Cahaya mencari kelibat umi. Mungkin sudah masuk tidur agaknya.
"Awak nak guna tak?"
Ujar Adam sambil menunjukkan komputer ribanya. Lantas dia memberi ruang dan duduk di kerusi sebelah Aiman. Cahaya sekadar menggeleng.
"Takpe...awak gunalah dulu, saya ke dapur buat air. Awak nak minum air Milo tak?"
"Eh, tak perlulah susah-susah. Saya boleh buat sendiri."
"Tak pe, tak susah pun, cuma letak Milo, gula dan bancuh air panas. Siap. Senang je kan?"
Cahaya tergelak kecil mendengar jawapan Adam. Aiman pula mengangkat muka memandang wajah abangnya.
"Abang...air Milo satu lagi untuk Aiman."
"Amboi! nak jugak. Baiklah Man..." Aiman tersenyum manis. Cahaya mula mengangkat tubuhnya dan duduk menghadap skrin komputer riba Adam. Kelihatan laman sosial 'Facebook' dan profil milik Adam terpampang di skrin. Satu persatu dibacanya. Adam Hafizy. Gambar anak palestin dijadikan gambar profil. Lantas matanya beralih ke status Adam.
'Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah; dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar); dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. (At-Tagaabun:11)
Indah. Terlalu indah ayat Al-Quran yang menjadi status Adam di saat itu. Hatinya terus melagukan zikir.
Sebak di dada Cahaya sehingga matanya mula digenangi titisan berkaca. Semua yang berlaku dengan izin Allah atas kelemahan dirinya. Betapa sebelum ini dia buta pada syahadah yang dilafaznya. Betapa rugi dirinya tidak mengenal 'alif ba ta' pada usia muda. Betapa malang dirinya menggadaikan cinta pada nafsu dunia.
Astaghfirullahal'azim..ampunkan hambaMu ya Allah..
"Ini air Milo untuk awak dan ini untuk Aiman. Tapi Aiman siapkan dulu kerja sekolah tu."
Air Milo panas diletakkan atas meja makan yang jauh sedikit dari ruang tamu. Adam duduk di situ sambil memerhatikan Cahaya dari jauh.
"Terima kasih, abang." Ujar Aiman sambil matanya tidak lari dari buku teks sekolah di hadapannya. Dia begitu leka menulis.

Cahaya berdiri dan duduk berhadapan dengan Adam.
"Terima kasih, awak." Suara Cahaya perlahan keluar di bibirnya. Membaca basmallah dan menghirup air Milo panas. Adam hanya tersenyum dan turut meneguk minumannya.
"Cahaya ada facebook tak?"
"Ada." Jawab Cahaya. Pendek.
"Cahaya add la saya..log out je account saya tu."
"Awak tak nak guna ke?"
"Takpe...saya memang nak biar awak guna. Takut awak bosan nanti, pergilah."
Kalau boleh biarlah Cahaya duduk sahaja di situ. Bukan apa, dia sememangnya hilang minat untuk melayari laman sosial 'Facebook'. Tapi disebabkan Adam mahu dirinya di tambah sebagai rakan, terbuka juga langkah dan niatnya untuk mengemaskini akaun profil laman sosial itu.

Sebaik sahaja log in ke akaun Cahaya berjaya, terpampang gambar dirinya dan Adi tersenyum berpegangan tangan bersama. Hatinya terasa seperti dicucuk besi panas. Sakit hatinya apabila melihat profil dihadapannya. Dengan segera dia memadam semua album lama bersama Adi, dan menukar gambar profilnya kepada apa-apa sahaja gambar simpanan Adam di komputer riba itu. Kalau gambar bunga atau gunung sekalipun dia tidak kisah. Biarlah...Asalkan bukan gambar jantan tak berhati perut itu. Setelah itu dia menghilangkan kewujudan 'jantan' itu dari senarai rakannya. Puas...
Biar sejarah itu terpadam di ingatan dan di mana-mana sahaja. Mengingatinya menambahkan lagi rasa benci di hati, menghilangkan ketenangan dalam diri. Dia mahu segera melupakan ingatan pahit yang pernah hadir dalam hidupnya.
Kali ini bibirnya mengukir senyuman. Senyuman kemenangan apadila berjaya membersihkan memori hitam daripada profilnya. Lahirlah Cahaya yang baru. Cahaya Danisha. Status...single, tag pada profilnya 'Islam is the light'.Statusnya:
"Kerana sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan, sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan.(Al-Insyirah )"

Bibirnya tersenyum lagi. Surah Al-Insyirah ayat 5 dan ayat 6 itu menjadi status pada halamannya. Sungguh, dia benar-benar cintakan ayat daripada kalam suci Al-Quran. Matanya beralih sebentar melihat kelibat Adam yang duduk di meja makan, Adam begitu khusyuk dengan buku di tangannya. Entah buku tebal apakah yang dipegangnya. Lantas pandangan dialihkan pula pada Aiman yang kini sedang menikmati air Milo.Tentu kerja sekolahnya sudah siap. Terleka benar dia dengan facebook ini. Hilang mengantuk dibuatnya. Patutlah remaja sekarang aktif dengan laman sosial paling popular ini. Malah mereka menganggapnya sebagai 'open diary' hidup mereka.

Tiba-tiba, idea menjelma saat terpandang Adam tadi. Lantas jarinya menekan satu klik pada butang mesej. Jarinya ligat menekan kekunci huruf dan membentuk ayat. Mengamati sepenuh hatinya dan menekan butang 'hantar'. Sesudah itu, dia kembali ke meja makan dan duduk kembali bersama Adam dan Aiman. Bertiga.
"Abang, esok abang nak pergi pukul berapa?" Soal Aiman dan memandang ke arah Adam. Cahaya kembali menikmati minuman kegemarannya. Adam menutup buku tebal itu dan menandakan dengan sekeping kertas biru.
"Awal sikit la. Jam 8."
"Pergi mana?" Tanya Cahaya ingin tahu.
"Abang Adam balik KL. Abang kerja kat sana. Cuti sebulan abang dah habis. Dua minggu sekali baru balik kampung. Kadang-kadang, dalam sebulan tiga kali." Adam mengiyakan jawapan Aiman.
"Oh..kerja." 'Kerja apalah agaknya?' Hati Cahaya tertanya-tanya.
"Alhamdulillah, saya kerja biasa je Cahaya. Pensyarah." Ujar Adam sekali gus menjawab pertanyaan Cahaya yang tidak terlahir pada bibir.
"Alhamdulillah..baguslah tu awak. Tak macam saya,belajar sampai ijazah pun masih tak ada kerja. Selama ni terlalu berharap sangat dengan family."
"Wah..takpe la, InsyaAllah...awak akan dapat kerja yang baik Cahaya. Dulu awak ambil bidang apa?"
"Lebih kepada business."
"Nabi kita kata, 9/10 rezeki datang daripada perniagaan."
"Insya Allah, kalau cukup modal lebih baik buka perniagaan sendiri. Dapatlah berikan kehidupan yang baik buat anak-anak nanti."
"Ya. InsyaAllah. Eh,awak dah tak nak guna ke?" Adam menuding jari ke arah komputer ribanya.
"Takpelah..lagipun saya nak berehat."
"Baiklah...Aiman, kamu pun dah boleh masuk tidur, jangan lupa ambil wudhu sebelum tidur."
Mata Aiman kecil sedikit. Mengantuk. Cahaya pula berdiri dan mengangkat cawan-cawan kosong untuk dicuci. Itulah kebiasaan anak-anak umi. Berwudhu' sebelum tidur. Pesanan umi itu turut disemai dalam hatinya. Kata umi, selain membersihkan diri, wudhu' juga boleh membersihkan jiwa. Ketenangan akan terasa semasa tidur, kita akan sentiasa mengingati Allah dan mudah untuk memujinya. Dapatlah menghindari tidur dengan hati yang lalai.
"Cahaya, takpe...biar saya yang buat. Awak pergilah berehat." Adam mengambil kesemua cawan yang diangkat Cahaya tadi dan terus menuju ke dapur. Cahaya terkaku sebentar.
'Semoga Allah merahmatimu Adam, kau terlalu baik dengan insan jahil seperti aku'. bisik hati Cahaya lalu melangkah masuk ke dalam kamar.

*****
Sunyi.

Adam kembali pada komputer ribanya. Dia masuk ke halaman facebook miliknya. Tertera satu 'permintaan menjadi rakan' dan satu mesej. Dia terlebih dahulu menekan butang bersetuju meneriman Cahaya Danisha menjadi rakan. Jarinya membuka profil Cahaya Danisha. Cantik namanya, puji naluri Adam. Bibirnya tersenyum panjang saat melihat gambar profil Cahaya yang merupakan gambar 'bunga teratai' yang tentunya dimuat turun dari fail 'my pictures' yang terdapat di dalamkomputer ribanya. Tentu dia menukar gambar profilnya tadi. Lantas dia memberikan cadangan gambar anak perempuan palestin berhijab sambil tangannya memegang senjata sebagai ganti gambar teratai yang agak umum itu. Dia teringat kembali peti masuknya. Dia membuka mesej yang datang dari...
Cahaya? Dia menoleh ke arah meja makan, melihat tempat dimana Cahaya duduk tadi. Ah, kenapa dia tidak bersuara sahaja, tidak perlulah menghantar mesej! Matanya kembali menatap mesej ringkas itu.
Assalamualaikum,

Tentu awak terkejut sebab saya hantar mesej kat awak. Kadang-kadang sesuatu yang jauh dari dasar hati, walaupun terbit daripada emosi, tapi sukar diluahkan dengan kata-kata. Sepanjang sebulan bersama awak,umi dan Aiman.Alhamdulillah...
Saya bersyukur sangat kerana emosi dan jiwa saya dibalut dengan ketenangan. Ketenangan yang tidak sama dengan hidup berbalut kemewahan, takkan sama dengan kebahagiaan yang lain. Tapi, jauh di sudut hati...saya belum pernah menyatakan kemaafan saya atas kekasaran kata-kata saya sebulan lepas.
Benar, betapa kejahilan yang mendalam menyelubungi saya pada masa itu. Kalau bukan kerana Allah utuskan awak menyelamatkan pendosa yang hina ini,tenggelam dan lemas dalam nafsu dunia, tak mungkin saya masih bernyawa sehingga ke hari ini. Mulanya saya sememangnya tidak lagi redha atas kewujudan bayi ini, tapi Alhamdulillah... Syahadah jugalah yang menyelamatkan saya. InsyaAllah, walau apapun berlaku, saya akan tetap menyayangi anak yang akan lahir dari rahim ni. InsyaAllah... Saya yakin akan apa jua yang berlaku semuanya mempunyai hikmah. Kehidupanlah yang mengajar dan yang tersasar akan diberi pengajaran agar tetap pada jalanNya.
Ucapan terima kasih yang tidak terhingga buat keluarga awak. Tentu umi sangat bangga mendapat anak sebaik Adam dan Aiman. Doakan saya supaya terus membuat kebahagiaan dunia akhirat. Sekali lagi saya memohon maaf atas kejahilan saya.
(Malah bilik awak pun dah diceroboh orang asing seperti saya. Saya minta maaf banyak-banyak.)
Salam Maaf.
Adam mengetap bibir. Sedikit pun tidak ada kesalahan yang dilakukan Cahaya padanya. Malah dia tidak memandang Cahaya pada masa lalunya, tetapi dia melihat Cahaya itu pada ketabahannya meneruskan kehidupan. Pada cintanya yang mengejar Cinta Illahi. Pada rindunya yang bersinar saat melagukan zikir dan selawat. Ketenangan yang tetap dirasai pada sesiapa sahaja yang memandang Cahaya. Teduh wajah Cahaya disirami sopan bicaranya. Jauh berbeza dengan Cahaya yang ditemuinya di pantai sebulan lalu. Subhanallah, sesungguhnya kuasa Allah tiada batasnya. Sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun dan Maha Penyayang. Gadis yang mahu membunuh diri dan jiwanya itu kini amat menyintai tarbiyah daripada Allah.

*****

Matanya memandang beg berisi komputer riba di hadapannya. Melayani kebosanan yang mula bertapak, dia memasang komputer riba dan melayari internet melalui wireless di rumah. Membuka email yang semalam telah pun dikemaskini. Terdapat sepuluh email yang belum dibaca. Semuanya dari laman social yang popular itu. Satu persatu dibuka.
Terdapat dua mesej tertera di Facebooknya. Satu daripada sahabat lamanya, Dayana dan satu lagi tentu balasan mesej daripada Adam. Dia menukar gambar profilnya kepada gambar anak palestin yang dicadangkan oleh Adam. Cantik dan sayu. Tapi Cahaya suka dengan gambar barunya.
Email yang lain dibiarkannya. Mesej dari Dayana dibuka dan dibaca teliti.

Salam Caya..
Ke mana kau menghilang?? Dah lama tak nampak kau. At least tell me where are you now. Kau tahu kan aku risau sangat dengan kau, Caya. Aku dapat tahu yang kau dihalau keluar dari rumah, adik kau yang beritahu aku. Adi sekarang pula dengan perempuan lain, kau kenal Nadia kan? Ha..sekarang diorang dah couple!! Tak sangka Nadia yang kita percaya tu tikam kau dari belakang. Benci!  Perempuan tak guna! Kalau kau baca mesej ni please reply as soon as possible. Aku sedia bantu kau. Biar kita balas perempuan tu.
Cahaya membalas mesej dari Dayana. Entah kenapa, tidak terbit langsung rasa benci dalam hatinya di saat mengetahui Nadia menggantikan tempatnya sebagai kekasih Adi. Malah, dia memanjatkan rasa syukur yang teramat kerana terlepas dari 'buaya darat' itu, walaupun sepatutnya Adi bertanggungjawab dengan anak yang dikandungnya. Tetapi kini, harapan itu telah lama terkubur. Biarlah, dia lebih rela membesarkan anak ini sendirian. Selesai menghantar balasan, Cahaya segera membuka mesej dari Adam.

Waalaikumussalam..
Cahaya...saya tahu awak pun akan terkejut sebab saya biarkan laptop ni untuk kegunaan awak. Saya risau awak bosan bila tak buat apa-apa. Saya dah sediakan buku atas meja bilik tu. Harap awak sudi membacanya. Umi tak nak awak terlalu banyak bergerak,sebab tu kalau ada buku dan laptop ni sedikit sebanyak dapat hilangkan boring.
Cahaya...Saya sangat suka dengan nama awak yang unik. Sepanjang mana pun sebutan 'cahaya' tapi saya suka. Eh, dah lari tajuk pula, hihi.. Tentang kejadian di pantai dulu, semuanya berlaku atas izin Allah. Tidak tersimpan sedikit marah atau dendam pun tentang awak. Tiada apa yang perlu dimaafkan. Awak pun sedikit sebanyak mengajar saya tentang kehidupan. Ketabahan awak sukar ditemui.
Cahaya...Terjaga dari tidur tidak sama dengan terjaga dari mimpi. Jika terjaga dari tidur, kita akan bangun dan tidak merasakan sesuatu seperti terjaga dari mimpi. Kita seakan dikejutkan dan diminta bermuhasabah diri. Andai mimpi itu mimpi buruk, kita pasti beristighfar dan mencari nilainya yang positif. Andai terjaga dari mimpi indah kita akan bersyukur dan berharap tidak akan terleka darinya. Sesungguhnya hidayah itu milik Allah... Dia memberikan kepada sesiapa sahaja yang dikehendakinya. Bersabar dan pasti kita akan menemui ganjarannya.
Cahaya...untuk pengetahuan awak. Kehadiran awak di rumah serba sederhana dan penerimaan awak pada kesederhanaan itu cukup bermakna buat kami. Sedikit sebanyak kehadiran Cahaya memberi nafas baru buat kami. Malah umi selalu memuji Cahaya pada Adam. Kesungguhan awak mendekati ilmu agama benar-benar dikaguminya. Lihat sahaja diluar sana, berapa orang yang akan bangkit selepas dilanda musibah dan ujian dari Allah? Malah terlalu sedikit yang mahu bersyukur dan kembali ke jalan yang benar. Sedangkan pintu taubat masih terbuka, kemaafan Allah lebih besar dari segala dosa di muka bumi. Subhanallah..

Cahaya... Awak tak perlulah rasa bersalah. Awak bukan menceroboh bilik tu, saya dengan rela hati beri bilik tu kat awak. Harap dapat beri sedikit keselesaan dengan bilik yang tak seberapa. Lagipun awak bukannya orang asing. Selagimana kita seagama, kita adalah saudara. Jangan lupa add ym saya. Adam_Hafizy86@yahoo.com. Kelak kita boleh bicara lebih panjang. Saya dah titipkan pesanan pada Aiman, kalau awak nak Milo atau apa-apa, awak boleh minta tolong kat adik comel kita, Aiman. Jaga diri baik-baik.
Salam ukhwah Cahaya.
Cahaya tersenyum dan tertawa dalam tangisan. Sempat juga Adam ingat tentang 'air Milo' minuman kegemarannya.
Adam...Adam...Tanpa kehadiran awak di rumah ni pun awak masih mampu membuat Cahaya tersenyum. 'Hebat betul aura awak Adam!'

Cahaya bergegas bangun dan menuju ke ruang kamar, terasa ingin tahu yang membuak-buak di dadanya. Buku apakah yang ditinggalkan Adam buatnya? Pandangan tertumpu pada buku itu. Buku tebal?
Ya...buku tebal yang berwarna biru. Buku yang dibaca oleh Adam semalam, baru kini dia melihatnya dengan jelas judul bukunya. 'La Tahzan' Jangan bersedih. Buku yang benar-benar menarik hati. Diselaknya perlahan. Tertera sedikit tulisan tangan dari Adam.


~Khas buat Cahaya yang kami sayangi
La Tahzan..Sesungguhnya Allah bersama kita
Cahaya terharu. Dipeluk buku itu ke dadanya. Hatinya benar-benar terusik. Titisan jernih mengalir lagi.
"Alhamdulillah..Alhamdulillah...Allah bersamaku." Sebutnya dalam sebak.

*****

Aku Cuma An-Nisaa


Ya Allah..
Jadikan aku tabah seperti Ummu Khadijah
Sehingga dirinya digelar afifah solehah
Dialah wanita pertama
Tiada ragu mengucap syahadah
Pengorbanan bersama Rasulullah
Susah senang bersama
Walau hilang harta kerana berdakwah
Walau dipulau 3 tahun 3 bulan
Imannya sedikit pun tak berubah
Mampukah aku setabah dirinya?
Andai diuji sedikit sudah rebah..
Baru dihina sudah mengalah
Ya Allah..tabahkan aku sepertinya..

Ya Allah..
Jadikan aku semulia Fatimah Az-Zahrah
Betapa tinggi kasihnya pada ayahandanya
Tidak pernah putus asa pada perjuangan dakwah baginda
Anak yang semulia peribadi baginda
Tangannya lah yang membersihkan luka
Tangannya jua yang membersihkan cela
Pada jasad Rasulullah tercinta
Gagahnya dirinya pada dugaan
Mampukah aku sekuat Fatimah?
Saat diri terluka dendam pula menyapa
Saat disakiti maki pula mengganti
Ya Rabbi..teguhkan hatiku sepertinya..

Ya Allah..
Jadikan aku sehebat Masyitah dan Sumaiyah
Tukang sisir yang beriman
dan Keluarga Yasir yang bertakwa
Sungguh kesabaran mereka menggoncang dunia
Iman tetap terpelihara walau nyawa jadi taruhan
Mampukah sabarku seperti mereka?
Tatkala digoda nafsu dunia..
Entah mana hilangnya Iman di dada

 Ya Rahman..
Kuatkan Imanku seperti Masyitah
Terjun penuh yakin  bersama bayi ke kuali mendidih
Kerana yakin Allah pasti disisi
Sabarkan aku seperti sumaiyah
Biar tombak menusuk jasad..
Iman sedikit pun takkan rapuh.

Ya Allah..
Jadikan aku semulia Ummu Sulaim
Perkahwinannya dengan Abu Talhah atas mahar Iman
Islamlah Abu Talhah sehingga menjadi sahabat Rasulullah
Betapa hebatnya tarbiyyah isteri pada suami
Hinggakan segala panahan ke Rasulullah pada hari uhud
Disambut dengan belakang jasad Abu Talhah

Ya Allah..
Tarbiyyahkan aku pada cinta sepertinya
Tingginya nilai cinta pada harga Iman
Mampukah aku menatap cinta itu?
Sedangkan rupa yang menjadi pilihan
Ketulusan Iman diketepikan
Ya Allah..
Ilhamkan aku pada cinta sepertinya..

Ya Allah...
Jadikan aku sehebat Aisya Humaira
Isteri termuda Rasulullah
Biar dilempar fitnah
Dia tetap teguh pada ketetapanNya
Isteri sejati yang memangku Nabi
Pada saat terakhir baginda
Hadis dan Sunnah Rasulullah dipertahankan
Betapa hatimu seorang mujahidah

Ya Allah..
Mampukah aku contohi dirinya?
Pada fitnah yang melanda
Diri mula goyah dan putus asa
Teguhkan Imanku sepertinya..Ya Rahim..

Ya Allah..
Teringat diri pada Khansa
Empat orang anaknya mati di Jalan ALLAH
Dia meratap tangis..
Anak sulungnya syahid
Anak keduanya turut syahid
Anak ketiganya dan keempat jua mati syahid
Namun tangisan itu bukan kerana pemergian anak tercinta
Jawabnya kerana tiada lagi anak yang dihantar untuk berjihad
Ya Allah..
Mampukah aku menjadi ibu yang berjihad?
Sedang anak tak tutup aurat pun masih tak terjawab
Sedang anak tinggal solat pun buat tak kisah
Berikan aku kekuatan sepertinya..
Agar bersedia pada akhirat.

Wahai kaum Adam yang bergelar khalifah..
Diriku bukan setabah Ummu Khadijah
Bukan jua semulia Fatimah Az-Zahrah
Apa lagi sesabar Masyitah dan Sumaiyah
Mahupun sehebat Ummu Sulaim
Dan tidak seteguh Aisya Humaira
Kerana diri cuma An-Nisaa akhir zaman
Dimana Aurat semakin dibuka terdedah
Dimana syahadah hanya pada nama
Dimana Dunia yang terus dipuja
Dimana nafsu fana menjadi santapan utama
Dimana batas sentiasa dileraikan
Dimana ukhwah sentiasa dipinggirkan

Wahai Kaum Hawa
Kita cuma An-Nisaa
Para pendosa yang terbanyak di neraka
Lantas walau tak setabah para Mujahidah
Namun Tabahlah pada ketetapan Allah
Kerana padanya ada Syurga!
Walau tak semulia para wanita sirah
Tapi muliakan diri dengan agama yang memelihara
kerana padanya ada Pahala!
Walau tak sesabar para wanita solehah
Namun sabarkan jiwa pada nafsu dunia yang menyeksa
Kerana padanya ada bahagia!

Sesungguhnya Hawa tercipta dari Tulang rusuk kaum Adam
Bukan untuk ditindas kerana lemah
Tapi untuk dilindungi kerana Indah
dan Indah apabila tertutup terpelihara
Kerana disitulah terjaganya Syahadah
Bak mekarnya wanita dalam sirah
Tuntunlah kami ke arah syurga..
Bicara dari An-Nisaa yang hina..
Makbulkan doaku..
Aamiin..

*****

"Setiap kejadian yang berlaku pasti ada hikmahnya, sesuatu yang baik belum tentu berakhir dengan baik. Begitu juga sesuatu yang buruk belum tentu berakhir dengan derita. Apa yang penting ialah tanamkan cinta pada Allah, pada jalanNya. Keyakinan pada Allah harus melebihi daripada keyakinan kita pada diri sendiri, malah pada orang lain. Memanglah mudah untuk kita berkata dan payah untuk melakukan. Memanglah mudah untuk jatuh rebah dan susah untuk bangun kembali. Memanglah mudah untuk berbuat amal tetapi payah pada istiqamah.InsyaAllah, semuanya terletak pada kekuatan hati yang turut dipandu oleh akal kita. Akal yang bertunjangkan iman dan ilmu. Kita sering berbicara tentang taubat dan bila masa sesuai untuk dilakukan.

Seandainya rasa cinta itu wujud, pasti akan ada jiwa hamba yang rindu beramal dengan Maha pencipta. Lihat sahaja pada nadi, selagi nadi berdenyut, selagi nafas menghembus, pintu taubat masih terbuka buat hambaNya. Tetapi kesombongan kita yang membawa kita malu untuk bertaubat pada hari ini. Keegoan kita yang menarik kita untuk bertangguh pada hari esok, kejahilan kita yang membuat kita berfikir akan selalunya ada hari esok. Seandainya dosa itu dapat dilihat, pasti kita dipenuhi dengan noda. Seandainya pahala itu dapat dilihat, pasti diri dikabus dengan riak. Para pencinta Illahi itu pemalu, malu menzalimi diri yang hanya pinjaman dari Nya. Para pencinta jihad fisabilillah itu penakut, penakut pada mati tanpa berjuang menegakkan agama Allah. Para pejuang syahid itu pengecut, pengecut kepada mati tanpa mengingati Allah."
Panjang bicara Cahaya pada petang itu sempena undangan sahabat baiknya, Damia. Pertemuan di atas takdir Allah telah menyatukan minat mereka untuk bersatu dalam jihad.

Cahaya turut menguruskan butik dan kadangkala meluangkan masa untuk hobinya yang minat dalam bidang penulisan. Sebuah novel bertajuk 'Nafas cinta Insyirah' berjaya diterbitkan dengan izin Allah dan diedarkan secara percuma kepada penghuni Rumah Annisa. Malah hasil keuntungannya akan diberikan separuh kepada rumah perlindungan Annisa. Terbit kukuh di dalam hatinya, jihad untuk memperbaiki diri sendiri dan jihad untuk memperjuangkan jalan mencari cinta Allah.
Insyirah... Cinta kali pertamanya pada kalamullah surah Insyirah dan kemudian dipilih sebagai nama anak perempuannya. Adam yang duduk di hujung dewan setia menanti isterinya selesai sesi usrah dengan penghuni rumah kedua mereka, Baitul Annisa.
"Bantu-membantu lah antara kamu atas urusan kebaikan dan taqwa, dan jangan lah pula kamu bersubahat membantu dalam urusan dosa, keji dan permusuhan.(Al-Maidah : 2)

Dan Saidina Ali bin Abu Talib pula pernah berkata :
"Kadang-kadang dibuka bagimu pintu taat & tidak dibuka bagimu pintu penerimaan. Di kala yang lain pula ditakdirkan bagi engkau perbuatan maksiat,tetapi hal itu merupakan jalan bagimu untuk sampai (kepada kebaikan). Perbuatan maksiat yang menimbulkan perasaan bersalah & menyesal lebih dari perbuatan taat yang menimbulkan perasaan takbur & angkuh. (Ibnu Athaillah)..

Sekalung jutaan kesyukuran, Alhamdulillah..buat suami tercinta Adam Hafizy dan anak tersayang, Insyirah serta umi dan keluarga. Papa dan Mama yang sentiasa mekar dalam doa."
Ucap Cahaya sebelum menutup usrah pada petang itu dengan bacaan doa dan selawat sambil matanya mengerling dan tersenyum memandang anak dan suaminya dari jauh.

- Artikel iluvislam.com


Islam Itu Bukan Hanya di Sekolah Agama ^_^

Islam Itu Bukan Hanya di Sekolah Agama ^_^

by Muhammad Syafiq Mohammad on Friday, 12 August 2011 at 02:29

Islam Itu Bukan Hanya di Sekolah Agama
AHD, 26 DIS 2010 07:40 | DAYANG KHAIRUNNISA ABG MOHAMMAD | EDITOR: KASIHSAYANG


Izzati. Indah nama itu. Secantik dan semulia akhlak insan yang menjadi pemegangnya. Hidup di IPIS (Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Islam) memang merupakan impiannya sejak sekian lama. Sudah hampir 3 tahun dia berdoa agar dirinya nanti dihantar ke suatu tempat yang dia kira cukup Islamik ,agar mudah untuk dia mengubah diri serta jalan hidupnya.

Bukan selama ini dia tersesat, cuma dia ingin menjadi seseorang yang baru, berbeza dengan dirinya yang dahulu. Sungguh Allah itu Maha Mendengar. Mengalir air mata suci daripada sepasang mata yang sering melemparkan pandangan bening itu. Begitu dia bersyukur apabila doanya dijawab. Subhanallah. Allah itu Maha Berkuasa.
6 bulan pertama berada di IPIS sudah cukup untuk merubah segala-galanya tentang dirinya. Usahkan penampilan, cara pergaulan dan percakapannya berubah sama sekali. Dia kini seorang yang serba baru. Meskipun begitu, dia tidak pernah lupa asal usulnya. Siapa dia,dari mana dirinya.

Setelah 6 bulan berada di IPIS, sudah tibalah masanya untuk pulang ke pangkuan keluarga tercinta. Sedih juga rasanya untuk meninggalkan IPIS yang kini sudah menjadi sebahagian daripada jiwanya.
"Assalamualaikum!! Izzati dah sampai!! Mak, Ayah!!" Terdengar suaranya yang lantang memecah keheningan subuh...

"Wajah insan tersayang kini sudah berada di depan mata. Apalagi, pergilah peluk!", gertak jiwa kecilnya.Tidak tergambar rasa gembiranya hati apabila dapat mengucup pipi ibu serta ayah tercinta.
Perubahan Izzati sedikit sebanyak telah mempengaruhi orang di sekelilingnya. Ada yang boleh menerimanya dengan baik. Tidak kurang juga yang memandang serong terhadapnya. Tetapi, bukan itu yang Izzati risaukan. Kini, dia sudah ada tanggungjawab besar yang akan disoal di akhirat kelak. Tanggungjawab untuk menyampaikan ilmu yang ada padanya. Ilmu yang masih sangat sedikit itu ingin dia kongsikan bersama dengan harapan mereka akan turut merasakan betapa manisnya hidup mengikut acuan Islam sejati.

Perjuangan Izzati tidak mudah. Untuk mengubah keluarga sendiri pun dia masih tertatih-tatih. Walaupun begitu dia tidak pernah berputus asa. Hampir setiap hari, ada sahaja terdengar suaranya memenuhi rumah dengan nasihat serta pengajaran yang penuh bermakna. Ada kalanya kaum keluarga mendengar dengan penuh perhatian. Ada pula waktunya Izzati seperti berbicara sendirian kerana orang-orang di sekelilingnya sudah bosan dengan ucapan yang agak sama setiap hari. Tetapi, tidak pernah pula sikap seperti itu merubah semangat Izzati.
Hari itu Izzati pergi menziarahi neneknya yang kurang sihat di kampung. Alangkah gembiranya Izzati apabila dia menemui seorang sahabat lama yang dahulunya turut bersamanya bermain teng-teng dan meneruskan perjuangan bersama sehingga ke sekolah menengah. Tetapi,dalam kegembiraan tersebut timbul sedikit kesedihan di hati Izzati. Lia yang dia kenali dahulu sudah berubah sama sekali.T udung tidak lagi menutup rambutnya. Rambutnya kini pula sudah dihiasi dengan segala jenis macam warna yang menyakitkan mata yang memandang. Belum lagi ditambah dengan tindikan-tindikan di telinga yang melemaskan jiwa. Baju yang nipis dan ketat.Pergaulan dengan lelaki?? Tidak mampu Izzati membicarakan perihal Lia yang selanjutnya.

"Lia, kenapa Lia berubah? Kenapa Lia tak pakai tudung? Rambut Lia ni... dulu kan cantik.. Lia dah lain sangat. Janganlah macam ni Lia. Zati rindu Lia yang dulu. Lia yang lembut, sopan, pemalu, yang jaga aurat dan yang paling penting, jaga pergaulan..." keluh Izzati pada suatu petang yang sunyi.
Lia hanya mendiamkan diri. Mungkin sedikit terkesan di hatinya apabila kata-kata seperti itu diucapkan oleh sahabat karibnya sendiri. Memang dia akui kata-kata Zati itu betul semuanya. Tetapi, suasana di kampung memang telah banyak mempengaruhi gaya hidup Lia. Bergaul dengan remaja sebayanya yang bermasalah telah betul-betul menjadikan Lia insan yang berbeza. Dengan nada yang agak keras, Lia menjawab segala persoalan yang Izzati ajukan padanya.
"Zati... Zati kne ingat. Ini kampung. Bukan macam tempat Zati IPIS tu Islamik. Memanglah senang Zati nak kekalkan diri Zati yang baik ni. Kampung ni. Macam-macam ada. Orang-orang yang tinggal dalam kampung ni bukan sembahyang sangat pun. Kalau dah yang tua-tua itu pun tak dapat nak jadi contoh, macam mana kita orang yang muda ni nak jadi baik? Zati patut ajar yang tua-tua tu dulu, baru ajar Lia. Zati cakap senanglah. Nanti, kalau Zati dah lama-lama kat sini, mesti Zati pun berubah. Takkan bertahannya diri Zati yang sekarang ni. Percayalah cakap Lia .Zati janganlah nak jadi hipokrit. Buat-buat baik kat sini untuk tunjuk kat kita orang semua. Lia tahu Zati ni siapa. Pasal tudung dan rambut tu, tempat ni lain Zati. Kalau kat IPIS Zati wajib pakai tudung labuh ,kat sini tidak ada peraturan macam itu. Jangan pula Zati nak wujudkan peraturan sendiri. INI BUKAN IPIS!"

"Astarghfirullahalazim! Lia! Kenapa Lia cakap macam itu?! Islam itu ada di mana-mana Lia. Bukan dekat IPIS sahaja. Sebagai umat Islam sejati, sudah menjadi kewajipan kita untuk mematuhi segala suruhan dan meninggalkan segala larangan Allah walau di mana pun Lia berada. Jangan jadikan suasana kampung ini sebagai alasan untuk Lia berubah. Lia, kalau orang di sekeliling Lia tidak mampu untuk mendidik Lia, Lia patut didik dan kuatkan diri sendiri. Memang tidak mudah Lia. Zati pun tak rasa mudah untuk kekal begini. Tetapi, itulah hakikatnya. Kita takkan mampu untuk berubah sekiranya kita sendiri tidak berusaha. Ingat Lia. Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu umat itu sehingga mereka sendiri berusaha untuk berubah.." berlinang air mata suci Izzati tatkala mengucapkan kata-kata tersebut.Sungguh tidak disangka,sampai begitu sekali Lia berubah.Baru 6 bulan mereka berjauhan ,Lia sudah jauh pergi meninggalkan agamanya.
"Ala...Janganlah Zati nak buat-buat suci kat sini. Tempat ni lain Zati. LAIN! Zati pakai macam ni,tudung-tudung yang macam 'khemah bergerak' ni, Zati ingat orang sanjung Zati ke? Budak-budak kampung ni... hari-hari mengumpat Zati.. Zati datang je dia orang gelarkan Zati 'khemah bergerak'. Kelakarlah Zati. Janganlah pakai macam ini lagi Zati. Tak sesuai kat sini. Kita dekat kampung, buatlah macam cara dekat kampung. Nanti, kalau Zati dah balik IPIS, sesuailah Zati pakai macam ni. Memang wajib dekat sana kan? Dekat sini tak pun.." Dengan nada selamba Lia mengucapkan kata-kata tersebut.

Zati hampir pengsan apabila mendengar kata-kata seperti itu diucapkan oleh sahabatnya sendiri. Bertambah pilu dan sedih hatinya. Bukan kerana gelaran 'khemah bergerak' itu atau umpatan orang kampung, tetapi kerana cara hidup sahabatnya yang kini semakin jauh dari Allah. Dalam diam Zati berdoa di dalam hati agar dosa-dosa sahabatnya itu diampunkan oleh Allah dan dibukakan semula pintu hatinya untuk kembali pada Islam. Sungguh kasih dia pada sahabatnya ini sehingga tidak sanggup dia untuk melihat Lia tersiksa di akhirat kelak. Azan maghrib yang berkumandang menyedarkan Zati. Cepat-cepat dia menyeka air matanya. Dia segera membetulkan tudungnya.
"Lia, jom balik.Dah masuk waktu maghrib. Kita solat. Hari ini kita baca surah an-nisa' serta tafsirannya sekali."
Teringat Izzati saat-saat indah dahulu di mana dia dan Lia seringkali membaca al-quran bersama-sama dan bertadabbur di surau berhampiran rumah neneknya. Sungguh indah waktu itu.

"Jom Lia.." Izzati menarik lembut tangan sahabatnya itu.
"Takpe. Zati pergilah! Hati Lia sudah tertutup untuk itu. Lia nak keluar dengan kawan-kawan Lia kejap lagi ni. Bila Lia dah dapat SERU nanti Lia solat. Kita masih muda Zati .Masih banyak masa untuk kita. Zati ni macam org tua la. Sibuk beribadah macam dunia ni dah nak kiamat. Dia orang patutlah buat macam itu. Umur pun dah tak panjang.Kita ni muda lagi".
Astarghfirullahalazim. Pedih sekali hati Izzati mendengarkan kata-kata sahabatnya itu. Izzati sudah tidak mampu lagi berdiri di situ. Dia segera berlalu. Kudratnya sudah lama habis. Lemah dirinya apabila mendengarkan kata-kata Lia. Di dalam hati Izzati banyak-banyak berdoa dan meminta keampunan kepada Allah di atas kelemahannya yang tidak mampu untuk membantu sahabatnya itu.Dia pergi meninggalkan Lia dengan linangan air mata.
Setelah hampir dua bulan bercuti, kini Izzati akan kembali semula ke IPIS untuk semester kedua. Perjuangannya kali ini pasti lebih sukar. Azamnya kali ini lebih tinggi. Bila dia kembali lagi nanti, dia akan buat lebih banyak lagi.
"Zati!!" Terdengar sayup-sayup suara Lia memanggilnya dari jauh. Zati menoleh ke belakang.
"Lia...dah lama tak jumpa Lia. Zati nak balik dah ni. Nanti Zati datang sini lagi. Ingat Lia .Islam itu ada di mana-mana. Bukan di IPIS saja. Di sini juga.. di HATI..." ucap Zati smbil meletakkan kedua-dua tangan sahabatnya di dadanya.
Kemudian Izzati berlalu pergi.Dengan linangan air mata, dia berharap agar pintu taubat masih terbuka untuk sahabatnya itu. Lia hanya terdiam dan tergamam. Masih cuba untuk memahami kata-kata Izzati tadi.

- Artikel iluvislam.com -

Biodata Penulis
Dayang Khairunnisa Abg Mohammad merupakan seorang mahasiswa di Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Islam Selangor. Beliau suka menulis dan aktif dalam penulisan di blog.

Sayang Izin kan Abang kawin lagi... sayu nyer hati,,,:-(

Sayang Izin kan Abang kawin lagi... sayu nyer hati,,,:-(

by Muhammad Syafiq Mohammad on Sunday, 14 August 2011 at 01:59

Monday, July 18, 2011
Sayang Izin kan Abang kawin lagi... sayu nyer hati,,,:-(

“Sayang, Abang minta izin untuk nikah sorang lagi,” Aliyah yang sedang melipat kain, terdiam seketika. Mungkin terkedu. Adakah pendengarannya kian kabur lantaran usianya yang kian beranjak. Adakah dialog tadi hanya dilafazkan di dalam TV, sementelah TV juga dipasang. Tapi, ahh bukanlah. TV sedang menayangkan iklan Sunsilk, mustahil sudah ada siri baru iklan Sunsilk?
Dia menghela nafas panjang.

Dia memandang sekali imbas wajah Asraf Mukmin, kemudian tersenyum. Meletakkan kain yang telah siap dilipat di tepi, bangun lantas menuju ke dapur. Langkahnya diatur tenang. Segelas air sejuk diteguk perlahan. Kemudian dia ke bilik Balqis, Sumayyah, Fatimah. Rutin hariannya, mencium puteri-puterinya sebelum dia masuk tidur. Dahulu, semasa puterinya kecil lagi, rutin itu dilakukan dengan suaminya. Kini, anak-anak kian beranjak remaja. Kemudian, dia menjenguk bilik putera bujangnya yang berdua, si kembar, Solehin dan Farihin. Pengabisannya dia kembali kepada suaminya.
Asraf Mukmin hanya diam, membatu diri. Dia amat mengenali isterinya. Jodoh yang diatur keluarga hampir 16 tahun yang lepas menghadiahkan dia sebuah keluarga yang bahagia, Aliyah adalah ikon isteri solehah. Namun, kehadiran Qistina, gadis genit yang menjawat jawatan pembantu tadbir kesetiausahaan di jabatannya benar-benar membuatkan dia lemah.
 
“Kau mampu Asraf, dengan gaji kau, aku rasa kau mampu untuk beri makan 2 keluarga,” sokongan Hanif, teman sepejabat menguatkan lagi hujah apabila dia berdepan dengan Aliyah.
“Abang Asraf, Qis tak kisah. Qis sanggup bermadu jika itu yang ditakdirkan. Bimbinglah Qis, Qis perlukan seseorang yang mampu memimpin Qis,” masih terngiang-ngiang bicara lunak Qis.
Akhir-akhir ini, panas rasanya punggung dia di rumah. Pagi-pagi, selesai solat subuh, cepat-cepat dia bersiap untuk ke pejabat. Tidak seperti kelaziman, dia akan bersarapan berjemaah bersama isteri dan anak- anak. Aduhai, penangan Qis gadis kelahiran Bumi Kenyalang benar-benar menjerat hatinya.
“Abang , Aliyah setuju dengan permintaan Abang. Tapi, Aliyah nak berjumpa dengan wanita tu,” Lembut dan tenang sayup-sayup suara isterinya. Dia tahu, Aliyah bukan seorang yang panas baran. Aliyah terlalu sempurna, baik tetapi ahh! hatinya kini sedang mengilai wanita yang jauh lebih muda.

“Bawa dia ke sini, tinggalkan dia bersama Aliyah selama 1 hari saja, boleh?” pelik benar permintaan isterinya. Hendak dipengapakan apakah buah hatinya itu? Namun, tanpa sedar dia menganguk, tanda setuju. Sebab, dia yakin isterinya tidak akan melakukan perkara yang bukan-bukan. Dan hakikatnya dia seharusnya bersyukur. Terlalu bersyukur. Kalaulah isterinya itu wanita lain, alamatnya perang dunia meletus lah jawabnya. Melayanglah periuk belanga. Ehhh, itu zaman dulu-dulu. Zaman sekarang ni, isteri-isteri lebih bijak.

Teringat dia kisah seorang tentera yang disimbah dengan asid, gara-gara menyuarakan keinginan untuk menambah cawangan lagi satu. Kecacatan seumur hidup diterima sebagai hadiah sebuah perkahwinan yang tidak sempat dilangsungkan. Dan dia, hanya senyuman daripada Aliyah.
“Apa, nak suruh Qis jumpa dengan isteri Abang,” terjegil bulat mata Qis yang berwarna hijau.
“Kak Aliyah yang minta,” masih lembut dia memujuk Qis.
“Biar betul, apa dia nak buat dengan Qis? Takutlah Qis, silap haribulan dia bunuh Qis!” terkejut Asraf Mukmin.

“Percayalah Qis, Aliyah bukan macam tu orangnya. Abang dah lama hidup dengannya. Abang faham.”
Qistina mengalih pandangannya.
Mahu apakah bakal madunya berjumpa dengannya? Dia sering disogokkan dengan pelbagai cerita isteri pertama membuli isteri kedua. Heh, ini Qistina lah. Jangan haraplah jika nak membuli aku. Desis hati kecil Qistina. Hari ini genap seminggu Qistina bercuti seminggu. Seminggu jugalah dia merindu. Puas dicuba untuk menghubungi Qistina, namun tidak berjaya. Rakan serumah menyatakan mereka sendiri tidak mengetahui ke mana Qistina pergi. Genap seminggu juga peristiwa dia menghantar Qistina untuk ditemuduga oleh Aliyah. Sedangkan dia diminta oleh Aliyah bermunajat di Masjid Putra. Di masjid itu, hatinya benar-benar terusik. Sekian lamanya dia tidak menyibukkan dirinya dengan aktiviti keagamaan di masjid Putra.

Dulu, sebelum dia mengenali Qistina, saban malam dia akan bersama dengan Aliyah serta anak-anaknya, berjemaah dengan kariah masjid. Kemudian menghadiri majlis kuliah agama. Membaca Al-Quran secara bertaranum itu adalah kesukaannya. Namun, lenggok Qistina melalaikannya. Haruman Qistina memudarkan bacaan taranumnya. Hatinya benar-benar sunyi. Sunyi dengan tasbih, tasmid yang sering dilagukan. Seharian di Masjid Putra, dia cuba mencari dirinya, Asraf Mukmin yang dulu. Asraf Mukmin anak Imam Kampung Seputih. Asraf Mukmin yang asyik dengan berzanji. Menitis air matanya. Hatinya masih tertanya-tanya, apakah yang telah terjadi pada hari itu. Aliyah menunaikan tanggungjawabnya seperti biasa. Tiada kurangnya layanan Aliyah. Mulutnya seolah-olah terkunci untuk bertanya hal calon madu Aliyah.
Tit tit… sms menjengah masuk ke kantung inbox hensetnya.
“Qis minta maaf. Qis bukan pilihan terbaik utk Abang jadikan isteri. Qis tidak sehebat kak Aliyah. Qis perlu jadikan diri Qis sehebatnya untuk bersama Abang.”
Dibawah hensetnya, ada sekeping sampul besar.
Kepada: Asraf Mukmin, Suami yang tersayang…
Asraf Mukmin diburu kehairanan. Sampul berwarna coklat yang hampir saiz dengan A4 itu dibuka perlahan.
 
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.
Salam sejahtera buat suami yang tercinta, moga redhaNya sentiasa mengiringi jejak langkahmu. Abang yang dikasihi, genap seminggu sesi temuduga yang Aliyah jalankan pada Qistina. Terima kasih kerana Abang membawakan Aliyah seorang calon madu yang begitu cantik. Di sini Aliyah kemukakan penilaian Aliyah.

1. Dengan ukuran badan ala-ala model, dia memang mengalahkan Aliyah yang sudah tidak nampak bentuk badan. Baju- bajunya memang mengikut peredaran zaman. Tapi, Aliyah sayangkan Abang. Aliyah tak sanggup Abang diheret ke neraka kerana menanggung dosa. Sedangkan dosa Abang sendiri pun, masih belum termampu untuk dijawab di akhirat sana , apatah lagi Abang nak menggalas dosa org lain. Aliyah sayangkan Abang…

2. Aliyah ada mengajak dia memasak. Memang pandai dia masak, apatah lagi western food. Tapi, Aliyah sayangkan Abang. Aliyah tahu selera Abang hanya pada lauk pauk kampung. Tapi tak tahulah pula Aliyah kalau-kalau selera Abang sudah berubah. Tapi, Aliyah masih ingat lagi, masa kita sekeluarga singgah di sebuah restoran western food, Abang muntahkan semua makanan western food tu. Lagi satu, anak-anak kita semuanya ikut selera ayah mereka. Kesian nanti, tak makan la pula anak-anak kita. Aliyah sayangkan Abang…

3. Aliyah ada mengajak dia solat berjemaah. Kelam kabut dibuatnya. Aliyah minta dia jadi Imam. Yelah, nanti dia akan menjadi ibu pada zuriat Abang yang lahir, jadinya Aliyah harapkan dia mampu untuk mengajar anak-anak Abang untuk menjadi imam dan imamah yang beriman. Tapi, kalau dia sendiri pun kelam kabut memakai telekung…hmmm.. Aliyah sayangkan Abang…
Abang yang disayangi, cukuplah rasanya penilaian Aliyah. Kalau diungkap satu persatu, Aliyah tak terdaya. Abg lebih memahaminya. Ini penilaian selama 1 hari, Abang mungkin dapat membuat penilaian yang jauh lebih baik memandangkan Abang mengenalinya lebih dari Aliyah mengenalinya.
Abang yang dicintai, di dalam sampul ini ada borang keizinan berpoligami. Telah siap Aliyah tandatangan. Juga sekeping tiket penerbangan MAS ke Sarawak. Jika munajat Abang di Masjid Putra mengiayakan tindakan Abang ini, ambillah borang ini, isi dan pergilah kepada Qistina. Oh ya, sebelum terlupa, Qistina telah berada di Sawarak. Menunggu Abang… Aliyah sayangkan Abg…
Tetapi jika Abg merasakan Qistina masih belum cukup hebat untuk dijadikan isteri Abang, pergilah cari wanita yang setanding dengan Aliyah… Aliyah sayangkan Abang…
Tetapi, jika Abg merasakan Aliyah adalah isteri yang hebat untuk Abangg.. tolonglah bukakan pintu bilik ni. Aliyah bawakan sarapan kegemaran Abang, roti canai…air tangan Aliyah.

Salam sayang,
Aliyah Najihah binti Mohd Hazery.

Tangannya pantas membuka pintu biliknya. Di situ berdiri Aliyah Najihah bersama-sama hidangan sarapan pagi kegemarannya. Dia tersenyum!
Benar, tiada isteri sehebat Aliyah isterinya!